Site icon TechNave BM

Ulasan Infinix HOT 40 Pro – Telefon bajet pun boleh nampak mahal tau!

Di Malaysia, Infinix merupakan jenama peranti yang sinonim dengan telefon pintar mampu milik dan kelas pertengahan. Legasi ini diteruskan lagi dengan Infinix HOT 40 Pro yang diketengahkan sebagai telefon mampu milik yang boleh menghasilkan prestasi memuaskan untuk bermain game.

Harga jualannya yang bermula RM699 sahaja sudah pun membuatkannya nampak menarik kepada mereka yang sedang mencari telefon murah, jadi adakah ini gajet terbaik untuk didapatkan pada harga tersebut? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya.

Rekaan – Ini telefon ratusan atau ribuan Ringgit?

Sekali pandang pada Infinix HOT 40 Pro, anda pasti tidak percaya bahawa ia merupakan telefon yang dijual pada harga ratusan Ringgit sahaja. Telefon ini mempunyai permukaan belakang yang berkilauan, dengan corak garisan cahaya bintang (star trails) yang bergerak apabila anda menyengetkannya. Ini membuatkannya nampak seperti telefon kelas pertengahan yang dijual pada harga ribuan Ringgit.

Bahagian belakang Infinix HOT 40 Pro
Corak garisan bintang di belakang
Bahagian hadapan Infinix HOT 40 Pro

Warna yang diberikan kepada kami ialah hijau Starfall Green, manakala pilihan warna yang lain termasuklah emas Horizon Gold, hitam Starlit Black dan biru Palm Blue. Memandangkan warna hijau sahaja yang mempunyai nama “Starfall”, kami tidak pasti jika corak garisan cahaya bintang itu ada pada pilihan warna yang lain.

Ia turut mempunyai modul kamera dengan tiga bulatan lensa yang membuatkannya nampak seperti sebuah iPhone. Jadi jika anda ingin acah-acah seperti memiliki sebuah iPhone dan mengagumkan rakan anda tanpa perlu berbelanja besar, HOT 40 Pro adalah pilihan yang sangat sesuai.

Satu lagi aspek yang membuatkan HOT 40 Pro nampak seperti telefon lebih mahal adalah pada bahagian sisinya, di mana ia mempunyai rangka plastik yang berkilauan dan mirip besi. Bahagian sisi kanan menempatkan butang volume dan butang kuasa yang berfungsi sebagai pengimbas cap jari, manakala bahagian kiri pula menempatkan dulang dwi-kad SIM dan kad memori microSD.

Sisi kanan yang menempatkan butang kuasa, pengimbas cap jari dan butang volume
Sisi kiri yang menempatkan dulang dwi-kad SIM dan kad memori microSD
Bahagian bawah menempatkan pembesar suara, port USB-C dan bicu audio 3.5mm

Di bawah pula, ia menempatkan pembesar suara, port USB-C dan bicu audio 3.5mm. Memandangkan ia mempunyai pembesar suara stereo, satu lagi pembesar suara berada di bahagian atas skrin. Bercakap pasal skrin, kini mari kita lihat spesifikasi yang ditawarkan dalam telefon ini.

Spesifikasi – Canggih untuk telefon bajet

Berikut merupakan senarai spesifikasi penuh untuk Infinix HOT 40 Pro:

Apabila dilihat pada skrin, HOT 40 Pro boleh menghasilkan pengalaman tontonan yang sangat memuaskan. Meskipun ia tidak menggunakan panel OLED, panel LCD ini boleh menghasilkan warna yang cantik untuk filem dan game. Saiznya agak besar, resolusi Full HD+ pula menghasilkan butiran yang tajam dan walaupun saiz bezel agak tebal terutamanya di bahagian bawah skrin, ia adalah sesuatu yang boleh dijangka untuk telefon kategori ini.

Kadar segar semula sehingga 120Hz juga bermaksud skrin ini boleh ditatal (swiped) dengan sangat lancar, rasa seperti sebuah telefon yang lebih premium. Anda boleh tetapkannya kepada 60Hz atau 90Hz jika anda ingin jimatkan bateri, namun memandangkan ia mempunyai kapasiti bateri yang sangat besar, saya syorkan anda untuk biarkan sahaja pada kadar 120Hz.

