fbpx
More

    Ulasan RX100 VII – Kamera kompak lengkap buat mereka yang ingin mengorak langkah dalam dunia fotografi

    Lapan tahun selepas pengenalannya pada 2012, siri kamera point-and-shoot terunggul daripada Sony, RX100, kini sudah pun berada dalam generasi ketujuh dengan model yang terbaru, RX100 VII. Sejak generasi pertama, siri ini memang terkenal sebagai sebuah kamera kompak yang sarat dengan teknologi canggih serta dilengkapi ciri-ciri yang biasanya cuma wujud dalam kamera profesional. Jadi apakah yang ditawarkan oleh Sony dalam model ketujuh ini? Adakah ia kamera yang sesuai untuk anda?

    Daripada segi luaran, RX100 VII memang tidak ada beza rupanya jika dibandingkan dengan model-model sebelumnya. Saya sendiri adalah pemilik RX100 III dan apabila kedua-dua kamera tersebut diletak bersebelahan, ia memang tidak dapat dibezakan. RX100 VII juga masih mengekalkan ciri-ciri luaran yang memang sudah menjadi trademark siri itu, seperti skrin LCD yang boleh diputar 180° untuk fungsi selfie, viewfinder untuk memudahkan penggambaran serta lampu kilat (flash) yang boleh ditolak ke atas.

    RX100 VII dilengkapi skrin LCD yang boleh disengetkan ke atas sehingga 180° dan ke bawah sehingga 90°. Lampu kilat (flash) juga boleh ditolak ke atas dan viewfinder untuk membantu penggambaran.
    RX100 III (kiri) dan RX100 VII. Nampak sama, bukan?

    Kamera point-and-shoot unggul ini mampu menghasilkan gambar yang sangat cantik walaupun pada seting Auto.

    Dengan sensor CMOS satu inci dan pemproses imej BIONZ X yang baharu, gambar-gambar daripada kamera kecil ini mampu menyaingi gambar yang diambil daripada kamera DSLR atau mirrorless.

    RX100 VII hadir dengan pelbagai efek gambar (Picture Effect) yang sangat menarik. Efek yang digunakan dalam gambar di atas ialah ‘High-Contrast Mono’.
    Kanta 24-200mm memberikan kebolehan kepada pengguna untuk zum jauh dan mendapatkan komposisi yang menarik tanpa perlu berada dengan hampir kepada subjek. Dalam gambar ini saya menggunakan Shutter Priority untuk mendapatkan gambar titisan air daripada jauh.
    Gambar ini diambil dengan mod Aperture Priority di mana apertur disetkan pada f/4.5 pada jarak fokal 72mm. Ini adalah apertur yang terbesar boleh ditetapkan pada jarak fokal tersebut.
    RX100 VII juga mampu mengambil gambar yang cantik dalam situasi malap (low light).

    Spesifikasi kantaMengorbankan bokeh dan ND untuk kebolehan zum yang lebih jauh

    Anda mungkin akan terfikir generasi ketujuh semestinya adalah lebih baik daripada model-model sebelumnya. Tidak semestinya untuk RX100 VII.

    Sebagai permulaan, mari kita tengok pada spesifikasi kantanya. Kamera itu mengekalkan kanta yang diperkenalkan dalam model VI, ia mempunyai jarak fokal 24-200mm dengan apertur f/2.8 hingga f/4.5

    Perbandingan antara dua gambar daripada RX100 VII: gambar sudut lebar (24mm) di sebelah kiri dan gambar telefoto (200mm) di sebelah kanan. Ternyata kebolehan zum kamera ini adalah sangat jauh.

    Ini bermaksud RX100 VII boleh zum dengan lebih jauh berbanding model I, II, III, IV dan V, namun aperturnya tidak sebesar lima kamera tersebut yang bermula dengan f/1.8 hingga f/2.8.

