Site icon TechNave BM

Samsung Galaxy S23 FE mungkin akan dilancar pada 4 Oktober 2023

Pelbagai maklumat tentang telefon pintar Samsung Galaxy S23 Fan Edition (FE) telah tertiris sejak beberapa minggu lalu, seperti pengiktirafannya oleh SIRIM baru-baru ini. Kini, Samsung India memberi petunjuk yang lebih jelas untuk pelancaran telefon tersebut yang akan berlaku pada bulan ini.

Samsung India telah mengemas kini profil X yang kini menunjukkan gambar dengan teks “The New Epic” dan “Launching on October 4” (pelancaran pada 4 Oktober). Mereka tidak menyatakan nama produk yang akan dilancar, namun berdasarkan gambar lensa yang terdapat di dalamnya, ini boleh diandaikan sebagai poster acahan untuk pelancaran Samsung Galaxy S23 FE.

Ini adalah selari dengan maklumat daripada Samsung Argentina sebelum ini, yang mendedahkan tarikh pelancaran 4 Oktober 2023 secara tidak sengaja.

Samsung India turut berkongsi poster acahan untuk Galaxy Tab yang baharu, mungkin menunjukkan kepada tablet Samsung Galaxy Tab S9 FE yang akan dilancar bersama Galaxy S23 FE.

Untuk mereka yang tidak mengetahui, “FE” adalah nama khas yang diberikan oleh Samsung untuk peranti andalan (flagship) yang dijual pada harga lebih mampu milik.

Buat masa ini, spesifikasi yang telah dikhabarkan untuk Galaxy S23 FE termasuklah skrin AMOLED FullHD+ 6.3 inci, cipset lapan teras dengan kelajuan clock 2.99GHz, bateri 4,370mAh, tri-kamera 50MP+8MP+12MP, kamera swafoto 10MP, pengecasan pantas 25W, RAM 8GB dan storan dalaman 128GB atau 256GB.

Cipsetnya masih tidak diketahui secara spesifik, namun ia dijangka adalah Exynos 2200 atau Snapdragon 8 Gen 1, bergantung kepada negara. Buat masa ini, Galaxy S23 FE telah mendapat pengiktirafan elektronik daripada kerajaan China dan Thailand.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version