Anda akan berpuas hati dengan kualiti warna pada skrin ini, namun kecerahannya tidak cukup tinggi untuk digunakan di luar
Boleh pilih antara 60Hz, 90Hz atau 120Hz

Satu lagi ciri menarik ialah Magic Ring, iaitu fungsi mirip Dynamic Island dalam iPhone yang ditiru oleh Infinix. Apabila anda membuat beberapa fungsi tertentu seperti mengecas telefon atau menerima panggilan, sebuah bar hitam akan muncul di kamera swafoto. Ini mungkin gimik murahan yang membuatkannya nampak seperti ingin meniru iPhone, tetapi saya tahu mungkin ada yang menyukainya.

Satu keburukan skrin ini adalah ia sekadar boleh menjana kecerahan puncak 500 nits sahaja, jadi ia agak sukar dilihat jika anda menggunakan telefon ini di luar, terutamanya bawah cahaya matahari terik.

Magic Ring yang muncul di sekeliling kamera swafoto
Fungsi-fungsi yang boleh dipaparkan oleh Magic Ring

Sewaktu menonton kandungan multimedia, pembesar suara stereo yang terdapat pada telefon ini boleh menghasilkan kualiti bunyi yang baik, namun tahap kelantangannya agak rendah walaupun pada tahap maksimum. Mujur sekali, anda boleh gunakan fon telinga berwayar untuk pengalaman audio yang lebih peribadi.

Daripada segi memori, RAM 8GB asal yang disediakan dalam telefon ini sudah memadai untuk kebanyakan tugas, namun jika anda ingin tingkatkan lagi prestasi multi-tugas, anda diberi pilihan untuk membesarkannya secara virtual sebanyak 8GB lagi, menjadikan RAM keseluruhan kepada 16GB. Saya berpendapat ia agak keterlaluan untuk melakukan sedemikian, namun terpulang kepada anda.

Storan dalamannya pula berkapasiti 256GB yang boleh dibesarkan lagi sebanyak 1TB dengan kad memori microSD.

Anda boleh pilih untuk besarkan RAM sebanyak 3GB, 5GB atau 8GB

Sewaktu ulasan ini ditulis, HOT 40 Pro masih menggunakan sistem operasi Android 13, sedangkan banyak telefon lain pada waktu ini sudah pun menerima kemas kini untuk Android 14. Saya tidak pasti sama ada HOT 40 Pro akan menerima kemas kini Android 14 atau tidak. Saya berpendapat telefon ini akan menerimanya kerana ia merupakan sebuah peranti yang dilancar pada 2024, namun saya tidak boleh katakan tentang berapa lamakah ia akan menerima kemas kini Android dan keselamatan pada masa hadapan.

Satu ciri menarik pada HOT 40 Pro adalah elemen antara muka (UI) yang diinspirasikan daripada game Free Fire, lengkap dengan latar belakang (wallpaper) yang menggambarkan watak-watak game tersebut, ikon-ikon berbentuk petak dan skema warna yang menyerupai tema Free Fire. Jika anda merupakan seorang peminat Free Fire, saya yakin ini akan menarik anda untuk membeli telefon ini, namun jika anda inginkan UI yang nampak lebih kemas dan standard, anda boleh berbuat demikian dalam tetapan My Themes dan pilih Spatial Geometry atau Colourful Crystals.

Beberapa wallpaper bertemakan watak Free Fire
Antara muka (UI) edisi Free Fire dalam Infinix HOT 40 Pro
Jika anda tidak gemar dengan UI Free Fire, anda boleh tukar kepada Spatial Geometry atau Colorful Crystals untuk penampilan yang lebih kemas
XBOOST Gaming Engine boleh diakses dengan meleret daripada bahagian bucu atas kiri

Sewaktu bermain game pula, anda boleh aktifkan XBOOST Gaming Engine untuk akses cepat kepada pelbagai fungsi seperti keutamaan prestasi (Power Saving, Equilibrium atau Performance), perakam skrin, kawalan suhu (Temperature Control), sembunyikan notifikasi, pelarasan grafik (Graphic Enhancement) dan banyak lagi.

