fbpx
More

    Ulasan Sony ZV-1 – Kamera ‘vlogger’ yang hampir sempurna

    Sejak 2012, Sony telah mengeluarkan model kamera digital premium RX100 yang baru setiap tahun di mana edisi terakhir ialah RX100 VII yang dilancarkan pada 2019. Namun untuk tahun 2020, Sony mungkin tidak akan menghasilkan sebuah lagi RX100 dan sebaliknya telah mengeluarkan model kamera yang baru iaitu Sony ZV-1. Sekali pandang, kamera ZV-1 ini memang serupa dengan RX100 malah spesifikasinya juga lebih kurang sama, jadi apakah yang membuatkan ZV-1 unik dan adakah ia sesuai untuk keperluan fotografi atau videografi anda? Ayuh baca ulasan kami untuk mengetahuinya.

    ZV-1 mempunyai saiz kompak yang serupa dengan RX100 di mana anda boleh memegangnya dengan satu tangan dan boleh dimasukkan dengan mudah ke dalam poket seluar atau beg tangan. Sebaik sahaja saya memegang kamera ini, saya boleh merasakan badannya yang dibuat daripada plastik dan rasa lebih murah sedikit berbanding RX100 yang mempunyai badan besi. Sony mungkin ingin menggunakan plastik pada badan ZV-1 untuk menjualnya pada harga yang lebih murah berbanding RX100.

    Satu ciri fizikal yang menarik dalam ZV-1 adalah skrin LCD yang boleh diputarkan secara 180° ke bahagian depan, memudahkan vlogger untuk merakam diri mereka sendiri. Memandangkan skrinnya dikeluarkan ke bahagian sisi kamera, ia tidak mengganggu sebarang aksesori yang diletakkan pada hotshoe di atas kamera seperti mikrofon shotgun atau lampu kilat (flash). Di sebelah hotshoe pula, terdapat mikrofon yang direka untuk mengutamakan audio daripada bahagian depan kamera. Turut diberi dalam kotak ZV-1 adalah bebulu mikrofon (wind screen atau dead cat) yang boleh dipasang untuk mengurangkan bunyi bising yang terhasil daripada angin.

    Skrin LCD yang boleh dikeluarkan ke bahagian sisi dan diputar 180° untuk rakaman selfie
    Bahagian atas ZV-1. Dari kiri: “Hotshoe”, mikrofon, suis “On/Off”, butang mod, butang “shutter”,butang rakaman video dan butang “Bokeh”. Tiada roda “mode dial” pada ZV-1.
    Bahagian kanan ZV-1. Dari atas: bicu mikrofon 3.5mm, port microUSB dan port microHDMI
    Rupa belakang ZV-1. Skrin LCD ini boleh disentuh untuk tetapkan titik fokus dalam gambar
    Rupa ZV-1 dengan “wind screen” di bahagian atas kamera dan tongkat pemegang VCT-SGR1 (tongkat dijual berasingan)
    Tetapan ZV-1 yang terbaik untuk kegunaan ‘vlogging’
    Perbandingan saiz antara ZV-1 (kiri) dengan RX100 III (kanan)

    Di sebelah mikrofon, terdapat lima butang (agak banyak untuk sebuah kamera digital kompak) iaitu suis, mod penggambaran, shutter untuk gambar, rakaman video dan Bokeh. Butang kelima ini adalah sangat menarik kerana ia membolehkan latar belakang vlogger untuk dikaburkan atau dijelaskan hanya dengan menekan butang tersebut.

    Di bahagian sisi kamera, terdapat bicu mikrofon 3.5mm jika anda ingin menggunakan mikrofon shotgun untuk rakaman audio yang lebih jelas. Terdapat juga port HDMI jika anda ingin menggunakan pemacu HDMI sewaktu merakam dan port microUSB untuk tujuan pengecasan. Saya agak kecewa sedikit kerana ia bukanlah USB-C memandangkan kini sudah pun 2020.

