Site icon TechNave BM

Siri Lenovo Legion 5 Pro dilancar di Malaysia: Komputer riba “gaming” RTX 3070 bermula RM6,099

Lenovo Malaysia telah melancarkan komputer riba gaming terbaru iaitu Lenovo Legion 5 Pro dan Lenovo Legion 5 yang dilengkapi siri unit pemproses grafik (GPU) NVIDIA GeForce RTX 3000 dan pemproses (CPU) AMD Ryzen 7 5800H. Kedua-dua komputer ini telah pun diumumkan terlebih dahulu dalam acara CES 2021 pada awal tahun ini.

Legion 5 Pro dilengkapi pemproses AMD Ryzen 7 5800H, skrin IPS berukuran 16 inci dengan kadar segar semula 165Hz dan ketepatan warna sRGB 100%, teknologi penyejukan Lenovo Legion Coldfront 3.0, papan kekunci Legion TrueStrike dan unit GPU sehingga RTX 3070. Lenovo mengatakan komputer ini dibuat khas untuk penggiat e-sukan.

Lenovo Legion 5 Pro
Lenovo Legion 5

Legion 5 pula dilengkapi spesifikasi yang lebih kurang sama dengan Legion 5 Pro selain daripada skrin IPS 15.6 inci dan GPU GeForce RTX 3060. Papan kekunci TrueStrike dalam komputer ini juga dilengkapi penchayaan RGB empat zon untuk mereka yang menggemarkan corak RGB pada komputer mereka.

Lenovo Legion 5 Pro akan dijual pada harga RM6,799 manakala Lenovo Legion 5 akan dijual pada harga RM6,099. Pelanggan di Malaysia boleh mula membuat pra-tempahan untuk kedua-dua komputer sehingga 18 April, di mana mereka akan menerima hadiah percuma bernilai RM1,000 termasuklah kerusi TTRacing Surge Gaming Chair, baucar Steam Wallet RM200 dan pelbagai perkakasan Lenovo Legion.

Layari laman web Lenovo Malaysia untuk maklumat lanjut tentang komputer di atas. Beritahu kami di Facebook jika anda akan membeli komputer riba Lenovo ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version