Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata syarikat teknologi Microsoft kini berada dalam perbincangan untuk membeli perkhidmatan media sosial TikTok. Ini adalah sehala dengan syarat yang ditetapkan oleh kerajaan AS di mana TikTok perlu dijual kepada syarikat yang berpengkalan di negara itu atau negara-negara sekutu untuk terus beroperasi dalam AS.
Ini merupakan perkembangan terbaru dalam isu larangan TikTok di AS. Pada 18 Januari lalu, TikTok telah diharamkan di AS selepas mahkamah memutuskan bahawa ia tidak boleh lagi ditawarkan kepada para pengguna. Sungguh pun begitu, Trump menandatangani sebuah arahan eksekutif yang menangguhkan larangan tersebut selama 75 hari.
Sepanjang tempoh ini, TikTok perlu dijual kepada mana-mana syarikat atau pihak yang berpengkalan di AS, atau negara-negara sekutu. Selain Microsoft, beberapa pihak lain yang berminat untuk mengambil alih TikTok termasuklah tokoh usahawan Elon Musk, selebriti internet MrBeast, syarikat teknologi Oracle dan syarikat kecerdasan buatan Perplexity AI.
Kerajaan AS merancang untuk mengharamkan TikTok kerana ancaman keselamatan siber yang muncul daripadanya. Aplikasi itu didakwa telah digunakan oleh kerajaan China untuk mengintip rakyat AS serta mempengaruhi pemikiran mereka.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Reuters

