Samsung Electronics mengumumkan pelancaran global paparan 13 inci Color E-Paper (model EM13DX) yang dibina menggunakan bahan bio-resin berasaskan fitoplankton yang merupakan pertama seumpamanya untuk paparan komersial.
Peranti paparan nipis ini menggunakan teknologi digital ink berkuasa ultra rendah sebagai alternatif kepada papan tanda bercetak konvensional, khusus untuk kegunaan perniagaan seperti rak jualan, kaunter, pintu dan ruang komersial lain. Paparan berkenaan hadir dengan resolusi 1600 × 1200 piksel (nisbah 4:3) dan saiz hampir sama dengan kertas A4.
Badannya diperbuat daripada 45% plastik kitar semula dan 10% bio-resin daripada fitoplankton yang telah disahkan oleh badan pensijilan global UL. Paparan juga direka dengan ketebalan 17.9mm dan berat sekitar 0.9kg serta dilengkapi bateri terbina dalam dan sokongan USB-C.
Kandungan paparan boleh dikawal melalui aplikasi Samsung E-Paper App dan platform pengurusan awan Samsung VXT. Teknologi e-paper menggunakan tenaga hampir sifar ketika memaparkan kandungan statik yang secara tidak langsung mengurangkan penggunaan tenaga berbanding paparan digital tradisional.
Pelancaran model 13 inci ini memperluaskan barisan Color E-Paper Samsung yang disasarkan untuk kegunaan papan tanda digital berkuasa rendah dalam sektor runcit dan komersial. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

