Site icon TechNave BM

Ulasan HONOR X8b: Telefon RM999 paling bergaya?

HONOR Malaysia baru sahaja melancarkan HONOR X9b 5G pada bulan November 2023, kemudian pada bulan seterusnya, dua buah telefon lagi dalam siri X dilancar iaitu HONOR X8b dan HONOR X7b. Berbeza dengan X9b, HONOR X8b mempunyai rekaan belakang berwarna hijau yang lebih istimewa dengan tekstur garisan yang unik.

HONOR X8b dijual di Malaysia pada harga pasaran RM999. Jika anda berminat untuk membeli peranti ini sempena Tahun Baru 2024 atau perayaan Tahun Baru Cina, ayuh baca ulasan ini yang telah dikarang oleh penulis TechNave Bahasa Cina.

Rekaan – Bukan selalu telefon kelas pertengahan ada tekstur kulit

Nampak elegan dan lain daripada telefon lain
Hiasan kulit dengan pengalaman sentuhan yang selesa

Berdasarkan penampilan HONOR X8b, reka bentuknya serupa dengan HONOR X8a atau HONOR X6a sebelum ini dengan bonggol kamera berbentuk segi empat sama yang menempatkan tiga lensa dan satu lampu denyar LED dan bahagian sisi yang rata.

Satu perbezaan yang ketara adalah bahan yang digunakan di bahagian belakang, di mana ia menggunakan kemasan kulit bijiran (grain leather) yang menghasilkan pengalaman sentuhan mirip kulit sebenar. Ia juga mempunyai corak garisan petak yang boleh dirasa pada jari untuk menghasilkan tekstur yang unik.

Badan 6.7 inci yang selesa untuk digenggam
Bonggol kameranya serupa seperti generasi sebelumnya

Daripada segi pilihan warna, HONOR X8b yang dipinjamkan kepada kami mempunyai tona hijau yang elegan, sama seperti tona yang digunakan pada beg tangan wanita dan menghasilkan penampilan yang premium. Bahagian sisinya juga mempunyai warna hijau yang serupa dan membuat ia nampak sepadan dengan bahagian belakang, berbeza dengan telefon lain yang biasanya mempunyai warna bahagian sisi yang berlainan dengan warna di belakang.

Secara asasnya, telefon ini tidak mempunyai masalah cap jari yang mudah tertinggal jika anda tidak ingin menggunakan sarung. Anda masih boleh melindungi bahagian belakang telefon ini dengan sarung lutsinar yang diberi dalam kotak.

Rupa HONOR X8b dengan sarung lutsinar
Bahagian hadapan

Di bahagian hadapan, HONOR X8b mempunyai skrin AMOLED berukuran 6.7 inci dengan kamera swafoto 50MP dalam potongan berbentuk pil di bahagian atas. Saiz potongan ini tidak terlalu besar dan tidak mengganggu paparan anda sewaktu menggunakan skrin. Walaupun sempadan bezel di seluruh skrin boleh dikatakan tebal, sekurang-kurangnya ia sama tebal di keempat-empat sisi dan nampak lebih seragam.

Bahagian sisi kiri menempatkan slot dwi-kad SIM, manakala bahagian sisi kiri pula menempatkan butang volume serta butang kuasa yang turut berfungsi sebagai pengimbas cap jari. Bahagian bawah menempatkan port USB-C dan pembesar suara.

Bahagian kiri menempatkan slot dwi-kad SIM, manakala bahagian kanan menempatkan butang volume dan pengimbas cap jari/butang kuasa
Bahagian atas dan bawah HONOR X8b
Aksesori yang diterima dalam kotak HONOR X8b

Spesifikasi – Cukup untuk kegunaan harian

Spesifikasi HONOR X8b

Berdasarkan spesifikasi HONOR X8b, ia bukanlah kekuatan utama telefon ini lebih-lebih lagi dengan cipset Snapdragon 680 yang dibuat dengan nod proses 6nm dan boleh menghasilkan prestasi memuaskan untuk kegunaan harian. Ia juga tidak boleh dihubungkan dengan rangkaian 5G.

