Semalam, eksekutif Samsung telah mengatakan kemungkinan untuk siri telefon pintar andalan Galaxy Note tidak dihasilkan pada tahun ini. Kini sebuah pelan perancangan Samsung yang telah tertiris mengukuhkan lagi kenyataan tersebut dan mungkin menunjukkan telefon yang boleh dinantikan oleh peminat Samsung untuk tahun 2021.
Dalam gambar pelan perancangan (road map) tersebut, kita boleh lihat acara Unpacked untuk Galaxy A52 dan Galaxy A72 yang berlaku pada 17 Mac. Peranti seterusnya dalam pelan itu adalah komputer dalam acara PC Unpacked pada 14 April, Galaxy Tab S7 Lite pada bulan Jun, Galaxy A22 pada bulan Julai dan acara FE Unpacked pada 19 Ogos.
Sebelum ini, bulan Ogos biasanya dikhaskan oleh Samsung untuk melancarkan siri Galaxy Note. Setakat ini masih tidak diketahui jika acara FE Unpacked itu akan menyaksikan Galaxy S21 FE atau Galaxy Note20 FE, namun besar kemungkinan ia adalah untuk Galaxy S21 FE yang bakal menjadi sekuel kepada Galaxy S20 FE. Kali terakhir nama FE digunakan dalam siri Galaxy Note adalah Galaxy Note Fan Edition yang dilancar pada 2017.
Sebagai rujukan, pada tahun lalu siri Galaxy Note20 telah dilancar pada bulan Ogos 2020 manakala Galaxy S20 FE telah dilancar pada bulan September 2020.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: VOICE

