Site icon TechNave BM

Samsung Galaxy A12 Nacho dilancar: Exynos 850, bateri 5,000mAh bermula ~RM690

Walaupun Samsung telah pun menjadualkan majlis pelancaran besar-besaran untuk Galaxy Unpacked pada bulan ini, mereka masih tidak melupakan pelancaran untuk telefon pintar kelas permulaan. Syarikat teknologi Korea Selatan itu telah melancarkan Samsung Galaxy A12 Nacho secara ringkas untuk pasaran Rusia.

Daripada segi spesifikasi dan rekaan luaran, Galaxy A12 Nacho tidak mempunyai banyak perbezaan dengan Galaxy A12 asal yang dilancar pada awal tahun ini. Perbezaan ketara hanyalah pada cipset, di mana Galaxy A12 Nacho dilengkapi Exynos 850 dan bukannya Helio P35 seperti dalam Galaxy A12.

Spesifikasi lain untuk Galaxy A12 Nacho termasuklah skrin HD+ 6.5 inci, RAM 4GB, storan dalaman 32GB, 64GB atau 128GB yang boleh dibesarkan dengan kad microSD, bateri 5,000mAh, pengecasan 15W, kamera utama 48MP, kamera ultra-lebar 5MP, kamera makro 2MP, sensor kedalaman 2MP dan kamera swafoto 8MP.

Galaxy A12 Nacho akan dijual pada harga RUB11,990 (~RM690) untuk varian 4GB+32GB, RUB13,990 (~RM805) untuk varian 4GB+64GB dan RUB16,990 (~RM980) untuk varian 4GB+128GB. Setakat ini masih tiada maklumat tentang keberadaannya di Malaysia.

Jika anda lebih berminat untuk memiliki Galaxy A12, jangan lupa untuk baca ulasan kami di mana kami sangat mengesyorkannya kepada mereka yang ingin membeli telefon murah.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Samsung Rusia

Exit mobile version