Infinix mengumumkan bahawa semua telefon pintarnya yang dilengkapi sistem operasi XOS 14.5 dan ke atas akan menerima integrasi dengan teknologi AI DeepSeek-R1. Ini termasuklah Infinix NOTE baharu yang akan dilancar pada bulan Mac kelak.
DeepSeek-R1 Deep Thinking Mode dalam telefon Infinix bakal disepadukan dengan sistem pembantu Folax bagi memudahkan pengguna mengakses fungsi AI melalui arahan suara sahaja. Ini merupakan sebahagian daripada usaha Infinix untuk menyediakan teknologi AI terkini kepada para penggunanya.
Jika anda tidak tahu, DeepSeek-R1 merupakan model AI yang dibangunkan oleh syarikat pemula (startup) DeepSeek dari China yang dilancar pada Januari lalu. Ia boleh membantu anda dalam pelbagai jenis tugasan seperti menulis, mencari maklumat, menulis kod, menyelesaikan masalah matematik dan banyak lagi.
Ia mendapat perhatian pada awal tahun ini kerana ia berjaya menawarkan perkhidmatan AI setaraf ChatGPT, namun ia dibangunkan pada kos yang jauh lebih murah berbanding perkhidmatan AI yang dibangunkan di Amerika Syarikat.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

