fbpx
More

    Ulasan OnePlus 13 – Antara telefon “flagship” paling berbaloi tahun ini

    OnePlus 13 telah dilancar di Malaysia pada awal Januari lalu sebagai antara telefon flagship terawal yang dilancar pada tahun ini untuk pasaran tempatan. Sungguh pun begitu, saya merasakan telefon ini tidak dapat sambutan yang meluas mirip jenama-jenama lain seperti Samsung, OPPO, vivo dan sebagainya.

    Sebenarnya OnePlus 13 juga mempunyai ciri-ciri yang boleh menyaingi flagship jenama-jenama tadi, seperti mutu buatan yang tinggi, cipset Qualcomm Snapdragon 8 Elite untuk prestasi tinggi, kamera dengan talaan warna Hasselblad Camera for Mobile dan banyak lagi. Malah, dengan harga jualan bermula daripada RM4,399, membuatkannya lebih murah berbanding kebanyakan telefon flagship premium jenama lain. Untuk mengetahui sama ada telefon ini berbaloi dengan harga tersebut, ayuh baca ulasan ini.

    Rekaan – Serupa macam OnePlus 12

    Sekilas pandang, OnePlus 13 tidak banyak berbeza dengan OnePlus 12 dan OnePlus 11 yang dilancar pada tahun lalu (jenama-jenama telefon lain pun sama, sering menyerupai generasi sebelumnya). Di belakang, ia mempunyai bonggol kamera berbentuk bulat yang menempatkan empat lensa dan bonggol ini agak tebal. Sebelah bonggol ini terdapat logo Hasselblad kecil yang sama warna dengan warna telefon ini, membuatkannya sukar dinampak.

    Berbeza dengan logo OnePlus yang terdapat di bahagian tengah-tengah yang berwarna perak dan sangat kontras dengan warna putih Arctic Dawn pada unit yang dipinjamkan kepada kami. Warna putih ini mempunyai kemasan matte, jadi ia tidak meninggalkan kesan cap jari langsung dan tidak mempunyai sebarang efek kilauan.

    Rekaan belakang OnePlus 13
    Bonggol kamera OnePlus 13, dengan logo Hasselblad di sebelahnya

    Selain warna putih, telefon ini turut ditawarkan dalam warna hitam Black Eclipse serta biru Midnight Ocean. Hanya warna biru sahaja yang mempunyai kemasan kulit vegan leather, membuatkannya nampak lebih premium berbanding warna putih dan hitam. Perlu diingati bahawa Midnight Ocean adalah lebih tebal (8.9mm) berbanding warna putih dan hitam (8.5mm).

    Bahagian tepinya pula mempunyai rangka aluminium yang berkilauan dan melengkung sedikit di bahagian bucu dan sisi. Satu ciri unik pada telefon ini adalah Alert Slider di bahagian kiri, yang memudahkan anda untuk tetapkan bunyi antara Ring (berdering), Vibrate (bergetar) dan Silent (bisu).

    Alert Slider pada OnePlus 13
    Bahagian bawah dengan dulang kad SIM, port USB-C, mikrofon dan pembesar suara
    Pilihan warna biru Midnight Ocean

    OnePlus 13 juga adalah telefon OnePlus pertama yang mempunyai rating kalis air dan debu IP68/IP69 yang bermaksud ia bukan sahaja boleh ditenggelami air sehingga paras kedalaman 1.5 meter selama 30 minit, malah boleh menahan semburan jet air yang deras pada suhu setinggi 80°C. 

    Spesifikasi – Komponen tercanggih OnePlus setakat ini

    Berikut adalah spesifikasi penuh OnePlus 13:

    • Skrin LTPO OLED 6.82 inci, resolusi Quad HD+ (3168×1440), kadar segar semula 1-120Hz,  kecerahan puncak 4,500 nits, dibina dengan kaca Ceramic Guard
    • Cipset Qualcomm Snapdragon 8 Elite
    • RAM 16GB
    • Storan dalaman 512GB
    • Kamera utama 50MP dengan OIS + kamera ultra-lebar 50MP + kamera telefoto 50MP dengan zum optikal 3x
    • Kamera hadapan 32MP
    • Teknologi 5th Gen Hasselblad Camera for Mobile
    • Bateri 6,000mAh
    • Pengecasan pantas 100W SUPERVOOC (pengecas tidak disertakan dalam kotak), pengecasan wayarles 50W AIRVOOC
    • Pembesar suara stereo
    • Port USB-C 3.2 Gen 1
    • Sistem operasi Android 15 dengan UI OxygenOS 15.0
    • Akan terima kemas kini utama selama 4 tahun, kemas kini keselamatan selama 6 tahun
    • Menyokong Wi-Fi 7, Bluetooth 5.4, NFC, IR
    • Ukuran 162.9 x 76.5 x 8.5mm (8.9mm untuk warna Midnight Ocean), berat 213g (210g untuk Midnight Ocean)
    • Harga: RM4,399

