Sejak 1 April 2023 lepas, Twitter kekal dengan kata-katanya mengenai mengalih keluar lencana pengesahan daripada akaun rasmi. Ini terpakai kepada akaun yang sudah mempunyai tanda biru (blue tick) tetapi tidak membayarnya.
Banyak organisasi dan tokoh awam tidak akan membayar untuk tanda biru. Ini termasuk media seperti The New York Times, CNN, Los Angeles Times, Washington Post serta diikuti oleh Lebron James dan penyanyi rap Ice T. Sejak pengumuman Elon Musk mengenai yuran langganan blue tick, ia telah mendapat banyak kritikan dan mengundang ‘troll’ untuk buat akaun palsu.
Sekiranya anda tidak tahu, terdapat tiga lencana pengesahan berwarna berbeza di Twitter. Organisasi perniagaan menggunakan tanda emas, organisasi gabungan kerajaan atau pelbagai hala mempunyai tanda kelabu dan akhir sekali, akaun individu masih menggunakan tanda biru.
Walau bagaimanapun, organisasi perlu membayar yuran bulanan sebanyak $1,000 (~RM4,423) hanya untuk tanda emas manakala tanda biru pada RM35 sebulan. Akaun yang masih belum membayar untuk pengesahan, lencana akan dialih keluar secara beransur-ansur dan ini akan mengambil sedikit masa kerana Twitter mempunyai jumlah pengguna yang besar.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: BBC

