Site icon TechNave BM

Samsung mungkin tidak lancarkan Galaxy S21 FE pada 11 Ogos

Samsung telah mengesahkan bahawa mereka akan menganjur acara pelancaran Galaxy Unpacked seterusnya pada 11 Ogos, di mana dua telefon lipat Samsung yang seterusnya dijangka akan diperkenalkan di samping jam tangan pintar serta fon telinga wayarles.

Walau bagaimanapun, satu peranti Samsung yang dinanti pada tahun ini, Samsung Galaxy S21 Fan Edition (FE), mungkin tidak akan dilancarkan dalam acara tersebut. Menurut media teknologi dari Belanda, Let’s Go Digital, mereka telah mengesan beberapa dokumen rasmi daripada Samsung yang mengesahkan bahawa varian terbaru dalam siri Galaxy S21 itu tidak akan dilancar.

Galaxy S21 FE dijangka akan dilancar dalam acara berasingan pada bulan Oktober. Ini adalah serupa dengan pelancaran Samsung Galaxy S20 FE pada tahun lepas, di mana ia dilancarkan dalam acara Unpacked yang tersendiri pada bulan September 2020.

Galaxy S21 FE dijangka bakal menjadi varian termurah dalam siri Galaxy S21, di mana ia masih dilengkapi spesifikasi andalan namun mempunyai rekaan seperti telefon kelas pertengahan. Spesifikasi yang dijangka termasuklah skrin Super AMOLED Full HD+ 6.4 inci 120Hz dan cipset Snapdragon 888.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Let’s Go Digital

Exit mobile version