Site icon TechNave BM

Siri HUAWEI WATCH GT 5 kini boleh mula dibeli di Malaysia, harga bermula RM1,099

Jika anda berminat untuk memiliki seutas jam tangan pintar baharu, HUAWEI Malaysia baru-baru ini telah melancarkan beberapa model baharu iaitu HUAWEI WATCH GT 5, HUAWEI WATCH GT 5 Pro dan HUAWEI WATCH Ultimate (Green Edition), dan semua jam ini sudah boleh dibeli dalam pasaran Malaysia.

Antara fungsi baharu yang terdapat dalam jam ini termasuklah Emotional Wellbeing Assistant yang boleh mengukur tahap stres, perubahan perasaan serta corak emosi keseluruhan sepanjang hari. Jam ini boleh memberi beberapa tips jika ia mengesan anda mempunyai tahap stres tinggi, seperti peringatan untuk rehat atau senaman pernafasan.

Fungsi penjagaan emosi ini juga memberikan muka jam interaktif Pet Panda yang berfungsi seperti mood ring. Jam ini akan menunjukkan wajah panda comel yang bertindak balas dengan emosi anda pada setiap masa.

Selain itu, ia mempunyai fungsi penjejakan kesihatan seperti SpO2 (tahap oksigen dalam darah), penjejakan kualiti tidur dan HUAWEI TruSense System yang mengukur stres harian. Ia juga menyokong penggunaan lebih 100 jenis sukan seperti berlari, berenang, yoga dan golf.

Untuk mereka yang inginkan rekaan jam eksklusif, HUAWEI WATCH Ultimate mempunyai rekaan mirip jam tangan mewah. Ia juga mempunyai fungsi khas untuk sukan golf yang boleh digunakan di ribuan padang golf seluruh dunia, serta fungsi menyelam sehingga paras kedalaman air 100 meter.

Anda boleh baca artikel pelancaran untuk maklumat lanjut mengenai siri jam tangan ini.

Siri HUAWEI WATCH GT 5 akan dijual di Malaysia pada harga bermula RM1,099, manakala HUAWEI WATCH Ultimate (Green Edition) pula bermula RM3,799. Ia boleh dibeli di laman web HUAWEI, Shopee, Lazada, TikTok Shop serta kedai-kedai fizikal.

Para pemilik HUAWEI WATCH GT 5 Pro dan HUAWEI WATCH Ultimate boleh menggunakan aplikasi golf Deemples untuk menempah sesi golf di pelbagai padang golf seluruh negara. Mereka yang membeli mana-mana jam tangan ini sebelum 30 November 2024 boleh mendapatkan baucar RM300 dalam aplikasi Deemples. Promosi baucar ini hanya boleh didapati selepas 15 Oktober 2024.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan jam tangan HUAWEI ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version