Site icon TechNave BM

Sony Alpha ZV-E10 dilancar di Malaysia: Kamera APS-C khas untuk pencipta video bermula RM2,599

Sony Malaysia hari ini telah melancarkan kamera Sony Alpha ZV-E10 iaitu sebuah kamera dengan lens boleh ditukar (interchangeable lens camera) yang dikhaskan untuk pencipta kandungan video di internet (creators). Semua lensa Sony E-Mount boleh dipasangkan pada kamera ini untuk mencapai visi kreatif pengguna.

Ia dilengkapi pelbagai fungsi khas untuk pencipta kandungan video seperti Background Defocus bagi menghasilkan latar belakang kabur dan Product Showcase Setting yang membenarkan kamera untuk memfokuskan objek di hadapannya dengan pantas. Fungsi-fungsi ini diambil daripada kamera Sony ZV-1 yang popular dengan pencipta video.

ZV-E10 dilengkapi sensor APS-C Exmor CMOS 24.2 megapiksel dan enjin pemproses imej BIONZ X untuk penghasilan imej yang cantik. Ia turut dilengkapi skrin Vari-angle LCD yang boleh diputar 180° ke hadapan untuk memudahkan rakaman swafoto serta sudut rakaman tinggi dan rendah.

Ia boleh merakam dalam resolusi 4K dan kadar bingkai tinggi (high frame rate) FHD 120p dengan codec XAVC S. Rakamannya boleh distabilkan dengan penstabilan imej elektronik manakala teknologi autofokus seperti Fast Hybrid AF dan Real-time Eye AF akan memastikan ia boleh menjejak (tracking) subjek dengan tepat. Pengguna juga boleh menyentuh sahaja skrin untuk memilih titik fokus.

Sony Alpha ZV-E10 akan mula dijual pada September 2021 dengan harga RM2,599 untuk kamera sahaja atau RM3,099 bersama lensa E PZ 16-50mm F3.5-5.6. Layari laman web Sony Malaysia untuk maklumat lanjut tentang kamera ini.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version