    Pengguna boleh mendapatkan efek bokeh yang lebih lembut daripada model I hingga V berbanding VII. Jadi, jika anda inginkan kanta yang mempunyai apertur sebesar f/1.8, mungkin anda boleh dapatkan model RX100 yang lebih lama.

    Walaupun apertur kanta RX100 VII bermula dengan f/2.8, ia tidaklah bermakna ia tidak mampu menghasilkan efek bokeh yang memuaskan. Kamera ini masih mampu mengasingkan subjek dengan latar belakang melalui efek bokeh yang cantik, tetapi tidak sekabur yang boleh dihasilkan model-model sebelumnya.

    Selain itu, antara perkara yang mungkin akan membuatkan anda untuk tidak membeli RX100 VII adalah ketiadaan penapis neutral density (ND) yang wujud dalam model-model sebelumnya. Penapis ND adalah amat penting terutamanya apabila anda merakam video di bawah cahaya yang sangat terang dan ingin mendapatkan pergerakan (motion) yang lebih lancar. Jika anda inginkan penapis ND, anda perlu membeli daripada pihak ketiga dan memasangnya di depan kanta.

    AF dan FPS sepantas kilat – usah bimbang hilang fokus dan syot bernilai lagi!

    Walaupun dengan apertur kanta yang lebih kecil dan ketiadaan ND, ini tidaklah bermakna kamera itu lebih teruk daripada model-model sebelumnya kerana pada aspek-aspek lain, hampir kesemuanya telah diperbaiki oleh Sony untuk memberikan pengalaman fotografi dan videografi yang lebih mudah.

    Daripada segi fokus auto (AF), RX100 VII mengadaptasi teknologi jejakan mata (eye-tracking) daripada siri Alpha untuk memudahkan pengguna mengekalkan fokus dan menjejak muka subjek yang kerap bergerak dalam bingkai (frame). Saya telah mengujinya dan RX100 VII berjaya mengikut mata subjek saya walaupun apabila dia bergerak pantas.

    Gambar-gambar di atas menunjukkan AF jejakan mata RX100 VII mampu mengikut mata subjek walaupun apabila subjek saya bergerak pantas.

    RX100 VII juga mampu mengambil gambar sebanyak 20 gambar sesaat (frames per second, FPS), membuatkan ia sesuai untuk digunakan dalam situasi yang bergerak pantas seperti sukan atau perlumbaan kereta.

    Saya menggunakan ciri ini untuk mengambil gambar beberapa skateboarder yang bergerak laju dan kamera ini berjaya mengekalkan fokus pada subjek saya (dengan teknologi jejakan mata tadi) walaupun ia mengambil gambar dengan kadar yang amat laju. 

    Rentetan gambar di atas diambil dengan fungsi 20FPS.

    Malah, apabila anda menggunakan mod 20 FPS ini, tiada sebarang skrin hitam (blackout) di antara gambar yang diambil.

    Ini memudahkan anda untuk mengekalkan komposisi subjek dalam gambar anda sepanjang anda mengambil gambar.

    Gambar-gambar di atas diambil dengan fungsi 20 FPS, di mana saya boleh tangkap beberapa gambar pada kadar yang sangat cepat dan saya boleh pilih gambar yang ingin saya gunakan di sini.

    Jika anda inginkan kadar mengambil gambar yang lebih pantas lagi, RX100 VII juga mempunyai mod 30, 60 dan 90 FPS tetapi anda hanya boleh mengambil tujuh gambar setiap kali anda menekan shutter. Pada pendapat saya, 20 FPS sudah memadai kerana ia tidak ada had dan akan terus mengambil gambar sepanjang shutter ditekan.

    Skrin sentuh LCD – sangat membantu tetapi masih tidak diimplementasi sepenuhnya

    RX100 VII mengekalkan skrin sentuh LCD daripada model VI yang membolehkan pengguna untuk sentuh pada bahagian gambar yang ingin difokuskan dan dijejak (touch focus). Ini membuatkan penggunaan kamera ini mirip telefon pintar dan sangat mudah buat ahli fotografi baru.

