Site icon TechNave BM

Spesifikasi Samsung Galaxy Tab A8 tertiris, mungkin mempunyai skrin 10.4″ dan rekaan mirip iPad

Samsung kini mungkin sedang mengusahakan tablet mampu milik yang terbaru iaitu Samsung Galaxy Tab A8 2021. Tablet tersebut dilaporkan akan dilengkapi skrin 10.4 inci dengan resolusi Full HD+ (2200×1080), kamera utama 8MP, port USB-C, bicu audio 3.5mm dan empat pembesar suara Dolby Atmos.

Sementara itu, laman web 91Mobiles telah menghasilkan sebuah gambar janaan komputer untuk tablet tersebut, di mana ia mempunyai reka bentuk yang menyerupai iPad. Sebagai contoh, kamera utamanya kini mempunyai bentuk bulat, berlainan dengan Galaxy Tab A7 sebelum ini yang mempunyai kamera berbentuk petak.

Skrinnya mempunyai sempadan bezel yang agak tebal, di mana kamera swafoto berada dalam bahagian bezel kanan dan direka supaya kamera tersebut mudah digunakan dalam mod landskap. Tablet tersebut mempunyai ukuran 246.7 x 161.8 x 6.9mm dan akan ditawarkan dalam varian WiFi atau LTE+Wi-Fi.

Setakat ini masih tiada maklumat rasmi tentang Samsung Galaxy Tab A8. Jika anda sedang mencari tablet Samsung mampu milik, anda boleh mendapatkan Galaxy Tab A7 Lite berharga RM699 atau Galaxy Tab A7 berharga RM899.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan tablet ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: 91Mobiles

Exit mobile version