Site icon TechNave BM

Siri iPhone 11, iPhone 12 dan iPhone 13 adalah telefon pintar terlaris pada 2021

Firma analisis industri telefon pintar Counterpoint Research telah menerbitkan sebuah laporan yang menyenaraikan 10 telefon pintar terlaris di seluruh dunia pada 2021, di mana majoriti telefon dalam senarai tersebut adalah Apple iPhone. Selain itu, telefon Samsung dan Xiaomi turut tersenarai.

Lima telefon teratas dalam senarai itu adalah iPhone 12, iPhone 12 Pro Max, iPhone 13, iPhone 12 Pro dan iPhone 11. Lima telefon ini menyumbangkan 41% terhadap jualan keseluruhan Apple pada 2021, terutamanya dengan siri iPhone 12 sebagai iPhone pertama yang menyokong rangkaian 5G.

Selain itu, pelancaran iPhone 12 yang agak lambat pada 2020 juga telah menyebabkan jualannya untuk berterusan sehingga 2021. iPhone 13 hanya mampu mengalahkan jualan iPhone 12 pada suku keempat 2021, selepas pelancarannya pada bulan Oktober.

Samsung Galaxy A12 pula berada di tangga keenam dan menjadikannya telefon pintar Android terlaris pada 2021. Galaxy A12 yang merupakan sebuah telefon bajet menampilkan spesifikasi asas yang mencukupi untuk kebanyakan pengguna, jadi ini mungkin telah meningkatkan daya tarikannya.

Ia diikuti dengan Xiaomi Redmi 9A sebagai telefon China terlaris pada tahun lepas. Satu varian kepada telefon itu, Redmi 9, berjaya mendapat tempat ke-10. Kedua-dua peranti ini menyumbangkan sebanyak 22% terhadap jualan keseluruhan Xiaomi pada 2021.

Tempat kelapan dan kesembilan dipegang oleh iPhone SE (2020) dan iPhone 13 Pro Max. Apple baru sahaja melancarkan iPhone SE (2022) dan ia dijangka akan menjadi antara telefon terlaris pada tahun ini.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Counterpoint

Exit mobile version