    Di bahagian depan pula, ZV-1 dilengkapi kanta ZEISS T* 24-70mm dengan apertur f/1.8 sehingga f/2.8. Walaupun jarak fokal setakat 70mm tidak membolehkan anda untuk zum dengan jauh (lebih kurang zum 2.7x sahaja), apertur besar pada nilai f/1.8 akan membuatkan gambar anda mempunyai efek kabur bokeh yang lebih lembut pada latar belakang. Malah, dengan kehadiran penapis neutral density (ND filter) anda masih boleh mengekalkan apertur yang besar itu walaupun jika anda merakam di bawah cahaya terik. Berdekatan dengan kanta pula, terdapat sebuah lampu merah yang akan menyala sebaik sahaja rakaman dimulakan.

    ZV-1 mengekalkan sensor dan pemproses imej sama yang terdapat pada RX100 VII iaitu sensor Exmor RS CMOS 1.0 inci 20.1MP dan pemproses imej BIONZ X. Walaupun sensor ini tidak sebesar kamera tanpa cermin (mirrorless) atau DSLR, ia masih boleh memberikan imej yang sangat cantik. Malah apabila digabungkan dengan BIONZ X, gambar-gambar yang terhasil daripada ZV-1 jauh lebih menawan daripada gambar kamera telefon pintar.

    Sesuai dengan rekaannya sebagai kamera digital kompak, anda tidak perlu mengubah banyak tetapan seperti apertur atau kelajuan shutter untuk mendapatkan gambar yang cantik. Tetapan Intelligent Auto sahaja sudah memadai untuk kebanyakan situasi penggambaran. Berikut adalah contoh gambar yang diambil dengan ZV-1:

    Latar pencakar langit Kuala Lumpur
    Latar pencakar langit Kuala Lumpur, dengan zum 70mm
    Pusat Konvensyen Kuala Lumpur
    Walaupun kenderaan ini bergerak pantas, saya masih sempat mengeluarkan ZV-1 dari poket dan mengambil gambar yang jelas ini
    Walaupun di sebalik topeng muka, autofokus ZV-1 masih boleh menjejak mata
    Gambar bumbung dan tingkap sebuah koridor
    Walaupun jarak fokal 70mm tidak boleh zum dengan jauh, anda masih boleh mendapatkan komposisi yang menarik
    Perbandingan jarak fokal dalam kamera ZV-1. Kiri: 24mm, Kanan: 70mm
    Contoh gambar malap. Dengan sensor 1.0 inci, ia memberi hasil yang memuaskan
    Jika subjek diterangi dengan cukup, ZV-1 masih boleh mengambil gambar yang cantik dalam situasi malap
    Warung takoyaki
    Sedap nampak kueytiow ni
    Untuk situasi malap, anda mungkin perlu mengambil beberapa gambar kerana getaran yang kecil pun boleh menjejaskan mutu gambar
    Tiada masalah untuk mengambil gambar makanan dengan dekat

    Kamera ini juga boleh dihubungkan dengan telefon pintar anda melalui aplikasi Imaging Edge Mobile untuk memindahkan gambar daripada kamera ke telefon. Jadi jika anda ingin berkongsi gambar daripada ZV-1 ke dalam Instagram atau Facebook selepas sahaja ia diambil, tiada masalah.

    Walau bagaimanapun, saya merasakan ZV-1 bukanlah kamera yang sesuai jika anda ingin mengambil gambar dengan tetapan selain Auto. Ini adalah kerana kamera ini tidak mempunyai roda mode dial untuk menukar mod penggambaran seperti Shutter Priority, Aperture Priority atau Manual Setting dengan mudah. Selain itu, ketiadaan viewfinder juga menyukarkan saya untuk mengambil gambar di bawah matahari terik dan menetapkan pendedahan cahaya (exposure) dengan betul.

    Namun ini semua bukanlah isu yang terlalu besar kerana fokus penggunaan ZV-1 adalah pada rakaman video, bukannya gambar. Ini adalah kerana ZV-1 sarat dengan pelbagai ciri-ciri video istimewa terutamanya buat pencipta video dalam YouTube. Selain memberikan kualiti video yang sangat cantik hasil daripada pemproses BIONZ X dan sensor 1.0 inci, ZV-1 mempunyai sistem autofokus mata (eye autofocus) yang memastikan muka anda sentiasa dalam fokus sewaktu anda merakam diri sendiri. Butang Bokeh yang saya katakan tadi berfungsi dengan amat baik jika anda ingin mengkaburkan atau menjelaskan latar belakang anda.

