More

    Ulasan vivo X300 Pro – Kamera ZEISS generasi baru untuk vivo!

    Dengan 2025 yang semakin hampir kepada penamatnya, vivo Malaysia tidak ketinggalan untuk melancarkan telefon pintar flagship generasi seterusnya dengan melancarkan vivo X300 Pro pada November lalu. Ini merupakan antara telefon terawal dengan cipset MediaTek Dimensity 9500 iaitu cipset tercanggih oleh MediaTek setakat ini, dan ia turut dilengkapi kamera canggih yang dikuasakan teknologi ZEISS seperti telefon-telefon vivo X sebelum ini.

    Tidak mengejutkan bahawa ia dijual pada harga yang mahal iaitu RM4,699 untuk memori 16GB+512GB. Jadi adakah ia berbaloi pada harga tersebut? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya.

    Rekaan – Kemas, dengan bonggol kamera tebal

    Apabila anda melihat telefon ini, ia mempunyai rekaan yang agak asas untuk sebuah telefon flagship. Warna yang dipinjamkan kepada kami ialah perang Dune Brown dan permukaannya matte, jadi ia tidak meninggalkan kesan cap jari langsung. Sebuah logo vivo jelas terpampang di bahagian bawah.

    Pilihan warna yang ditawarkan termasuklah hitam Phantom Black dan biru Mist Blue. Pada pendapat saya, vivo tidak menawarkan pilihan warna yang menarik untuk telefon flagship tahun ini. Walaupun demikian, ia mempunyai permukaan belakang yang dibuat daripada kaca bagi menghasilkan ketahanan yang tinggi dan layak untuk telefon flagship.

    Bahagian belakang vivo X300 Pro
    Bonggol kamera yang menempatkan tiga lensa dan logo ZEISS, bulat di bahagian atas kanan itu sebenarnya tidak menempatkan lensa langsung, ia sekadar hiasan
    Bonggol kamera yang agak tebal
    Skrin vivo X300 Pro

    Satu perkara yang menarik perhatian pastinya adalah bonggol kameranya yang berbentuk bulat dan sangat tebal. Ini membuatkannya tidak boleh letak rata di atas permukaan dan membuatkannya terjengket dengan agak ketara. Apabila saya memasukkannya dalam saku seluar, bonggol kameranya nampak tertimbul jelas pada kain seluar.

    Di bahagian sisi pula, terdapat rangka aluminium yang berwarna kelabu gelap dan bahagian sisi yang rata. Bahagian sisi ini mempunyai bucu yang membulat, jadi ia selesa dipegang. Berat telefon ini sebanyak 226 gram mungkin agak berat untuk sebuah telefon, namun ia bukanlah masalah besar.

    Bahagian sisi kanan menempatkan butang kuasa dan butang volume, manakala bahagian kiri menempatkan butang khas Shortcut Button yang boleh digunakan untuk sebarang fungsi. Anda boleh tetapkannya untuk melakukan apa sahaja apabila anda tekan lama (press and hold) atau tekan dua kali (double press). Malang sekali ia tidak boleh melakukan apa-apa dengan sekali tekan sahaja. Perlu diingati bahawa butang khas ini tidak terdapat pada vivo X300 standard.

    Bahagian kiri menempatkan Shortcut Button
    Shortcut button boleh ditetapkan kepada sebarang fungsi kegemaran anda
    Bahagian kanan menempatkan butang kuasa dan volume

    Di bawah, anda boleh lihat pembesar suara stereo, port USB-C dan ruang kad SIM. Satu lagi pembesar suara berada di bahagian gagang telefon.

    "
    "

    Telefon ini mempunyai rating kalis air IP68/69 supaya anda tidak perlu risau jika ia terkena simbahan air. Secara keseluruhan, vivo X300 Pro tidak mempunyai banyak perbezaan fizikal dengan vivo X200 Pro.

    Spesifikasi – Flagship terkini dengan cipset MediaTek!

