Site icon TechNave BM

Spesifikasi OPPO Find X8 Mini tertiris, mungkin dilengkapi skrin OLED 6.31 inci

Selepas melancarkan siri telefon pintar andalan OPPO Find X8 pada akhir tahun lalu, OPPO dikhabarkan bakal melancarkan dua lagi varian baharu iaitu OPPO Find X8 Mini dan Find X8 Ultra, dan kini spesifikasi awal untuk varian mini itu telah tertiris.

Menurut pengkhabar berita teknologi Digital Chat Station, OPPO Find X8 Mini akan dilengkapi skrin berukuran 6.31 inci dengan panel OLED LTPO resolusi 1.5K. Sebagai rujukan, Find X8 standard dilengkapi skrin berukuran 6.59 inci, jadi perbezaan antara Find X8 dengan Find X8 Mini adalah agak ketara.

Kenyataan daripada Digital Chat Station
vivo X200 Pro mini

Selain itu, ini juga bermaksud ia mempunyai saiz skrin yang sama dengan vivo X200 Pro mini yang dilancar pada Oktober tahun lalu. Untuk siri X200 yang dilancar pada waktu itu, vivo memperkenalkan varian “mini” buat kali pertama dalam siri vivo X, jadi OPPO mungkin akan mengikut langkah yang sama.

Selain saiz skrin, sumber turut berkongsi spesifikasi lain seperti kamera utama dengan sensor Sony IMX9, kamera zum periskop 50MP, cipset MediaTek Dimensity 9400, serta sokongan pengecasan wayarles.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Weibo

Exit mobile version