    Digabungkan dengan FPS yang sangat pantas serta jejakan yang responsif, membuatkan kamera ini sesuatu yang amat berkemampuan untuk kewartawanan sukan. Sepanjang saya mengambil gambar-gambar skateboarder di atas, saya boleh mendapatkan gambar yang bermutu tinggi tanpa berfikir panjang.

    Berikut adalah contoh gambar yang diambil menggunakan touch focus:

    Untuk memfokus pada kucing (atas), saya hanya perlu menyentuh gambar kucing tersebut di skrin LCD RX100 VII. Untuk memfokus pada latar belakang pula, saya hanya perlu menyentuh latar belakangnya di skrin LCD.

    Akan tetapi, skrin sentuh tersebut tidak boleh digunakan untuk mengendali menu kamera ini. Jika anda ingin mengubah sebarang tetapan, anda perlu mengendali menunya menggunakan roda kawalan yang berada di sebelah skrin.

    Bercakap tentang menu, sistem menu RX100 VII masih rumit dan agak sukar untuk difahami buat ahli fotografi baru. Apabila pengguna hanya boleh mengendali menunya menggunakan roda kawalan, ini membuatkan pembelajaran dan pemahaman sistem menu RX100 VII sesuatu yang mengambil masa. Tentunya masalah ini mampu dipermudahkan jika menu itu boleh dikendalikan menggunakan skrin sentuh.

    Rakaman 4K – Tingkatkan kualiti vlog anda (selagi kamera tidak overheat)

    Daripada segi video, RX100 VII boleh merekod dalam 4K 24p atau 30p tanpa kekangan masa lima minit seperti yang terdapat dalam model VI. Namun, anda perlu menetapkan Auto Power OFF Temp kepada High untuk berbuat demikian. Ini akan membuatkan kamera tersebut untuk merakam dalam 4K sehingga ia terpadam sendiri kerana terlalu panas.

    Seperti model RX100 yang lain, kualiti video adalah amat tinggi kerana sensor CMOS-nya yang berukuran 1 inci, membuatkan ia nampak seperti video daripada DSLR. Dengan skrin yang boleh diputar 180°, ia juga sesuai untuk digunakan sebagai kamera vlogging.

    Skrin LCD yang boleh diputar 180° ke atas amat sesuai untuk rakaman vlog dan selfie.

    Siri RX100 memang sudah sinonim dengan kegunaan vlogging tetapi ramai yang merungut kerana ketiadaan bicu mikrofon dalam kamera itu.

    Selepas tujuh generasi, RX100 VII akhirnya mempunyai sebuah bicu mikrofon 3.5mm supaya ia boleh dihubungkan dengan mikrofon luaran dan mendapat audio yang lebih jelas serta fokus pada satu arah.

    Anda kini boleh menghubungkan sebuah RX100 dengan mikrofon luaran. Mikrofon dalam gambar ini ialah Rode VideoMic Shotgun Microphone. Tripod yang dilengkapkan di bawah ialah Shooting Grip Sony yang boleh dibeli secara berasingan.

    Buat mereka yang berminat untuk menggubah pewarnaan rakaman RX100 VII untuk menjadikannya lebih sinematik, kamera ini juga boleh merakam dengan profil warna S-Log atau HLG yang kemudian boleh dibetulkan (colour correction) dan digubah (colour grading).

    Selain itu, fungsi High Frame Rate (HFR) adalah alat yang sangat berguna untuk mencipta video perlahan (slow motion). Dengan rakaman sepantas 240, 480 atau 960 FPS, kamera ini mempunyai kebolehan memperlahan yang sangat tinggi. Saya menggunakannya untuk memperlahankan gerakan skateboard di tengah-tengah udara dan ia adalah sangat menarik! Akan tetapi, anda hanya boleh merakam video HFR selama empat saat sahaja jadi anda perlu pandai mengagak pemasaan untuk menekan butang Record.

