fbpx
More

    Ulasan Samsung Galaxy A12 – Telefon kelas permulaan yang mantap untuk kegunaan asas

    Antara telefon pintar terawal yang dilancar oleh Samsung pada tahun ini ialah Samsung Galaxy A12, telefon kelas permulaan dalam siri Galaxy A. Ia dijual pada harga bermula RM799, membuatkannya sebuah telefon pintar yang sangat mampu milik dan sekali pandang, telefon ini nampak sangat berbaloi dengan empat kamera, skrin 6.5 inci dan 5,000mAh.

    Walau bagaimanapun, Samsung bukanlah satu-satunya jenama yang menawarkan telefon pada harga itu kerana terdapat beberapa peranti lain yang dilengkapi spesifikasi serupa namun dijual pada harga yang lebih murah. Jadi adakah Samsung Galaxy A12 akan menjadi telefon bawah RM800 yang anda perlu dapatkan pada tahun ini? Ayuh baca ulasan kami untuk mengetahuinya.

    Rekaan – Plastik tahan lasak

    Daripada segi luaran, Samsung Galaxy A12 memang nampak seperti telefon yang berharga bawah seribu Ringgit. Permukaan belakang dan rekaannya dibuat daripada plastik namun ini bukanlah sesuatu yang tidak bagus. Plastik ini adalah berkualiti tinggi dan mutu buatan secara keseluruhannya rasa sangat kukuh. Warna yang saya dapat adalah hitam dengan sudahan pusam (matte) jadi ini bukanlah telefon yang paling anggun dalam dunia, namun permukaan ini tidak akan meninggalkan sebarang cap jari atau kesan calar.

    Permukaan plastik ini tidak licin kerana ia mempunyai tekstur garisan yang memudahkan anda untuk memegang telefon ini. Tidak seperti beberapa peranti Galaxy A lain yang dibuat daripada “glasstic” dan membuatkannya agak licin, permukaan belakang Galaxy A12 agak kesat jadi saya rasa ia tidak perlu dipakaikan sarung (casing) untuk melindunginya. Bonggol kamera Galaxy A12 juga agak kemas, dengan rekaan berbentuk segi empat sama dan tidak terlalu tertimbul daripada permukaan telefon.

    Pada bahagian depan, Galaxy A12 mempunyai skrin IPS berukuran 6.5 inci dengan resolusi HD+ (720 x 1600) dengan nisbah aspek 20:9. Sebuah kamera swafoto berada dalam takuk (notch) di bahagian atas tengah, namun ia tidaklah terlalu mengganggu. Sempadan bezel yang mengelilingi skrin telefon ini mungkin agak tebal untuk telefon yang dilancar pada 2021, dengan nisbah skrin-ke-badan sebanyak ~85.8%.

    Bahagian sisi kanan Galaxy A12 mempunyai butang kawalan audio serta butang suis yang turut berfungsi sebagai pengimbas cap jari, manakala di bahagian kiri pula terdapat ruang untuk dwi-kad SIM dan kad memori microSDXC. Di bawah pula, anda boleh melihat pembesar suara, port microSD serta bicu audio 3.5mm. Secara keseluruhan, luaran Galaxy A12 ini adalah sesuatu yang dijangkakan untuk telefon kelas permulaan pada 2021.

    Spesifikasi – Bateri besar!

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk Samsung Galaxy A12:

    • Cipset MediaTek Helio P35
    • Skrin IPS 6.5 inci dengan resolusi HD+ (1600×720)
    • RAM 6GB, storan 128GB boleh dibesarkan dengan kad microSDXC
    • Kamera utama 48MP + kamera ultra-lebar 5MP + kamera makro 2MP + sensor kedalaman 2MP
    • Kamera hadapan 8MP
    • Bateri 5,000mAh, sokong pengecasan pantas 15W
    • Bicu audio 3.5mm, port USB-C, dwi-kad SIM, pengimbas cap jari di sisi
    • Sistem operasi One UI Core 2.5 berasaskan Android 10
    • Terdapat dalam warna hitam, putih, biru dan merah

    Secara kasar, spesifikasi Galaxy A12 adalah sesuatu yang boleh dijangkakan untuk peranti bawah RM800, termasuklah dengan bateri besar 5,000mAh yang pasti boleh melepasi penggunaan untuk lebih satu hari. Empat jenis kamera belakang yang dilengkapi telefon kelas permulaan ini menambahkan lagi daya tarikannya.

    Walau bagaimanapun, skrinnya mempunyai resolusi yang agak rendah iaitu sekadar HD+, jadi ini adalah salah satu keburukan yang agak besar pada telefon ini. Walaupun skrin IPS dalam Galaxy A12 menghasilkan warna yang agak cantik, resolusi rendah serta ketumpatan piksel setakat 264 piksel per inci membuatkan segala ikon dan gambar nampak berkotak-katik (pixelated).