    OnePlus 13 mempunyai segala spesifikasi yang anda boleh harapkan untuk sebuah telefon flagship yang dilancar pada 2025. Skrinnya menghasilkan kualiti imej yang cantik dan lancar untuk tontonan filem atau bermain game, malah kecerahan puncak yang mencecah 4,500 nits bermaksud skrin ini masih boleh dilihat walaupun bawah cahaya matahari terik. Ini merupakan skrin telefon pertama yang menerima pengiktirafan A++ oleh DisplayMate, jadi anda boleh yakin bahawa anda akan menikmati segala pengalaman tontonan padanya.

    Skrin ini dibina dengan kaca Ceramic Guard, bukannya Corning Gorilla Glass Victus yang terdapat pada kebanyakan telefon flagship Android lain. OnePlus mengatakan kaca ini masih menawarkan ketahanan yang tinggi terhadap impak jatuh atau retak. Selain itu, skrin telefon ini juga mempunyai pengimbas cap jari ultrasonik, kali pertama OnePlus menggunakan teknologi ini dalam telefonnya,

    OnePlus 13 mempunyai skrin yang sangat cantik

    Untuk varian memori, telefon ini hanya didatangkan dalam satu varian sahaja untuk pasaran Malaysia iaitu RAM 16 dan storan dalaman 512GB. Storan ini tidak boleh dibesarkan dengan kad memori microSD, namun saya berpendapat ia sudah cukup besar untuk menyimpan banyak gambar, video, aplikasi serta fail-fail anda.

    Satu lagi ciri menarik pada OnePlus 13 ialah kapasiti baterinya yang setinggi 6,000mAh. Kapasiti ini mampu dicapai walaupun telefon ini lebih nipis dan ringan berbanding OnePlus 12, kerana ia menggunakan teknologi 10% Silicon-Carbon Composite Anode yang menawarkan ketumpatan tenaga (energy density) lebih tinggi berbanding telefon sebelum ini.

    Bateri ini turut menyokong kadar pengecasan pantas berwayar 100W SUPERVOOC, namun anda perlu menggunakan pengecas khas oleh OPPO atau OnePlus untuk mencapai kadar tersebut, dan malang sekali pengecasnya tidak disertakan dalam kotak. OnePlus mengatakan ia mampu mengecas daripada 1% hingga 100% dalam masa 36 minit, namun kami tidak mampu menguji kenyataan ini kerana ketiadaan pengecas yang sesuai. Selain itu, ia turut menyokong pengecasan wayarles 50W AIRVOOC.

    Antara muka (UI) OxygenOS 15.0

    Daripada segi sistem operasi, OnePlus 13 menggunakan Android 15 dengan antara muka OxygenOS 15.0 yang nampak seperti ColorOS pada peranti OPPO (tidak mengejutkan kerana OnePlus kini berada bawah naungan OPPO).

    Seperti kebanyakan telefon flagship pada tahun ini, OnePlus 13 mempunyai beberapa fungsi AI, seperti fungsi suntingan gambar dalam aplikasi Photos iaitu AI Detail Boost dan AI Unblur untuk tingkatkan kualiti gambar yang kabur, serta AI Eraser dan AI Reflection Eraser untuk buang unsur-unsur yang tidak diingini dalam gambar.

    4 fungsi AI khas untuk suntingan gambar
    AI Detail Boost tidak meningkatkan sebarang butiran pada gambar (gambar asal di sebalah kiri, gambar disunting di sebelah kanan)
    AI Eraser boleh memadam sebarang objek dalam gambar dengan sangat kemas!
    Dengan AI Unblur, tiang bendera di belakang nampak lebih jelas
    Pantulan cermin boleh dibuang dengan AI Reflection Eraser

    Fungsi AI lain termasuklah AI Notes yang membantu anda dalam tugas-tugas penulisan, seperti rumusan, format, sambung menulis serta penukaran nada antara santai atau profesional. Malangnya, ia tidak menyokong Bahasa Melayu pada waktu ulasan ini ditulis. Ia hanya menyokong bahasa Inggeris, Hindi, Sepanyol, Itali, Cina, Thai dan Indonesia (bahasa yang paling hampir dengan bahasa Melayu).