Untuk memori pula, HONOR X8b menawarkan storan dalaman 512GB dan RAM 8GB dan yang menyokong tambahan sebanyak 8GB lagi melalui HONOR RAM Turbo, menjadikan RAM keseluruhan kepada 16GB yang pastinya lebih daripada cukup untuk telefon seperti ini.

Sempadan bezel yang seragam pada semua sisi
Skrin sentiasa hidup (AOD)
Tetapan skrin

Untuk skrin pula, HONOR X8b menggunakan skrin AMOLED Full HD+ 6.7 inci, menyokong pemalapan PWM (dimming), kecerahan 2,000 nits dan kadar segar semula 90Hz yang selesa untuk diguna dan boleh dilihat walaupun jika anda berada di bawah cahaya matahari terik. Di samping kadar segar semula 90Hz, HONOR X8b menawarkan fungsi skrin sentiasa hidup (always-on display) yang sangat berguna jika anda ingin melihat informasi ringkas tanpa perlu membuka skrin.

Perlu diingati bahawa skrin HONOR X8b juga menyokong fungsi Magic Capsule di mana pemberitahuan (notifications) akan ditunjukkan pada potongan kamera swafoto yang boleh membesar seperti Dynamic Island dalam siri iPhone.

Menerima panggilan, dengan efek Magic Capsule
Pemasa

Daripada segi sistem dalaman, HONOR X8b mempunyai Android 13 dengan antara muka MagicOS 7.2 yang sangat mesra pengguna dan intuitif. Ia menyokong pelbagai bentuk widget pada skrin utama dan susunan folder untuk mengkategorikan aplikasi anda supaya anda boleh susun skrin anda sendiri. Satu perkara yang kami kurang gemari adalah lambakan aplikasi yang dipra-pasang seperti Facebook, TikTok, Netflix dan Booking.com namun mujur sekali ia boleh dibuang.

Antara muka MagicOS 7.2

Prestasi – Memuaskan

Keputusan penanda aras Geekbench
Keputusan penanda aras 3DMark

Berdasarkan spesifikasi yang terdapat pada HONOR X8b, anda perlu perbetulkan jangkaan untuk prestasinya kerana dengan cipset seperti Snapdragon 680, ia hanya boleh menjana prestasi yang memuaskan untuk kegunaan harian seperti melihat gambar dan video dalam galeri, menonton filem, berbalas mesej teks dan melayari media sosial atau laman web.

Untuk prestasi gaming pula, sukar untuk ia janakan prestasi tertinggi dalam game seperti Asphalt 9 dan PUBG Mobile, walaupun dalam tetapan grafik medium. Jika bermain game berprestasi tinggi seperti Genshin Impact, anda perlu turunkan tetapan grafik sehingga tahap terendah untuk pengalaman gaming yang lancar, namun walaupun selepas melakukan sedemikian, anda akan mengalami kadar bingkai yang tersangkut (stuttering) atau pun terus terpadam (crash).

Asphalt 9
Genshin Impact

Daripada segi bateri, ia mempunyai kapasiti 4,500mAh yang boleh bertahan sehingga sehari jika anda tidak membuat tugas berat seperti merakam banyak video atau bermain game selama berjam-jam. Jika anda mengaktifkan fungsi penjimatan kuasa, ia boleh bertahan sehingga sehari setengah.

Untuk pengecasan pula, HONOR X8b datang dengan pengecas yang menyokong kadar 35W. Ia boleh mengecas telefon ini daripada 10% kepada 56% dalam masa 30 minit, 79% dalam masa 45 minit dan 100% dalam masa sekitar sejam.

Waktu pengecasan

Seterusnya adalah prestasi fotografi. HONOR X8b dilengkapi kamera utama 108MP, kamera ultra-lebar 5MP dan kamera makro 2MP manakala di hadapan pula terdapat kamera swafoto 50MP. Untuk sebuah telefon dalam kategori harga RM1,000, ini adalah spesifikasi kamera yang sangat bagus.