    Berikut adalah spesifikasi teknologi penuh untuk vivo X300 Pro:

    • Skrin LTPO AMOLED 6.78 inci, resolusi 1260×2800, kadar segar semula 120Hz, kecerahan puncak 4,500 nits
    • Cipset MediaTek Dimensity 9500
    • RAM 16GB
    • Storan dalaman UFS 4.1 512GB
    • Kamera utama 50MP + kamera telefoto periskop 200MP + kamera ultra-lebar 50MP
    • Kamera hadapan 50MP
    • Bateri 6,510mAh
    • Pengecasan pantas 90W, pengecasan wayarles 40W
    • Sistem operasi Android 16 dengan OriginOS 6, akan menerima kemas kini Android utama selama 5 tahun
    • Pembesar suara stereo
    • Pengimbas cap jari ultrasonik
    • Rating kalis air IP68/IP69
    • Pilihan warna hitam Phantom Black, biru Mist Blue dan perang Dune Brown

    Saya rasa anda pun sudah sedia maklum, skrin AMOLED pada vivo X300 Pro ini mempunyai kualiti yang sangat tinggi, dengan penjanaan warna yang pekat dan cerah untuk segala tontonan filem atau game anda. Dengan kadar segar semula setinggi 120Hz, sebarang interaksi anda dengan skrin ini akan nampak sangat lancar. Ia mungkin tidak tinggi sehingga 144Hz atau 165Hz seperti dalam telefon gaming, namun 120Hz sudah lebih daripada memadai untuk kegunaan harian.

    Warna yang dihasilkan nampak sangat cantik

    Malah, ia mempunyai kecerahan puncak setinggi 4,500 nits yang membuatkannya mudah untuk dilihat walaupun di bawah cahaya matahari terik. Sempadan bezel juga nampak sangat nipis, jadi anda tidak akan terganggu apabila menonton sebarang kandungan.

    Satu lagi ciri yang saya gemar adalah pengimbas cap jari ultrasonik yang diletakkan pada kedudukan selesa pada skrin. Ia tidak terlalu rendah atau terlalu tinggi, kedudukannya mudah dicapai oleh ibu jari. Cap jari ultrasonik ini juga sangat responsif.

    Beralih kepada spesifikasi dalaman pula, ini adalah siri telefon kedua dalam dunia yang dilengkapi cipset MediaTek Dimensity 9500, selepas siri OPPO Find X9. Saya akan ulas mengenai penggunaannya dalam seksyen prestasi.

    Daripada segi pilihan memori, vivo Malaysia hanya menawarkan satu sahaja varian iaitu 16GB dan storan dalaman 512GB. Saya tidak pasti kenapa vivo tidak menawarkan varian memori lebih rendah kerana harga RM4,699 itu mungkin agak mahal untuk sesetengah pengguna.

    Baterinya agak besar dengan kapasiti 6,510mAh, namun beberapa telefon flagship jenama lain mempunyai kapasiti bateri yang lebih besar seperti 7,100mAh pada HONOR Magic8 Pro, 7,500mAh pada OPPO Find X9 Pro dan 7,000mAh pada realme GT 8 Pro. Ini mungkin akan membuatkan hayat bateri X300 Pro lebih pendek daripada jenama-jenama pesaing.

    Pengecas 90W yang disertakan bersama vivo X300 Pro

    Kadar pengecasannya pula sangat laju dengan pengecasan berwayar 90W dan pengecasan wayarles 40W. Ini merupakan kadar yang lebih laju berbanding kebanyakan telefon flagship generasi terkini, namun lebih rendah berbanding jenama pesaing seperti 100W pada HONOR Magic8 Pro. Sekurang-kurangnya pengecas 90W masih disertakan dalam kotak X300 Pro.

    Ia menggunakan sistem operasi Android 16 dengan antara muka OriginOS 6. Ia tidak lagi menggunakan Funtouch OS seperti telefon-telefon vivo X sebelum ini, dan merupakan telefon pertama di luar China yang menggunakan OriginOS 6. Ia menampilkan beberapa elemen lutsinar kaca, hiasan lock screen yang lebih menarik dan Origin Island yang boleh memaparkan fungsi-fungsi penting secara ringkas, serupa dengan Dynamic Island dalam iPhone.

    Gambar lock screen akan berubah jika anda menyengetkan telefon

    Tidak ketinggalan, ia turut mempunyai fungsi-fungsi kecerdasan buatan (AI) yang banyak terdapat pada telefon tahun ini seperti AI Eraser, AI Retouch, AI Image Expander dan banyak lagi. Sebagai sebuah sistem operasi berasaskan Android, ia turut mempunyai pembantu peribadi Google Gemini dan Circle to Search with Google.

