Site icon TechNave BM

Samsung Galaxy Ring mungkin akan dilancar bersama Galaxy Z Flip6 dan Fold6

Samsung telah memperkenalkan cincin pintarnya yang pertama, Samsung Galaxy Ring, dalam acara Mobile World Congress (MWC) 2024 pada bulan lalu. Mereka masih tidak menyatakan bilakah peranti kecil itu akan mula dijual secara komersial, namun kini sebuah media Korea Selatan melaporkan bahawa ia mungkin akan mula dijual pada bulan Ogos.

Jika benar, besar kemungkinan ia akan dilancar dalam acara Samsung Galaxy Unpacked musim panas yang selalunya memperkenalkan telefon lipat Samsung Galaxy Z Flip dan Galaxy Z Fold terbaharu. Pada tahun lepas, Galaxy Z Fold5 dan Flip5 dilancar pada 26 Julai 2023, jadi kita boleh jangkakan masa yang serupa untuk Fold6 dan Flip6 pada tahun ini.

Media itu juga melaporkan Samsung sudah merancang untuk menghasilkan 400,000 unit Galaxy Ring dan akan melaraskan jumlah tersebut berdasarkan permintaan. Pengilangannya akan bermula pada bulan Mei.

Selain itu, Galaxy Ring akan dipasarkan tanpa sebarang pengiktirafan peranti perubatan yang rasmi, menjadikannya sekadar peranti kesihatan umum (wellness) sahaja. Ini adalah kerana proses mendapatkan pengiktirafan daripada kerajaan Amerika Syarikat dan Korea Selatan akan mengambil masa yang lebih lama daripada proses pengilangan Galaxy Ring.

Buat masa ini, fungsi yang sudah disahkan untuk Galaxy Ring termasuklah penjejakan tidur, pemantauan kadar denyutan jantung, kiraan langkah dan corak pernafasan, di samping penjejakan kesuburan dengan kerjasama Natural Cycles. Samsung juga mengesahkan cincin ini boleh digunakan dengan peranti Android jenama lain, namun ia tidak boleh digunakan dengan iPhone.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: The Elec

Exit mobile version