Ia menawarkan fungsi-fungsi dan mod fotografi yang standard untuk telefon kelas pertengahan. Kualiti gambarnya nampak cantik jika ia diambil bawah cahaya yang terang, manakala dalam situasi malap pula, Mod Malam (Night Mode) boleh mengurangkan jumlah noise namun efek terlalu diproses (overprocessed) masih boleh dilihat.

Malangnya, HONOR X8b tidak dilengkapi lensa telefoto dan sebaliknya hanya menawarkan zum digital sehingga 8x yang tidak nampak cantik.

UI kamera HONOR X8b
Gambar mod auto tanpa zum
Gambar ultra-lebar
Zum 2x
Zum 8x
Gambar ultra-lebar
Gambar mod auto
Zum 2x
Zum 8x
Gambar mod auto
Gambar swafoto auto (kiri) dan gambar swafoto potret (kanan)

Kamera utama 108MP tidak lagi asing dalam industri telefon pintar dan telefon ini juga menyokong fungsi Resolusi Tinggi (High-Res) untuk menghasilkan gambar yang menggunakan sensor 108MP itu sepenuhnya, dengan resolusi 12,000 x 9,000. Ia juga menawarkan mod HDR.

Kamera swafoto juga menyokong fungsi Resolusi Tinggi, jadi anda boleh aktifkannya untuk kualiti swafoto yang lebih tinggi. Satu perkara yang kami perlu ketengahkan adalah gambar yang diambil dalam mod Resolusi Tinggi tidak mempunyai tera air (watermark) walaupun selepas anda mengaktifkannya.

Perbandingan antara mod auto, mod High-Res dan mod HDR:

Mod auto
Mod High-Res
Mod HDR

Mari kita lihat pada gambar Night Mode, HONOR X8b menyokong gambar sehingga zum 2x dengan Night Mode diaktifkan, manakala zum 1x juga nampak bagus. Cuma, noise nampak lebih jelas dalam zum 2x berbanding tiada zum.

Night Mode tanpa zum
Night Mode dengan zum 2x
Night Mode tanpa zum
Night Mode dengan zum 2x

Kami juga mengambil swafoto pada waktu malam dan menggunakan mod seperti normal, potret dan mod malam dan jelas sekali mod malam menghasilkan gambar yang paling bagus, tanpa banyak pemprosesan yang melampau.

Perbandingan gambar swafoto dalam mod auto, swafoto mod potret, dan swafoto Night Mode

Untuk rakaman video, kualitinya agak sederhana dan boleh menyokong video sehingga 1080p pada kadar 30fps. Apa yang saya suka adalah penstabilannya, walaupun anda merakam video sambil berjalan, videonya masih nampak stabil. Mod VLOG juga agak berguna jika anda kerap merakam situasi harian kerana anda boleh aktifkan dwi-paparan untuk rakam video dengan kamera belakang dan hadapan serentak. Format dwi-paparan ini boleh dipilih dalam bentuk skrin berbahagi (split-screen) atau gambar-dalam-gambar (picture-in-picture).

Dwi-paparan sewaktu merakam dalam VLOG Mode

Kesimpulan – Telefon leather yang paling mampu milik

Secara keseluruhan, HONOR X8b adalah pakej yang berbaloi dengan harga sekitar RM999, terutamanya dengan bahagian kulit di belakang yang selalunya hanya dikhaskan untuk telefon pintar andalan (flagship) yang lebih mahal. Walaupun cipsetnya agak rendah, ia diselamatkan dengan skrin AMOLED 90Hz dan pemalapan PWM 3240Hz yang menghasilkan pengalaman tontonan selesa. Daripada segi gambar, kamera utama 108MP dan kamera swafoto 50MP boleh ambil gambar yang memuaskan.

Telefon lain yang setaraf dengan HONOR X8b termasuklah OPPO A79 4G (RM1,199) yang mempunyai bateri lebih besar (5,000mAh) dan pengecasan lebih pantas (67W). Sementara itu, realme 10 (RM899) pula mempunyai cipset Helio G99 yang lebih pantas dan skrin Super AMOLED 90Hz.

Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version