    Daripada segi bloatware, OriginOS 6 masih didatangkan dengan jumlah yang agak banyak. Saya faham jika bloatware disertakan dalam telefon kelas pertengahan, namun apabila ia disertakan dalam telefon yang mahal seperti ini, membuatkan telefon ini rasa lebih murah. Saya berharap vivo boleh buang terus sebarang bloatware dalam vivo X pada tahun hadapan.

    Prestasi – Sangat laju

    Berikut adalah markah penanda aras yang kami sudah lakukan dalam Geekbench dan 3DMark:

    Markah Geekbench serupa dengan OPPO Find X9 Pro (3,081 untuk Single-Core dan 9,269 untuk Multi-Core) berdasarkan ulasan kami untuk telefon tersebut
    Dalam ujian 3DMark selama 20 minit, ia boleh kekalkan prestasi yang agak sekata, walaupun terdapat penurunan yang ketara jika dibandingkan antara minit 1-5 dengan minit 5-20

    Dengan cipset MediaTek Dimensity 9500, vivo X300 Pro boleh hasilkan prestasi yang pantas untuk semua kegunaan, daripada tugasan harian hinggalah gaming. Markah penanda arasnya mungkin agak rendah sedikit berbanding cipset pesaing, Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen 5, namun ini tidak sepatutnya menjadi kekurangan pada telefon ini kerana Dimensity 9500 masih boleh hasilkan prestasi yang sangat pantas pada keseluruhan masa.

    Sewaktu bermain game sekalipun, saya amat berpuas hati dengannya. Saya memainkan game Wuthering Waves yang memerlukan keperluan grafik yang sangat tinggi. Walaupun selepas saya meletakkan tetapan grafik pada tahap tertinggi, saya masih boleh bermainnya dengan puas selama 30 minit.

    Saya masih sedar ada kalanya kadar bingkai turun sedikit, namun ia tidak menjadi masalah besar secara keseluruhannya. Sungguh pun begitu, suhu permukaan belakang telefon ini jadi panas dengan agak cepat sewaktu bermain game.

    Wuthering Waves boleh dimainkan dengan grafik tinggi, namun suhu telefon jadi panas dengan agak cepat

    Untuk hayat bateri, walaupun kapasitinya tidak sebesar telefon andalan yang lain, ia masih boleh bertahan selama sehari dengan yakin. Apabila saya memulakan hari dengan pengecasan penuh, walaupun dengan penggunaan yang berat sepanjang hari, saya masih mempunyai baki sekitar 30% pada waktu malam.

    Sewaktu mengecas pula, jika saya menggunakan pengecas 90W yang disertakan dalam kotak, ia boleh mengecas penuh telefon ini daripada 0% dalam masa bawah sejam. Perlu diingati bahawa fungsi kadar pengecasan penuh perlu dihidupkan secara manual, kerana secara lalai (default) ia dimatikan. Jangan risau, anda hanya perlu lakukan ini sekali sahaja, bukannya setiap kali mengecas.

    Pengecasan daripada 1% hingga 99% mengambil masa 54 minit (10:56am hingga 11:50am)
    Pastikan anda hidupkan fungsi Fast Charging untuk dapatkan kadar pengecasan penuh, kerana pada asalnya ia dimatikan secara lalai

    Kini saya ingin beralih kepada prestasi kameranya pula. Sedia maklum bahawa setiap telefon vivo X memang mempunyai kebolehan fotografi yang sangat canggih dan vivo X300 Pro mengangkat standard yang baharu dalam kebolehan fotografi vivo, terutmanya dengan kerjasama ZEISS. Semua kameranya boleh mengambil gambar dengan kemas, terutamanya dengan warna yang nampak semula jadi.

    Kamera X300 Pro menawarkan tiga gaya asas (basic styles) iaitu ZEISS, Vivid, Texture dan B&W. Untuk saya sendiri, saya lebih gemar warna semula jadi yang ditawarkan dalam gaya ZEISS. Jika anda gemarkan warna yang lebih pekat, mod Vivid sesuai untuk anda. Mod Texture nampak seperti diambil dengan kamera filem klasik manakala B&W sesuai jika anda gemar warna hitam putih dengan kontras tinggi.

    Seperti kebanyakan telefon flagship yang dilancar pada waktu ini, vivo X300 Pro mempunyai kebolehan zum yang sangat jauh. Ia mempunyai kamera telefoto periskop 200MP yang menyokong zum optikal 3x dan menyokong zum digital sehingga 100x.

