Site icon TechNave BM

Siri HONOR Magic8 dijangka akan dilancar pada Oktober 2025

Laporan awal tentang siri telefon andalan (flagship) seterusnya daripada HONOR, HONOR Magic8, sudah mula timbul sejak bulan Julai lalu. Kini lebih banyak maklumat mengenainya mula muncul dalam internet seperti waktu pelancarannya yang akan tiba tidak lama lagi.

Menurut pengkhabar berita teknologi dari China, siri HONOR Magic8 akan dilancar sekitar pertengahan bulan Oktober 2025. Memandangkan HONOR Magic7 pada tahun lalu dilancar di China pada 30 Oktober 2024, pelancaran Magic8 dalam bulan yang sama pada tahun ini adalah satu ramalan yang boleh dijangka.

Siri Magic8 dijangka terdiri daripada empat varian utama iaitu Magic8, Magic8 Pro, Magic8 Ultra dan Magic8 Mini. Ini merupakan dua tambahan varian berbanding siri Magic7 sebelum ini yang mempunyai varian Magic7 dan Magic7 Pro sahaja.

Walau bagaimanapun, varian Mini dan Ultra dijangka hanya akan dilancar pada 2026.

Perbezaan utama yang dijangka antara semua varian tersebut adalah cipset dan saiz skrin. Varian Mini dijangka menggunakan cipset MediaTek Dimensity 9500 dan skrin 6.3 inci iaitu yang terkecil dalam siri Magic8.

Magic8 dan Magic8 Pro akan menggunakan cipset Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen 2, namun dengan saiz skrin yang berbeza iaitu 6.58 inci untuk Magic8 dan 6.7 inci untuk Magic8 Pro. Spesifikasi Magic8 Ultra masih tidak diketahui, namun besar kemungkinan ia juga akan menggunakan Snapdragon 8 Elite Gen 2.

Selain cipset, semua varian Magic8 dijangka akan datang dengan kapasiti bateri yang lebih besar berbanding siri Magic7. Ia turut mempunyai kamera telefoto periskop, pengimbas cap jari ultrasonik dan pengecasan wayarles.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan siri Magic8 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

[Diterjemahkan daripada TechNave]

Exit mobile version