HONOR bakal melancarkan siri telefon pintar kelas pertengahan seterusnya, HONOR 80, pada hari Rabu, 23 November 2022 jam 2:30 petang di China.
Selain itu, HONOR juga telah berkongsi reka bentuk telefon tersebut dalam sebuah video promosi pendek. Jika dibandingkan dengan HONOR 70 sebelum ini, HONOR 80 mempunyai corak ombak di belakangnya manakala di bonggol kameranya terdapat garisan perak dengan bentuk “8” sempena nama telefon ini.
Di hadapan pula, terdapat sebuah lubang tebuk berbentuk pil yang menempatkan kamera swafoto di bahagian atas tengah skrin. Ini mungkin bermaksud ia bakal mempunyai dua kamera swafoto untuk kualiti gambar yang lebih cantik.
Siri HONOR 80 dijangka terdiri daripada HONOR 80 HONOR 80 SE dan HONOR 80 Pro, di mana ia masing-masing mungkin dilengkapi cipset MediaTek Dimensity 1080, Qualcomm Snapdragon 778G+ dan Snapdragon 8+ Gen 1. Selain itu, varian tertinggi mungkin akan dilengkapi pengecasan pantas 100W dan kamera utama 200MP.
Jika anda berminat dengan HONOR 70, ia dijual untuk pasaran Malaysia pada harga bermula RM1,999. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan siri telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

