Infinix membuka tempahan untuk telefon pintar terbaharu Infinix NOTE 60 Ultra di Malaysia bermula 13 Mac hingga 20 Mac 2026. NOTE 60 Ultra dibangunkan melalui kerjasama dengan firma reka bentuk Itali, Pininfarina. Ia menampilkan modul kamera Uni-Chassis pertama di dunia yang menggabungkan sistem kamera, paparan Active Matrix dan susunan lampu belakang dalam satu panel kaca dengan inspirasi aerodinamik kereta sports.
Bagi fotografi, peranti dilengkapi sensor utama Samsung ISOCELL HPE 200MP yang menyokong pengimejan resolusi ultra tinggi. Sistem periskop sehingga 100× zoom turut disertakan bersama struktur prisma terbalik bagi membolehkan tangkapan subjek dari jarak jauh tanpa menjejaskan reka bentuk nipis peranti.
Selain itu, NOTE 60 Ultra menampilkan cip MediaTek Dimensity 8400 Ultimate 5G dengan seni bina lapan teras, paparan 1.5K Ultra HDR dengan kadar segar semula 144Hz dan kecerahan puncak sehingga 4500 nits serta bateri silikon-karbon berkapasiti 7000mAh iaitu kapasiti terbesar pernah digunakan pada peranti Infinix setakat ini.
Baterinya menyokong pengecasan pantas berwayar 100W dan pengecasan wayarles 50W. Menariknya, NOTE 60 Ultra menyokong komunikasi satelit dua hala melalui kerjasama dengan Thuraya untuk membolehkan panggilan serta mesej dihantar walaupun tanpa liputan rangkaian selular.
NOTE 60 Ultra dijual pada harga RM2,999 bagi konfigurasi 12/512GB dengan pembeli awal ditawarkan ganjaran eksklusif bernilai sehingga RM1,097. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

