Site icon TechNave BM

Rupa Samsung Galaxy S21 FE mungkin telah ditunjukkan secara tidak sengaja

Sebelum ini, terdapat khabar mengatakan Samsung mungkin tidak akan melancarkan telefon pintar andalan Samsung Galaxy S21 Fan Edition (FE) pada tahun ini kerana masalah kekurangan semikonduktor yang membelenggu industri teknologi sekarang. Sungguh pun begitu, berita tentang Galaxy S21 FE dihebahkan sekali lagi selepas Samsung memuat naik satu gambar yang menarik di Instagram.

Menurut sumber, Samsung telah memuat naik sebuah gambar bertemakan Kembali ke Sekolah (Back To School) di mana mereka menunjukkan sepasang fon telinga wayarles, sebuah komputer riba dan sebuah telefon pintar Samsung di dalam sebuah beg. Perkara yang menarik perhatian adalah rupa telefon tersebut yang serupa dengan gambar awal Galaxy S21 FE yang tertiris sebelum ini.

Untuk makluman, semua varian Galaxy S21 yang telah dilancar setakat ini mempunyai warna yang berbeza di antara bonggol kamera dan badan telefon. Telefon dalam gambar ini menunjukkan warna yang sama di antara bonggol kamera dan badannya, mengukuhkan lagi tanggapan netizen bahawa ia adalah Galaxy S21 FE.

Walau bagaimanapun, Samsung telah pun membuang gambar tersebut daripada laman Instagram mereka. Setakat ini masih tiada maklumat jika Samsung akan melancarkan Galaxy S21 FE pada tahun ini. Ia adalah peranti yang sangat dinantikan pada 2021, terutamanya selepas Galaxy S20 FE mendapat sambutan yang sangat tinggi pada 2020.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Sam Mobile

Exit mobile version