Site icon TechNave BM

Rupa Lenovo Legion 2 Pro tertiris, tampilkan rekaan unik di belakang

Lenovo bakal melancarkan telefon pintar gaming Lenovo Legion 2 Pro tidak lama lagi pada 8 April dan spesifikasi utamanya sudah pun dimaklumkan secara rasmi termasuklah bateri 5,500mAh, pengecasan pantas 90W dan cipset Snapdragon 888. Kini rupa bentuk telefon tersebut telah didedahkan oleh laman AnTuTu dalam Weibo, menunjukkan rekaan yang sangat unik.

Permukaan belakangnya mempunyai dua ruang pemegang berwarna putih yang agak berlainan berbanding Lenovo Legion Phone Duel yang diperkenalkan pada tahun lalu. Modul kameranya pula berada di bahagian tengah, terdiri daripada dua lensa bersama logo Y Legion yang boleh menyala dengan pelbagai warna.

Rupa belakang Lenovo Legion Phone Duel yang dilancar pada tahun lepas

Rekaan Legion 2 Pro dikhaskan untuk kegunaan dalam mod skrin landskap, dengan bicu audio di bahagian sisi dan kamera swafoto pop-up yang turut berada di sisi. Selain itu, terdapat juga sebuah lubang pengudaraan yang mungkin menempatkan kipas untuk menyejukkan telefon tersebut.

Permukaan belakang Lenovo Legion Phone Duel pada tahun lepas mempunyai tekstur menggerutu untuk memudahkan genggaman sewaktu gaming, jadi kami jangkakan Legion 2 Pro untuk menampilkan tekstur permukaan yang serupa.

Kongsi pendapat anda tentang telefon gaming ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Weibo

Exit mobile version