TikTok mengesahkan perjanjian baharu yang membolehkan aplikasi itu terus beroperasi di Amerika Syarikat untuk mengelakkan larangan penuh di negara berkenaan selepas berdepan tekanan undang-undang dan keselamatan data sejak beberapa tahun lalu.
Perjanjian yang dimuktamadkan pada 22 Januari lalu menyaksikan penubuhan sebuah entiti baharu berpangkalan di AS dengan pegangan majoriti dimiliki oleh pelabur Amerika dan sekutu manakala syarikat induknya dari China, ByteDance, dihadkan kepada pegangan maksimum 19.9 peratus bagi mematuhi undang-undang AS.
Antara pelabur utama dalam entiti tersebut ialah Oracle, Silver Lake dan MGX dengan kawalan lembaga pengarah dikuasai oleh wakil Amerika. Data pengguna TikTok di AS kini disimpan dan diurus sepenuhnya dalam infrastruktur awan Oracle di Amerika Syarikat manakala sistem cadangan kandungan akan dikendalikan berdasarkan data pengguna tempatan sahaja.
Langkah ini dibuat bagi memenuhi kehendak undang-undang Protecting Americans from Foreign Adversary Controlled Applications Act yang mewajibkan pengurangan kawalan asing ke atas aplikasi popular itu atau berdepan larangan sepenuhnya.
Dengan perjanjian baharu, TikTok kekal tersedia di kedai aplikasi di AS dan boleh terus digunakan oleh jutaan pengguna walaupun struktur pemilikan dan kawalan operasinya kini berubah secara ketara berbanding sebelum ini. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: The Business Times