    Daripada segi memori, kapasiti 128GB adalah agak besar namun jika itu pun masih tidak cukup, ruang microSD sudah tersedia untuk anda. RAM sebanyak 6GB juga adalah lebih daripada cukup untuk telefon kelas ini dan pastinya akan digemari oleh mereka yang kerap membuka pelbagai aplikasi serentak.

    Pengimbas cap jari yang berada di sisi adalah sangat pantas, malah saya rasakan lebih bagus berbanding pengimbas cap jari dalam Galaxy S20. Imbasan cap jari telefon Samsung sebelum ini sering mendapat kritikan daripada pengguna, jadi saya rasakan jenama Korea ini sudah memperbaiki imbasan cap jarinya pada tahun ini.

    Prestasi – Baik, asalkan jangan main game

    Saya rasa tiada sesiapa yang jangkakan prestasi tinggi daripada Samsung Galaxy A12, namun saya akan tetap bentangkan markah ujian penanda aras di bawah untuk rujukan anda:

    Markah yang rendah ini adalah dijangkakan untuk telefon yang dilengkapi cipset Helio P35, jadi bagaimanakah pengalaman penggunaan harian? Jika anda sekadar menggunakan telefon ini untuk membuat tugas asas, Galaxy A12 tidak akan mengecewakan anda kerana ia boleh mengoperasikan aplikasi pemesejan, produktiviti, pelayar laman web dan media sosial dengan baik. 

    Jadi adakah ini bermakna Galaxy A12 sesuai untuk bermain game? Jawapan saya sekadar “boleh lepas.” Ini adalah kerana telefon ini mampu memainkan game popular seperti COD Mobile dan PUBG Mobile dengan tetapan grafik terendah. Jika saya ingin meningkatkan mutu grafik sekalipun, menu dalam game tidak membenarkan saya untuk melakukannya dan sekadar menawarkan tetapan rendah. COD Mobile boleh dimainkan pada frame rate lancar dengan 50-60fps, manakala PUBG Mobile pula agak tersangkut dengan sekitar 30fps sahaja namun ia masih boleh dimainkan.

    Jika anda ingin bermain game berat seperti Genshin Impact, lupakan sahajalah. Telefon ini langsung tidak dapat mengoperasikan game itu dengan lancar walaupun pada tetapan grafik terendah.

    COD Mobile sekadar mengizinkan Galaxy A12 untuk mempunyai kualiti grafik rendah

    Daripada segi bateri, Galaxy A12 sebenarnya mampu bertahan sehingga dua hari jika saya sekadar menggunakan aplikasi asas. Sewaktu saya banyak bermain game dan menggunakan kamera sekalipun, bateri saya masih berada pada paras 30-40% pada penghujung hari. Untuk pengecasan pula, kadar 15W boleh mengecas penuh selama lebih kurang dua jam.

    Satu pembesar suara yang terdapat di bawah Galaxy A12 menghasilkan bunyi yang jelas, namun kelantangannya tidaklah tinggi pada tahap maksimum. Satu perkara yang saya tidak jangkakan adalah kehadiran Dolby Atmos dalam telefon ini, namun ia hanya boleh diaktifkan jika anda menghubungkan fon telinga. Secara jujur, saya rasa tidak banyak perbezaan dalam mutu audio apabila Dolby Atmos diaktifkan; ia sekadar meningkatkan kekuatan bass secara sedikit.

    Perisian One UI Core 2.5 dalam Galaxy A12 menampilkan antara muka yang ringkas dan mesra pengguna. Selain itu, terdapat banyak juga perisian remeh (bloatware) Samsung dalam telefon ini namun ia telah pun dikumpulkan dalam satu kumpulan folder jadi ia tidaklah terlalu mengganggu sewaktu anda melayari app drawer.

    Pengecasan dari 6% ke 93% mengambil masa 1 jam 53 minit
    Galaxy A12 mempunyai Dolby Atmos, namun tidak mempunyai banyak perbezaan audio jika ia dihidupkan
    Galaxy A12 menampilkan antara muka yang ringkas dan mesra pengguna

    Kini mari kita beralih kepada kamera kerana saya merasakan ini adalah antara kelebihan utama Galaxy A12. Semua kameranya boleh mengambil gambar dengan baik dan jelas di bawah cahaya yang terang, namun warnanya mungkin agak pekat sedikit berbanding warna sebenar.

    Satu perkara yang saya kurang gemar tentang telefon ini adalah skrinnya dengan resolusi HD+ membuatkan gambar-gambarnya nampak berpiksel (pixelated) sedikit, jadi walaupun jika anda merasakan gambar yang anda ambil itu tidak bagus, sebenarnya ia cantik jika dilihat dalam komputer atau skrin 1080p.