    Bercakap tentang fokus, anda boleh menggunakan skrin sentuh LCD untuk menjejak objek bergerak (object tracking). Sebagai contoh, jika anda ingin memfokus dan rakam seekor burung yang berterbangan, anda hanya perlu menghadapkan kamera ke burung tersebut dan sentuh imej burung pada skrin, kini ZV-1 akan memastikan burung itu kekal dalam fokus selagi ia masih berada di hadapan kamera.

    Satu fungsi yang sangat menarik adalah Product Showcase di mana kamera akan memfokuskan pada sebarang objek yang diletakkan di hadapan kanta. Pemfokusannya berfungsi dengan sangat lancar dan tepat, malah fokusnya tidak berubah-ubah (focus hunting) walaupun jika muka anda berada dalam frame bersama produk yang dipertontonkan. Fungsi ini tentunya amat berharga buat influencer internet yang ingin mempromosikan produk-produk mereka melalui rakaman video.

    Jika anda vlogger yang lebih gemar merakam diri sendiri di kawasan luar pula, ZV-1 mempunyai teknologi penstabilan imej SteadyShot yang sangat baik. Ia akan menstabilkan rakaman anda sewaktu anda berjalan, jadi tiada masalah untuk membuat vlog sambil melawat tempat kegemaran anda. Namun apabila SteadyShot diaktifkan, ia akan mengecilkan (crop) sedikit medan penglihatan kamera anda jadi anda akan nampak lebih dekat dengan kamera dalam rakaman anda.

    ZV-1 boleh merakam resolusi sehingga 4K pada 30fps dan jika anda ingin merakam dengan kadar bingkai (frame rate) yang tinggi pula, anda boleh merakam sehingga 1080p pada 120fps. Jika anda mahukan efek gerak perlahan (slow motion) yang amat perlahan, anda boleh mengaktifkan mod HFR (high frame rate) 960fps namun kualiti videonya tidaklah tajam. Selain itu, rakaman HFR juga hanya dihadkan selama satu saat sahaja kemudian ZV-1 akan memproseskannya untuk menjadi video gerak perlahan.

    Sony juga mengatakan sains warna dalam ZV-1 telah diperbaharui agar tona kulit dirakam dengan cantik dalam video. Fungsi Soft Skin Effect sebenarnya agak menarik untuk digunakan, semua kedutan di muka saya tidak kelihatan dalam video. Namun ia hanya berfungsi dengan baik pada tetapan Low, jika ia lebih tinggi daripada itu muka saya akan nampak seperti saya memakai solekan yang berlebihan.

    Semua ciri video yang saya terangkan di atas boleh dilihat dalam ulasan video di atas, lengkap dengan catatan masa (timestamps) untuk ciri kamera yang dibincangkan

    Satu masalah yang terdapat pada ZV-1 adalah hayat baterinya. Kamera ini dilengkapi bateri NP-BX1 yang berkapasiti 1,240mAh sahaja, jadi anda tidaklah merekod dengan lama walaupun daripada pengecasan penuh. Sewaktu saya banyak menggunakan fungsi rakaman video untuk membuat sebuah vlog harian, bateri ini hanya tahan selama sejam setengah (~90 minit) sahaja iaitu lama sedikit berbanding 75 minit yang diberitahu oleh Sony. Mujur kamera ini boleh dicas menggunakan  power bank jadi kalau anda ingin membawa ZV-1 untuk merakam pelancongan atau aktiviti harian anda, pastikan untuk bawa sekali power bank atau beberapa bateri NP-BX1 yang lebih.

    Selain itu, pengecas untuk kamera ini juga tidak disertakan dalam kotak ZV-1. Pelanggan hanya diberikan kabel microUSB dan kamera hanya boleh dicas dengan menghubungkannya kepada komputer. Saya hairan (dan agak kecewa) mengapa Sony tidak menyertakan pengecas apabila anda beli kamera yang mahal seperti ini.