    Fungsi AI berasaskan Google yang ditawarkan dalam telefon Android lain turut berada dalam OnePlus 13, seperti Circle to Search untuk bantu anda cari maklumat lanjut mengenai imej yang dipaparkan pada skrin, dan Gemini sebagai pembantu suara. Satu ciri yang saya pernah guna ialah Pass Scan yang boleh mengimbas pas naik (boarding pass) kapal terbang kemudian butiran penerbangan akan terus dimasukkan dalam Google Wallet. Ini bukanlah fungsi yang akan diguna kerap oleh kebanyakan orang, namun ini mungkin akan dimanfaatkan oleh mereka yang kerap terbang.

    Bantuan penulisan dalam AI Notes

    Telefon ini akan menerima kemas kini utama selama empat tahun dan kemas kini keselamatan selama enam tahun. Agak singkat, jika dibandingkan dengan jenama lain yang menawarkan kemas kini selama tujuh tahun untuk telefon flagship.

    Prestasi – Pantas untuk segala kegunaan

    Berikut adalah hasil penanda aras yang kami lakukan dalam Geekbench dan 3DMark:

    Penanda aras Geekbench, dan perbandingan dengan telefon flagship generasi lalu
    Prestasi yang sekata dalam ujian 20 minit 3DMark

    Seperti yang anda boleh lihat, ia boleh menjana prestasi yang sangat pantas, terutamanya jika dibandingkan dengan generasi sebelumnya, ia menawarkan peningkatan yang agak tinggi. Namun jika dibandingkan dengan telefon Snapdragon 8 Elite yang lain, ia mencatatkan markah yang agak rendah.

    Sungguh pun begitu, bagaimana dengan pengalaman saya sendiri? Semestinya ia menawarkan prestasi yang pantas untuk kegunaan harian seperti melayari media sosial, menonton video dan melakukan multi-tugas, dan prestasi untuk main game dengan grafik tinggi seperti Genshin Impact juga sangat cemerlang. Walaupun saya menetapkan game itu pada tetapan grafik tertinggi dengan kadar bingkai 60fps, saya tidak mengalami sebarang penurunan kadar bingkai sepanjang saya bermain selama sejam lebih.

    Sewaktu bermain game, anda boleh tetapkan prestasi antara Balanced Mode, Pro Gamer Mode atau Low Power Mode. Untuk sesi bermain game selama 30 minit, mod Balanced dan Pro Gamer masing-masing menggunakan bateri sekitar 10%, namun suhu telefon untuk mod Pro Gamer boleh jadi agak tinggi, iaitu sehingga 50°C.

    Aktifkan Pro Gamer Mode untuk pengalaman game yang lebih lancar
    Genshin Impact boleh dimainkan dengan selesa pada tetapan grafik tertinggi

    Untuk hayat bateri keseluruhan, saya kagum dengan ketahanan bateri OnePlus 13 kerana bateri besar 6,000mAh ini mampu bertahan sehingga dua hari jika digunakan secara biasa. Jika anda guna dengan berat sekali pun, mungkin mengambil banyak video 4K atau bermain game berpanjangan atau menonton filem selama berjam-jam, ia boleh bertahan selama sehari dengan yakin.

    Kini saya ingin mengulas mengenai prestasi fotografinya. Baru-baru ini, saya berpeluang untuk mencuba kamera ini sewaktu bercuti di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan saya amat berpuas hati dengan prestasi kameranya. Ia boleh menghasilkan warna yang kemas untuk gambar-gambarnya, terutamanya dalam situasi yang cerah. Warna subjek dan pemandangan nampak semula jadi dan mirip objek sebenar, manakala tona kulit juga kemas.

    Untuk gambar pada waktu malam dengan Night Mode pula, gambarnya masih nampak cantik, namun saya berpendapat ia tidak setanding dengan telefon-telefon flagship lain yang menjanjikan prestasi Night Mode yang lebih bagus. Gambar Night Mode dalam OnePlus 13 kadang-kadang boleh jadi terlalu terang jika dibandingkan dengan situasi sebenar.

