Site icon TechNave BM

Rupa prototaip Google Pixel 4a 5G dibocor, tampilkan rekaan mirip Pixel 1 dengan warna unik

Telefon pintar Google Pixel 4a 5G sudah pun dilaporkan akan mula dijual pada bulan November dan pelbagai maklumat awal tentang rupa serta spesifikasinya telah pun dibocorkan. Kini terdapat sebuah gambar awal yang menunjukkan rupa prototaip awal untuk telefon pintar itu.

Prototaip itu menunjukkan rekaan dua warna di bahagian belakang mirip Pixel pertama pada 2016, menunjukkan plastik bewarna hitam di atas dan permukaan mirip gelas di bawah. Kesan-kesan kabur dan cap jari boleh dilihat pada permukaan gelas serta juga penjenamaan logo Google.

Sumber mengatakan ia adalah Pixel 5 namun dengan pemerhatian teliti, anda boleh lihat bicu audio 3.5mm di bahagian atas jadi ini bukan Pixel 5, sebaliknya adalah Pixel 4a 5G. Selain itu, butang kuasanya juga berwarna putih seperti gambar Pixel 4a 5G yang telah pun didedahkan.

Jelas sekali Google telah meninggalkan rekaan ini untuk Pixel 4a 5G, namun agak menarik untuk melihat sebuah unit prototaip. Kongsi pendapat anda tentang rekaan ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Twitter

Exit mobile version