    Secara keseluruhan, Sony ZV-1 adalah kamera yang sangat menarik namun saya tidak merasakan ia sesuai untuk kegunaan orang ramai. Pengguna-pengguna kasual kini sudah pun mengharapkan pada telefon mereka untuk mengambil gambar, manakala penggiat fotografi pula mungkin tidak mengendahkan ZV-1 ini kerana ia tidak mempunyai mode dial dan viewfinder. Malah dengan harga RM3,399, ia bukanlah kamera yang mudah untuk disyorkan.

    Satu golongan yang saya rasa boleh memanfaatkan ZV-1 sepenuhnya adalah vlogger yang sering memuat naik video ke YouTube atau Vimeo. Dengan fungsi seperti Product Showcase dan autofokus mata, ini adalah kamera yang anda perlu dapat untuk hasilkan vlog dengan kualiti terbaik secara mudah. Jika Sony Action Cam dibuat untuk penggemar sukan lasak, ZV-1 pula adalah produk khusus untuk vlogger.

    Kalau anda merasakan harganya terlalu mahal, anda boleh lihat pada Canon G7 X Mark III (RM2,999) atau Sony RX100 III (RM3,149) di mana kedua-dua kamera ini menawarkan fungsi dan mutu videografi yang serupa. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan Sony ZV-1 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Spesifikasi:

    • Sensor Exmor RS CMOS 1.0 inci 20.1MP, nisbah aspek 3:2
    • Kanta ZEISS Vario-Sonnar T* 24-70mm f/1.8-f/2.8
    • Pemproses imej BIONZ X
    • Skrin sentuh TFT LCD 7.5cm, nisbah aspek 4:3
    • Penstabilan imej SteadyShot
    • Autofokus Fast Hybrid AF, menyokong penjejakan mata dan objek
    • Rakaman video XAVC S 4K pada 30fps, rakaman 1080p sehingga 120fps
    • Rakaman HFR 240fps, 480fps atau 960fps
    • Bicu mikrofon 3.5mm, Multi Interface shoe, microUSB, Micro HDMI

    Kebaikan: Mutu rakaman yang cantik, boleh merakam sehingga 4K, penstabilan imej yang baik, skrin LCD yang boleh diputar untuk hasilkan vlog swafoto, suis Bokeh untuk kaburkan latar belakang dengan sangat mudah

    Keburukan: Hayat bateri yang rendah, tiada mode dial dan viewfinder, pengecas tidak disertakan dalam kotak

    Kesimpulan: Kamera digital yang perlu dimiliki kalau anda serius dengan pembuatan vlog

     

    Artikel Terkini

    Apple mengalih keluar WhatsApp dan Thread daripada App Store di China

    Menurut Reuters, Apple melaporkan bahawa Pentadbiran Ruang Siber China (CAC) meminta Apple untuk mengalih keluar aplikasi WhatsApp dan Threads daripada App Store...

    Nubia Neo 2 5G akan dilancar di Malaysia pada 22 April 2024

    ZTE Malaysia telah memberi petunjuk ketibaan telefon pintar gaming jarak pertengahan di halaman Facebook yang akan dilancarkan pada 22 April 2024. Telefon...

    Meta AI umum akan datang ke Facebook, WhatsApp, Messenger dan Instagram kelak

    Meta AI yang dibina dengan Meta Llama 3 kini tersedia untuk beberapa negara di luar AS tetapi Malaysia masih belum menerimanya...

    HUAWEI nova 12i dilancar di Malaysia: SD 680, kamera 108MP dan storan 256GB pada...

    HUAWEI memperkenalkan HUAWEI nova 12i di seluruh negara, tambahan terbaru kepada siri nova dengan reka bentuk anggun. Ia menampilkan reka bentuk Cincin...

    Sony menukar polistirena kepada biopolimer biodegradasi dalam bungkusan untuk pelihara alam

    Sony merupakan syarikat pertama dalam industri yang menghapuskan penggunaan bahan kusyen buih polistirena untuk TV besar melibatkan BRAVIA 9 dan TV LED...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X