Site icon TechNave BM

Ryt Bank integrasi PayLater pada kad, tawar pilihan bayar terus atau ansuran

Ryt Bank mengumumkan peluasan fungsi Ryt PayLater dengan integrasi terus ke Kad Ryt yang membolehkan pengguna memilih sama ada bayar serta-merta atau secara ansuran merentasi pelbagai kaedah pembayaran. Sebelum ini, Ryt PayLater hanya terhad kepada transaksi melalui DuitNow QR.

Dengan kemas kini baharu, fungsi tersebut kini turut menyokong pembayaran kad melalui rangkaian Visa termasuk transaksi di terminal fizikal dan pembelian dalam talian. Ia membolehkan PayLater digunakan dalam lebih banyak situasi harian tanpa bergantung kepada peniaga atau platform tertentu berbeza dengan kebanyakan perkhidmatan “Beli Sekarang Bayar Kemudian” (BNPL) yang lazimnya terhad kepada rakan niaga tertentu.

Ryt PayLater juga kini boleh digunakan secara lebih meluas dalam satu ekosistem pembayaran yang sama dengan sokongan rangkaian Visa yang merangkumi lebih 150 juta peniaga global serta penerimaan meluas DuitNow QR di Malaysia. Menariknya, pengguna layak menerima sehingga RM1,499 kredit segera.

Tiada faedah dikenakan sekiranya baki dijelaskan dalam kitaran penyata pertama. Selain itu, pengguna baharu turut ditawarkan pulangan tunai 1.2% untuk transaksi PayLater serta ganjaran RM12 bagi penggunaan awal Kad Ryt dengan syarat tertentu. Ryt Bank antara penyedia awal di Malaysia yang menggabungkan fungsi PayLater secara terus ke dalam kad debit.

Ini sekaligus menyatukan pembayaran QR dan kad dalam satu platform. Dalam perkembangan berkaitan, Ryt Bank turut memberi bayangan mengenai pelancaran Ryt Invest iaitu produk pelaburan yang akan disepadukan ke dalam aplikasi sama sebagai sebahagian daripada peluasan ekosistem kewangan digital mereka.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini

Exit mobile version