Site icon TechNave BM

Spesifikasi OnePlus Ace 6 tertiris, bakal dilengkapi skrin 165Hz, SD 8 Elite

OnePlus bakal melancarkan OnePlus Ace 6 pada hari Isnin, 27 Oktober 2025 bersama telefon flagship OnePlus 15. Syarikat itu tidak menyenaraikan sebarang spesifikasi mengenai OnePlus Ace 6, namun laman e-dagang dari China, JD.com, telah menyenaraikan maklumat lanjut mengenainya.

Telefon ini bakal mempunyai skrin OLED dengan kadar segar semula 165Hz, namun resolusinya masih belum diketahui. Lebih menarik, ia dilengkapi cipset Qualcomm Snapdragon 8 Elite iaitu cipset flagship yang terdapat pada telefon-telefon Android flagship yang dilancar pada awal tahun ini (termasuklah OnePlus 13) dan masih menawarkan prestasi yang sangat pantas.

Baterinya pula berkapasiti 7,800mAh dan ia menyokong kadar pengecasan pantas 120W. Pilihan warnanya telah diumumkan secara rasmi oleh OnePlus, terdiri daripada warna putih dan hitam, serta satu rekaan edisi khas dengan corak garisan dan perkataan “Ace” padanya.

Sebelum ini, OnePlus Ace 5 hanya dilancar untuk pasaran China dan dinamakan semula sebagai OnePlus 13R untuk pasaran antarabangsa. Mungkin OnePlus akan melakukan perkara yang sama untuk Ace 6 dan menjenamakannya semula sebagai OnePlus 15R untuk pasaran luar China.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version