Site icon TechNave BM

TikTok Shop kurangkan kadar komisen untuk beberapa kategori bermula 20 Jun ini

TikTok mengumumkan pengurangan kadar komisen untuk beberapa kategori produk di platform TikTok Shop dengan perubahan tersebut dijadual berkuat kuasa mulai 20 Jun 2026. Berdasarkan kategori terlibat, kadar komisen dikurangkan antara 0.54% hingga 13.5%, malah terdapat beberapa kategori yang kini menikmati kadar komisen 0%.

Antara kategori yang menerima pengurangan caj komisen termasuk produk perubatan, penjagaan hidung dan mulut, susu dan produk tenusu, makanan segera serta kategori penyusuan dan nutrisi. Melalui perubahan ini, kadar komisen bagi kategori tertentu dilaporkan diturunkan daripada 9.18% kepada hanya 2.16%.

Menurut TikTok, langkah tersebut diperkenalkan bagi membantu melindungi margin keuntungan penjual selain memastikan kesinambungan operasi peniaga di platform tersebut. Pada masa sama, ia juga dijangka membolehkan penjual menawarkan harga yang lebih kompetitif kepada pengguna.

Selain pengurangan tersebut, TikTok Shop turut mengekalkan kadar komisen 0% untuk beberapa kategori terpilih seperti Baking, Frozen Foods, Staples dan Cooking Essentials. Pengumuman ini dilihat agak menarik memandangkan sebelum ini terdapat beberapa pelarasan yang menyaksikan kadar komisen penjual meningkat dari semasa ke semasa dalam platform tersebut.

Dengan perubahan terbaharu, perhatian kini terarah kepada bagaimana penjual di Malaysia akan memanfaatkan pengurangan kos tersebut dan sama ada ia mampu mewujudkan persaingan harga yang lebih menarik untuk pengguna. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: TikTok

Exit mobile version