Site icon TechNave BM

Spesifikasi Nothing Phone (2a) tertiris, mungkin dilengkapi skrin AMOLED 120Hz, Dimensity 7200

Nothing dikhabar bakal melancarkan telefon pintar kelas pertengahan Nothing Phone (2a) pada awal tahun hadapan dan kini spesifikasi untuk telefon itu telah tertiris. Ia bakal menjadi telefon pintar kelas pertengahan pertama oleh Nothing dan membuka pasaran yang lebih luas untuk jenama teknologi baharu itu.

Menurut sumber, Nothing Phone (2a) akan dilengkapi skrin AMOLED berukuran 6.7 inci dengan resolusi 1084×2412 dan kadar segar semula 120Hz. Satu maklumat yang menarik adalah sumber telah pun memperoleh beberapa latar belakang (wallpaper) untuk Nothing Phone (2a) yang terdiri daripada pelbagai warna dan rekaan, seperti yang boleh dilihat di bawah.

Telefon ini akan ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu putih dan hitam. Untuk spesifikasi dalaman pula, maklumat yang diketahui setakat ini hanyalah pada cipsetnya iaitu MediaTek Dimensity 7200.

Sebelum ini, rekaan luaran Nothing Phone (2a) telah pun tertiris, menunjukkan susunan kameranya yang mendatar dan berlainan dengan susunan kamera menegak pada Nothing Phone (2) sebelum ini.

Rekaan Nothing Phone (2a)

Kameranya pula terdiri daripada kamera utama 50MP dengan sensor Samsung S5KGN9 dan kamera ultra-lebar 50MP dengan sensor Samsung S5KJN1, iaitu sensor ultra-lebar sama yang terdapat pada Nothing Phone (2). Di hadapan pula terdapat sebuah kamera swafoto 32MP dengan sensor Sony IMX615.

Nothing Phone (2a) dijangka akan dilancar dalam acara pelancaran oleh Nothing, bernama Nothing to See, dalam Mobile World Congress (MWC) 2024 pada 27 Februari 2024 di Barcelona, Sepanyol. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Smartprix

Exit mobile version