    Kamera ultra-lebar dan kamera makro juga boleh digunakan dengan baik. Walaupun kamera Galaxy A12 tidak mempunyai lensa telefoto, saya rasa kualiti gambar zum adalah agak baik selagi anda tidak melepasi zum 4x. Satu fungsi saya amat gemari adalah Live Focus, di mana ia menggantikan mod potret untuk mengambil gambar manusia dengan latar belakang yang dikaburkan. Potongannya adalah sangat kemas sewaktu digunakan pada kamera belakang atau kamera swafoto.

    Mod Live Focus mampu mengambil gambar potret yang sangat memuaskan, potongan di antara subjek dan latar belakang nampak kemas secara keseluruhan

    Untuk penggambaran malap pula, kamera utama Galaxy A12 boleh mengambil gambar yang agak jelas, namun perkara yang sama tidak boleh dikatakan untuk kamera ultra-lebar dan makro. Rakaman video 1080p 30fps yang dirakam oleh Galaxy A12 juga memberikan kualiti yang biasa sahaja dan tiada penstabilan dilakukan untuk videonya jika anda merakam sambil berjalan.

    Satu fungsi yang agak menghiburkan saya adalah Deco Pic di mana anda boleh menghiaskan gambar anda dengan pelbagai efek augemented reality seperti topeng muka, GIF dan bingkai gambar. Jika anda biasa dengan pelbagai hiasan dalam Instagram Story, Deco Pic menawarkan fungsi serupa namun ia adalah sesuatu yang sudah pun terdapat dalam kamera Galaxy A12.

    Deco Pic menampilkan pelbagai hiasan menarik untuk merancakkan gambar anda

    Kesimpulan – Peranti yang baik namun menghadapi saingan sengit di pasaran

    Secara keseluruhan, saya merasakan Samsung Galaxy A12 yang berharga RM799 adalah telefon yang berfungsi dengan baik jika anda sekadar inginkan penggunaan asas dengan prestasi kamera yang baik. Walau bagaimanapun, ia menghadapi saingan yang sengit daripada telefon lain yang dijual pada harga lebih murah dan dilengkapi spesifikasi yang sama atau lebih baik.

    POCO M3 yang dijual pada harga RM559 boleh mendapatkan anda skrin Full HD+, cipset Snapdragon 662 yang lebih canggih, bateri 6,000mAh dan rekaan mirip kulit (leather) yang lebih menawan, manakala Redmi 9T yang berharga RM599 akan memberikan anda skrin Full HD+, Snapdragon 662 dan kamera yang lebih kurang sama dengan Galaxy A12. Jadi Galaxy A12 bukanlah peranti yang mudah untuk saya sarankan kepada mereka yang ingin berjimat dalam perbelanjaan telefon mereka.

    Jika anda inginkan peranti berjenama Samsung yang murah dan mampu menjalankan segala tugas asas dengan baik, Galaxy A12 tidak akan mengecewakan anda. Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    BYD Hiace 07 EV diperkenal, dilengkapi “God’s Eye” dan jarak pemanduan sehingga 610 km

    Semasa Pameran Auto Beijing, BYD telah memperkenalkan kereta terbaharunya iaitu BYD Hiace 07 EV. Salah satu ciri menonjol Hiace 07 EV ialah...

    CelcomDigi tawarkan internet 1TB pada harga RM15 dan banyak lagi promosi sempena Hari Gaji...

    Seperti biasa, syarikat telekomunikasi CelcomDigi menawarkan promosi Hari Gaji Specials pada hujung bulan dan untuk kali ini ia akan berlangsung daripada hari...

    HONOR Band 9 dilancar di Malaysia: Jam tangan pintar dengan skrin AMOLED 1.57″ berharga...

    HONOR Malaysia telah melancarkan jam tangan pintar terbaru iaitu HONOR Band 9. Ia menampilkan skrin AMOLED berukuran 1.57 inci dengan kadar segar...

    Acer Malaysia lancarkan desktop, monitor dwi-paparan dan projektor bermula RM1,699

    Acer Malaysia hari ini melancarkan barisan komputer desktop, monitor dwi-paparan mudah alih dan sebuah projektor yang direka untuk meningkatkan kelancaran alir kerja...

    HONOR Pad 9 5G dilancar di Malaysia: Tablet 12.1 inci dengan skrin 2.5K bermula...

    HONOR Malaysia telah melancarkan tabletnya yang terbaru iaitu HONOR Pad 9 5G. Sebagai tablet kelas pertengahan, ia dilengkapi skrin berukuran 12.1 inci...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X