Site icon TechNave BM

Tarikh pelancaran Nothing Phone (2a) akan diumum pada 13 Februari 2024

Selepas Nothing mengesahkan bahawa mereka akan melancarkan telefon pintar kelas pertengahan Nothing Phone (2a), kini syarikat teknologi itu mengatakan tarikh pelancaran telefon tersebut akan diumum pada hari Selasa, 13 Februari 2024 jam 15:30 IST (6:00 petang waktu Malaysia).

Perkara tersebut diberitahu dalam sebuah video acahan pendek yang dimuat naik ke dalam YouTube. Video itu tidak menunjukkan sebarang maklumat tentang Phone (2a), sebaliknya hanya berkongsi beberapa imej yang dikaburkan.

Buat masa ini, Nothing masih belum berkongsi sebarang maklumat mengenai reka bentuk atau spesifikasi telefon tersebut, namun syarikat teknologi itu mengatakan Phone (2a) akan menyediakan pengalaman telefon pintar harian yang optimal dan mengutamakan fungsi-fungsi teras. Phone (2a) akan mempunyai beberapa ciri-ciri daripada Phone (2), sambil memastikan bahawa ia adalah lebih canggih daripada Nothing Phone (1).

Khabar angin tentang Phone (2a) telah pun mula tersebar sejak Disember tahun lalu, di mana beberapa gambar awal dan spesifikasinya telah pun tertiris. Berdasarkan gambar yang telah tertiris, rekaannya menunjukkan bonggol kamera yang mendatar, manakala corak lampu LED Glyph Interface pula terdiri daripada tiga lampu di sekeliling bonggol kamera.

Rekaan belakang Nothing Phone (2a) yang tertiris

Spesifikasi yang telah tertiris termasuklah cipset MediaTek Dimensity 7200, RAM 8GB, storan dalaman 128GB, skrin AMOLED 6.7 inci, sistem operasi Android 14 dengan antara muka Nothing OS 2.5, dwi-kamera belakang 50MP+50MP dan kamera swafoto 16MP.

Nothing Phone (2a) dijangka akan dilancar dalam acara Mobile World Congress (MWC) di Barcelona, Sepanyol yang akan berlangsung pada 25 hingga 27 Februari 2024. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version