Site icon TechNave BM

Spesifikasi Nothing Phone (3) tertiris, bakal dilengkapi cipset Snapdragon 8s Gen 4

Nothing bakal melancarkan telefon pintar andalan Nothing Phone (3) pada 1 Julai 2025 dan buat masa ini, masih tiada maklumat rasmi mengenainya. Kini spesifikasi mengenai telefon ini telah tertiris dalam media sosial dan ia menampilkan beberapa aspek yang unik.

Menurut sumber di X, Nothing Phone (3) akan dilengkapi skrin OLED berukuran 6.7 inci dengan resolusi 1.5K, serupa dengan Nothing Phone (2). Baterinya kini lebih besar, iaitu 5,150mAh, lebih tinggi berbanding 4,700mAh pada Phone (2). Kadar pengecasannya juga dinaikkan daripada 45W dalam Phone (2) kepada 100W.

Untuk kamera, Phone (3) bakal jadi telefon Nothing pertama yang mempunyai tiga kamera 50MP di belakang. Ia terdiri daripada kamera utama 50MP, kamera ultra-lebar 50MP dan kamera telefoto periskop 50MP dengan zum optikal 3x. Sebelum ini, Phone (2) hanya mempunyai dua kamera 50MP sahaja di belakang.

Selain itu, sensor kamera hadapan untuk Phone (3) adalah 50MP, lebih tinggi berbanding 32MP pada Phone (2).

Ia juga bakal menggunakan cipset Qualcomm Snapdragon 8s Gen 4 dan telah pun disahkan oleh CEO Nothing, Carl Pei dalam sebuah wawancara di YouTube. Walaupun tidak setaraf dengan Snapdragon 8 Elite, ia masih boleh dianggap sebagai cipset yang amat pantas pada tahun ini.

Telefon ini akan menggunakan sistem operasi Android 15 dengan antara muka Nothing OS 3.5, serta menyokong NFC dan eSIM.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan Nothing Phone (3) dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version