Sony bakal melancarkan siri telefon pintar andalan Sony Xperia 1 V pada 11 Mei 2023 namun syarikat elektronik Jepun itu masih belum mendedahkan banyak maklumat mengenai peranti tersebut. Kini sebuah papan iklan untuk Sony Xperia 1 V telah dinaikkan di Hong Kong dan ia menunjukkan rekaan telefon tersebut.
Menurut papan iklan itu, Sony Xperia 1 V bakal ditawarkan dengan tiga pilihan warna iaitu kelabu, hitam dan putih, manakala bonggol kameranya mempunyai tiga lensa yang disusun secara menegak. Rekaan ini tidak banyak berbeza dengan Sony Xperia 1 IV sebelum ini.
Papan iklan itu turut mempunyai slogan “dwi-sensor kamera noise rendah generasi seterusnya (次世代雙倍低噪感光元件)” dan “satu untuk semua cahaya (one for all lights)“, menunjukkan bahawa telefon ini akan mempunyai teknologi canggih untuk penggambaran malam.
Sony Xperia 1 V dikhabarkan bakal dilengkapi sensor kamera IMX989, namun terdapat juga laporan mengatakan ia bakal mempunyai sensor IMX858 kerana ia merupakan satu-satunya sensor yang menyokong mod noise rendah LN2 dengan gabungan Multi-Camera Synchronisation System (MCSS) bagi meningkatkan julat dinamik dan cahaya yang memasuki sensor.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Reddit