    Video gerak perlahan ini diambil menggunakan fungsi HFR pada tetapan 240 FPS.

    Rakaman video dalam RX100 VII juga boleh distabilkan secara elektronik dengan SteadyShot tetapi ia tidaklah terlalu bagus. Apabila saya membuat rakaman sambil berjalan, kesan getaran yang dihasilkan daripada setiap langkah kaki masih wujud walaupun dengan seting penstabilan yang paling tinggi iaitu ‘Intelligent Active’.

    Untuk mendapatkan syot yang sangat stabil, anda masih perlu menggunakan gimbal.

    Kesan getaran yang terhasil waktu saya merakam sambil berjalan masih jelas walaupun SteadyShot sudah diaktifkan.

    Kamera point-and-shoot tapi harga macam iPhone?

    Dengan ciri-ciri di atas, anda mungkin merasakan bahawa kamera ini akan dijual dengan harga yang mahal. Jika itu tanggapan anda, anda memang betul kerana kamera ini berharga RM5,099. Jadi mengapakah anda perlu berbelanja begitu besar untuk sebuah kamera point-and-shoot?

    Sebelum membuat keputusan, anda perlu bertanya apakah objektif yang anda inginkan daripada fotografi anda. Jika anda ingin mengambil gambar cantik untuk kegunaan harian tanpa perlu mengambil usaha untuk menetapkan seting kamera, saya rasa lebih baik anda dapatkan telefon pintar dengan kamera yang bagus seperti iPhone 11 atau Huawei Mate 30.

    Gambar di atas adalah daripada iPhone 11 manakala di bawah pula adalah daripada RX100 VII.

    Namun jika anda ingin membawa fotografi anda ke tahap yang lebih tinggi daripada yang ditawarkan oleh telefon pintar, RX100 VII adalah pilihan yang amat mantap. Ini adalah kerana anda boleh menggunakan fungsi yang terdapat dalam kamera-kamera profesional seperti Sony Alpha tanpa perlu merisaukan tentang badan kamera dan kanta yang berat.

    Jika anda adalah seorang vlogger, RX100 VII perlu dimiliki oleh anda kerana kamera kecil dan ringan ini boleh mendapatkan kualiti video yang sangat cantik mirip kamera-kamera yang lebih besar. Dengan penyertaan bicu mikrofon dalam generasi ketujuh ini, membuatkan RX100 VII lebih cenderung untuk kegunaan vlogging.

    Beritahu kami di Facebook jika anda merancang untuk mendapatkan kamera ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk lebih banyak ulasan dan berita teknologi.

     

    Artikel Terkini

    Samsung Galaxy A35 5G dan A55 5G, mana satu lebih bagus?

    Jadi Samsung dah lancarkan dua telefon terbaru dalam siri telefon mid-range iaitu Samsung Galaxy A35 5G dan Samsung Galaxy A55 5G! Dua-dua...

    Nothing mengacah produk audio yang akan datang tidak lama lagi

    Nothing yang merupakan jenama dengan reka bentuk yang menarik kini telah menyiarkan pengacah rasmi mengenai pelancaran produk audio yang akan datang. Seperti...

    Selepas PDRM, Imigresen mungkin turut akan menggunakan kamera badan

    Sebelum ini, kami laporkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memakai kamera badan secara beransur-ansur mulai Oktober ini. Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)...

    Fungsi Gemini dalam Google Messages kini tersedia untuk pengguna di Malaysia

    Google Gemini merupakan bot sembang AI oleh Google dengan model berbilang bahasa. Namun, untuk mengakses Gemini Ultra, anda perlu melanggan pelan Google...

    Imej janaan Google Pixel 9 tertiris tanpa kanta periskop, model XL turut bakal dilancar

    Sebelum ini, terdapat imej janaan yang tertiris menunjukkan pandangan pertama Google Pixel 9 dan 9 Pro. Kini, sumber mendedahkan bahawa model standard...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X