    Pada hemat saya, zum sehingga 20x atau 30x nampak cantik dan tidak mempunyai sebarang unsur pelik dengan sekali pandang. Jika anda zum lebih jauh, terutamanya 50x dan ke atas, anda akan mula nampak pemprosesan AI yang agak agresif. Saya merasakan pemprosesan AI ini lebih kemas sedikit berbanding vivo X200 Pro, namun ia masih nampak jelas dan membuatkan gambar nampak palsu. Apa-apa pun, lebih baik pemprosesan AI ini wujud daripada tidak ada.

    Gambar yang diambil pada waktu malam juga nampak kemas, dengan jumlah noise yang rendah. Mungkin ada kalanya efek pemprosesan nampak terlalu ketara, namun secara amnya anda akan berpuas hati dengan prestasi mod malam.

    Untuk rakaman video, ia boleh merakam sehingga resolusi 8K30fps, namun saya cadangkan kepada anda untuk guna 4K sahaja kerana rakaman 8K boleh buatkan telefon ini jadi panas dengan sangat cepat, malah ia juga akan menggunakan storan yang lebih banyak.

    Kesimpulan – Bagus, kalau akaun bank anda mampu

    vivo X300 Pro menawarkan pelbagai fungsi canggih untuk sebuah telefon pintar andalan yang dilancar pada 2025, dengan cipset terpantas oleh MediaTek, kamera berprestasi tinggi, lambakan fungsi AI dan antara muka (UI) yang nampak lebih kemas. Dengan harga RM4,699, ia merupakan sebuah pakej lengkap yang akan memenuhi kehendak pelbagai kategori pengguna.

    Sungguh pun begitu, ia mempunyai rekaan luaran yang biasa sahaja dan kapasiti bateri yang lebih rendah berbanding telefon flagship Android jenama lain. Oleh yang demikian, jika isu-isu ini mempengaruhi keputusan anda, mungkin anda boleh pertimbangkan alternatif lain.

    Ini termasuklah HONOR Magic8 Pro (RM4,599) untuk pengecasan yang lebih pantas, iQOO 15 (RM3,699) untuk prestasi yang lebih fokus untuk gaming atau OPPO Find X9 Pro (RM4,999) jika anda utamakan talaan warna Hasselblad dalam kamera anda. Anda juga boleh dapatkan vivo X300 (RM3,599) jika anda inginkan semua fungsi yang ditawarkan dalam varian Pro, namun dengan memori lebih rendah dan skrin lebih kecil.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    U Mobile mempertingkatkan pengalaman kejohanan bola sepak terbesar melalui penstriman percuma di RTMKlik!

    Demam bola sepak global semakin dirasai apabila kejohanan paling berprestij dunia sudah membuka tirainya pagi tadi. Bagi memastikan rakyat Malaysia tidak terlepas...

    ShopeePay Travel eSIM diperkenal — Ini cara beli dan aktifkan pelan data terus dari...

    ShopeePay kini memperkenalkan ciri Travel eSIM di dalam aplikasi mereka yang membolehkan pengguna kekal berhubung ketika melancong ke luar negara tanpa perlu...

    KLIMS 2026: Perodua C2 buat kemunculan, bayangan awal rekaan EV akan datang?

    Perodua memperkenalkan model konsep terbaharu mereka dikenali sebagai C2 (Chapter 2) di KLIMS 2026 yang menandakan kesinambungan perjalanan jenama itu dalam pembangunan...

    U Mobile belanja pelanggan tengok 104 perlawanan World Cup 2026 melalui RTMKlik

    U Mobile dilantik sebagai Official Broadcast Sponsor World Cup 2026â„¢ melalui RTMKlik yang membolehkan pelanggan U Mobile mengikuti kesemua 104 perlawanan kejohanan...

    Samsung anjur ‘bootcamp’ AI untuk semua pekerja, wajib guna ChatGPT dan Gemini

    Samsung telah melancarkan inisiatif AI seluruh syarikat yang dinamakan AI Transformation (AX) iaitu satu program strategik bagi menyepadukan kecerdasan buatan dalam operasi...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    Ulasan vivo X300 Pro – Kamera ZEISS generasi baru untuk vivo!

    Dengan 2025 yang semakin hampir kepada penamatnya, vivo Malaysia tidak ketinggalan untuk melancarkan telefon pintar flagship generasi seterusnya dengan melancarkan vivo X300...