Site icon TechNave BM

Rekaan telefon lipat HONOR Magic V diumum, mempunyai permukaan kulit di belakang

HONOR bakal melancarkan telefon lipat pertama, HONOR Magic V, pada 10 Januari 2022 namun terlebih dahulu, syarikat itu telah pun berkongsi rupa peranti tersebut pada hari ini dengan majalah Esquire China.

Majalah itu berkongsi sebuah gambar dalam media sosial Weibo di mana ia memaparkan model China, Song Yi, memegang telefon lipat itu. Ia mempunyai warna oren dan permukaan belakang yang dibuat daripada kulit.

Telefon itu juga dilihat mempunyai rangka besi, bonggol kamera berbentuk petak yang menempatkan tiga lensa serta butang kuasa dan kawalan bunyi di bahagian sisi kanan. Setakat ini, tiada spesifikasi tentang telefon tersebut telah disahkan oleh HONOR.

Ia dijangka bakal menjadi telefon lipat pertama yang dilengkapi cipset andalan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 1. Selain itu, ia dikhabarkan bakal mempunyai skrin dengan kadar 120Hz untuk skrin utama dan 90Hz untuk skrin luaran, kamera utama 50MP dan pengecasan pantas 66W.

Baru-baru ini, beberapa syarikat telefon pintar telah memperkenalkan telefon lipat mereka sendiri seperti OPPO Find N dan HUAWEI P50 Pocket. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan HONOR Magic V dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version