    Daripada segi zum, ia mempunyai zum optikal sebanyak 3x dan zum digital sehingga 120x. Sepanjang penggunaan saya, zum sehingga 30x masih nampak cantik. Apabila anda zum lebih jauh daripada itu, telefon ini akan menggunakan pemprosesan AI untuk mengurangkan kabur pada gambar, namun pemprosesannya kadang-kadang nampak palsu.

    Perbandingan zum 1x, 3x, 10x dan 120x

    Khas untuk mod potret, telefon ini mempunyai teknologi 5th Gen Hasselblad Camera for Mobile dan kualiti gambar mod potretnya memang sangat cantik, dengan pemisahan kemas antara latar belakang dengan subjek. Ia juga mempunyai efek Film Simulation buat mereka yang gemarkan gambar-gambar ala gelungan filem.

    Untuk rakaman video, setiap kamera dalam OnePlus 13 boleh merakam dalam resolusi 4K60 dan kualitinya nampak sangat cantik. Khas untuk kamera utama sahaja, ia boleh merakam sehingga 8K, namun saya tidak menggalakkannya kerana saiz failnya pasti sangat besar. Jika anda merakam sambil berjalan, kamera ini terdapat penstabilan optikal dan elektronik yang berfungsi dengan bagus untuk menghilangkan sebarang getaran.

    Beberapa gambar mod potret: Original (kiri atas), Film Simulation: Fresh (kanan atas), Film Simulation: Emerald (kiri bawah), Film Simulation: Clear (kanan bawah)

    Kesimpulan – Pilihan menarik untuk telefon flagship premium

    Pada harga RM4,399, OnePlus 13 merupakan telefon flagship premium yang lebih murah berbanding jenama-jenama pesaing seperti vivo X200 Pro (RM4,699), OPPO Find X8 Pro (RM4,999) dan Samsung Galaxy S25 Ultra (RM5,999). Telefon ini menawarkan segala fungsi terkini yang boleh dijangka daripada telefon flagship premium, seperti cipset pantas, bateri besar, pengecasan laju dan kamera berprestasi tinggi, dengan harga lebih murah.

    Sungguh pun begitu, kekurangan fungsi AI berbanding telefon-telefon saingan, serta tempoh kemas kini selama enam tahun sahaja adalah beberapa faktor yang anda perlu pertimbangkan sewaktu ingin membeli telefon ini dan membandingkannya dengan telefon lain. Sebagai contoh, Galaxy S25 Ultra mempunyai stilus dalaman dan fungsi AI yang lebih menyeluruh, manakala vivo X200 Pro mempunyai prestasi fotografi malap yang lebih bagus.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Samsung Galaxy A06 5G dilancar di Malaysia: Skrin 90Hz, cipset Dimensity 6300, bateri 5,000mAh...

    Selepas melancarkan Galaxy A56, Galaxy A36 dan Galaxy A26 beberapa hari lalu, Samsung Malaysia hari ini melancarkan telefon pintar mampu milik Samsung...

    vivo V50 bakal dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada 13 Mac ini

    ​vivo Malaysia telah mengumumkan bahawa telefon pintar terbaharu vivo V50 akan dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada 13 Mac 2025. Majlis pelancaran...

    Apple Mac Studio dengan cip M4 Max dan M3 Ultra dilancar di Malaysia, bermula...

    Selain melancarkan komputer riba MacBook Air M4, Apple turut mengumumkan komputer Mac Studio baharu yang dilengkapi cip M4 Max dan M3 Ultra....

    HONOR umum kemas kini Android dan sekuriti 7 tahun untuk siri Magic

    HONOR mengumumkan bahawa siri HONOR Magic yang bermula dengan HONOR Magic7 Pro akan menerima tujuh tahun kemas kini sistem operasi Android dan...

    Apple MacBook Air dengan cip M4 rasmi di Malaysia, harga bermula RM4,499

    Apple telah mengumumkan pelancaran MacBook Air baharu untuk pasaran Malaysia yang menampilkan cip M4, hayat bateri sehingga 18 jam, kamera hadapan 12MP...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    Ulasan OPPO Reno13 F 5G – Anggun luaran, tegap dalaman!

    Pada 7 Januari lalu, OPPO mencipta sejarah dengan menganjurkan Pertunjukan Fesyen Teknologi Kolam Renang yang pertama di Malaysia yang juga menjadi sebahagian...