Site icon TechNave BM

Siri RedMagic 11 Pro dilancar: SD 8 Elite Gen 5, AMOLED 1.5K 144Hz, bateri 8,000mAh bermula ~RM2,970

nubia telah melancarkan siri telefon pintar gaming terbaru untuk pasaran China iaitu RedMagic 11 Pro+ dan RedMagic 11 Pro. Kedua-dua telefon ini dilengkapi spesifikasi yang amat canggih, termasuklah cipset andalan (flagship) Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen 5 untuk prestasi yang pantas.

Kedua-dua varian mempunyai skrin BOE X10 AMOLED berukuran 6.85 inci dengan resolusi 1.5K dan kadar segar semula 144Hz. Skrin ini turut menempatkan kamera swafoto 16MP bawah skrin yang tersembunyi dan pengimbas cap jari ultrasonik 3D.

Bagi menyediakan pengalaman gaming yang responsif, skrin ini menyokong kadar bacaan sentuh (touch sampling rate) sehingga 3,000Hz dan kadar bacaan multi-sentuh sehingga 360Hz.

Untuk meningkatkan prestasi gaming, ia mempunyai cip gaming R4, RAM LPDDR5T sehingga 24GB dan storan dalaman UFS 4.1 Pro sehingga 1TB.

Bateri 11 Pro berkapasiti 8,000mAh dan menyokong pengecasan pantas 80W, manakala bateri 11 Pro+ mempunyai kapasiti yang lebih kecil iaitu 7,500mAh, namun menyokong pengecasan yang lebih pantas iaitu 120W berwayar dan 80W wayarles.

Untuk kamera di belakang, siri telefon ini mempunyai kamera utama 50MP dan kamera ultra-lebar 50MP.

Untuk audio, ia masih menawarkan bicu audio 3.5mm, pembesar suara stereo dan tiga mikrofon. Spesifikasi lain termasuklah sokongan Wi-Fi 7, NFC, pemancar IR, rating kalis air IPX8 dan sistem operasi RedMagic OS 11.

Pilihan warna juga berbeza untuk kedua-dua varian. RedMagic 11 Pro ditawarkan dalam warna Dark Knight dan Silver Winged War God, manakala RedMagic 11 Pro+ ditawarkan dalam warna Dark Knight, Transparent Silver Wing dan Transparent Dark Knight.

RedMagic 11 Pro akan dijual pada harga bermula CNY4,999 (~RM2,970) untuk varian 12GB+256GB, manakala RedMagic 11 Pro+ akan dijual pada harga bermula CNY5,699 (~RM3,390) untuk varian 12GB+256GB.

Setakat ini masih tiada maklumat mengenai keberadaannya di Malaysia. Jika anda berminat dengan generasi sebelumnya, RedMagic 10S Pro telah dijual untuk pasaran Malaysia pada harga bermula RM3,499.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version