Selain siri telefon lipat, Samsung juga melancarkan jam tangan pintar Samsung Galaxy Watch Ultra2 dan Galaxy Watch9 untuk pasaran Malaysia. Kedua-dua model dikuasakan oleh pemproses Snapdragon Wear Elite Platform (Qualcomm SDW6100 3nm penta-core) dan menjalankan sistem operasi One UI 9 Watch berasaskan Wear OS 7.
Pengguna peranti Galaxy dengan One UI 9 juga boleh mengurus diagnostik jam, permohonan pembaikan dan perkhidmatan Samsung Care+ secara terus melalui menu tetapan peranti. Galaxy Watch Ultra2 direka khas untuk aktiviti luar dengan bodi titanium yang 12 peratus lebih nipis manakala kapasiti baterinya dipertingkat 35 peratus kepada 800mAh.
Ia hadir dengan paparan Super AMOLED 1.52 inci bersalut Sapphire Crystal yang menyokong kecerahan puncak sehingga 5,000 nits, pensijilan selaman EN13319, penjejakan laluan Trail Run dan panduan penghidratan Nutrition Alert. Aplikasi khusus Ultra2 Diving hasil kerjasama dengan Mares turut dijadualkan pengenalannya lewat tahun ini.
Galaxy Watch9 pula menggunakan bodi aluminium ringan dengan skrin AMOLED bersaiz sehingga 1.47 inci dan kecerahan puncak 3,000 nits. Ia mengekalkan rekaan bentuk cushion dan ditawarkan dalam dua saiz iaitu 40mm dan 44mm berserta pilihan sambungan Bluetooth atau LTE. Menariknya, kedua-dua peranti dilengkapi Samsung BioActive Sensor, amaran Vitals, Heart Health Score, Daily Cardio Load dan amaran perlindungan pendengaran.
Pembeli awal yang membuat tempahan Galaxy Watch Ultra2 akan menerima baucar kasut HOKA Clifton Pro bernilai RM729 dan set hadiah Special Adventure Pack yang mengandungi Peakform Band, pengecas 25W, bank kuasa 10,000mAh dan Performance Running Armband. Pembelian kedua-dua model turut layak mendapat percubaan percuma Strava selama 60 hari, baucar pendaftaran minat bernilai RM120, serta diskaun PWP sehingga 30 peratus untuk tali jam atau 10 peratus jika dibeli bersama peranti terpilih Galaxy Z atau S.
Di Malaysia, Galaxy Watch Ultra2 (47mm LTE) dijual pada harga RM3,399 manakala Galaxy Watch9 ditawarkan pada harga RM1,499 (40mm Bluetooth), RM1,799 (40mm LTE), RM1,599 (44mm Bluetooth) dan RM1,899 (44mm LTE). Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan salah satu peranti yang ditawarkan dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

