Site icon TechNave BM

Samsung Galaxy S20 FE 4G dengan cipset Snapdragon 865 kini rasmi

Sejak sekian lama, terdapat khabar mengatakan Samsung bakal melancarkan semula telefon pintar Samsung Galaxy S20 Fan Edition (FE) 4G yang dilengkapi cipset andalan (flagship) tahun lepas, Snapdragon 865. Kini Samsung telah pun melancarkan telefon tersebut, menggantikan varian yang menggunakan cipset Exynos dalam varian 4G dan 5G.

Maklumat ini datang daripada laman web Samsung Sweden yang memaparkan nombor model SM-G780G, dilengkapi RAM 6GB dan storan 128GB. Sebuah varian memori 8GB+256GB juga akan mula dijual pada masa depan.

S20 FE dalam laman web Samsung Sweden

Sebelum ini, S20 FE yang menyokong rangkaian 5G hanya terdapat dalam cipset Snapdragon 865 manakala varian 4G pula dilengkapi cipset Exynos 990. Kini semua varian untuk S20 FE bakal dilengkapi Snapdragon 865, memudahkan pengguna agar mereka tidak perlu lagi memilih cipset yang diinginkan.

S20 FE merupakan antara telefon Samsung yang paling mendapat sambutan pada tahun lepas kerana ia menawarkan spesifikasi andalan pada harga yang jauh lebih murah, termasuklah skrin Super AMOLED 120Hz, tiga kamera dan bateri 4,500mAh. Di Malaysia, S20 FE dijual pada harga RM2,999.

Setakat ini tiada maklumat tentang keberadaannya di Malaysia. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan S20 FE 4G yang dilengkapi Snapdragon 865 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version