Site icon TechNave BM

Spesifikasi POCO F3 tertiris, mungkin Redmi K40 yang dijenamakan semula

Telefon pintar kelas pertengahan POCO F3 akan dilancarkan pada hari ini jam 8:00 malam di samping POCO X3 Pro, namun maklumat tentangnya telah pun tertiris lebih awal sebelum pelancarannya. Pengkhabar berita teknologi Ishan Agarwal telah berkongsi spesifikasi dan gambar POCO F3 yang menunjukkan bahawa ia adalah Redmi K40 yang dijenamakan semula untuk pasaran antarabangsa.

Menurutnya, POCO F3 akan dilengkapi cipset Snapdragon 870. Jika POCO F3 mempunyai spesifikasi yang sama dengan Redmi K40, ia bakal dilengkapi skrin AMOLED FHD+ 120Hz berukuran 6.67 inci, tiga kamera termasuk kamera utama 48MP, bateri 4,520mAh, pengecasan pantas 33W, rating kalis air IP53 dan pembesar suara stereo Dolby Atmos.

Ini bukanlah kali pertama POCO menjenamakan semula sebuah peranti Redmi. Pada tahun lalu, POCO F2 Pro merupakan Redmi K30 Pro yang dijenamakan semula untuk pasaran antarabangsa, di mana perbezaan yang ketara hanyalah pada varian memori yang ditawarkan.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version