Prestasi – Boleh tahan untuk telefon bajet

Sebagai sebuah telefon mampu milik, penting untuk kita letakkan jangkaan prestasi pada tahap yang sebetulnya. Meskipun begitu, saya amat berpuas hati dengan prestasi yang dijana oleh Helio G99 dalam telefon ini.

Kebanyakan game popular seperti PUBG Mobile boleh dimainkan pada tetapan grafik sederhana dengan kadar bingkai yang sekata. Game dengan grafik tinggi seperti Genshin Impact pun boleh dimainkan dengan selesa, selagi anda menetapkan grafik pada tetapan rendah. Suhu di belakang telefon pula rasa suam sahaja walaupun selepas bermain game selama satu jam.

Keputusan penanda aras Geekbench (kiri) dan 3DMark (kanan), jelasnya ia tidak menunjukkan prestasi keseluruhan yang tinggi berbanding telefon lain, namun masih boleh diterima untuk telefon kelas permulaan
Genshin Impact boleh dimainkan dengan tetapan grafik rendah
Tetapan grafik Genshin Impact
PUBG Mobile boleh dimainkan pada tetapan grafik sederhana
Tetapan grafik PUBG Mobile

Khas untuk game tembak-menembak, telefon ini mempunyai sensor Hard-Gyroscope yang membenarkan anda untuk membidik secara lebih halus dengan menggerakkan tangan sedikit.

Hayat baterinya juga cemerlang, hasil daripada kapasitinya yang sangat besar iaitu 5,000mAh. Jika anda memulakan hari anda dengan pengecasan penuh, pada malam hari anda masih boleh mempunyai baki sekitar 20% walaupun jika anda banyak bermain game dan menggunakan kamera.

Pengecasan pantas 33W pula mengambil masa sekitar satu jam 15 minit untuk mengecas bateri daripada kosong hingga penuh. Ia juga boleh digunakan sebagai power bank untuk mengecas peranti lain melalui fungsi pengecasan berbalik (reverse wired charging).

Pengecasan daripada 2% kepada 91% mengambil masa1 jam 4 minit (9:57am hingga 11:01am)

Kini mari beralih kepada prestasi kameranya pula. Dengan kamera utama 108MP, anda mungkin mengandaikan bahawa ia boleh mengambil gambar yang cantik pada setiap masa. Jika anda mengambil gambar pada waktu siang atau di bawah cahaya yang terang, anda boleh dapatkan kualiti gambar yang cantik.

Sungguh pun begitu, kualiti gambar pada waktu malam mungkin tidak secantik kamera yang lebih mahal, kerana noise dan efek pemprosesannya boleh dilihat dengan jelas. Di samping itu, ketiadaan kamera ultra-lebar mungkin akan mengecewakan beberapa pengguna yang kerap mengambil gambar ultra-lebar.

Fungsi yang ditawarkan dalam UI kamera ini
Gambar kamera utama
Gambar kamera utama
Gambar kamera utama
Gambar kamera utama, zum 2x
Gambar kamera utama
Gambar mod Super Night
Gambar mod Super Night
Gambar mod Super Night
Gambar swafoto
Gambar swafoto dalam mod potret
Gambar swafoto dalam situasi malap

Daripada segi video, ia boleh merakam dalam resolusi sehingga 2K pada kadar 30fps. Kualiti videonya nampak baik, namun tetapan asalnya tidak mempunyai sebarang penstabilan. Anda boleh aktifkan Ultra Steady untuk video yang lebih stabil, namun ia akan memotong sedikit (crop) medan penglihatan anda.

Kesimpulan – Telefon bajet menarik untuk bermain game

Untuk sebuah peranti yang dijual pada harga RM699, saya berpendapat ini adalah telefon yang sangat berbaloi. Anda bukan sahaja dapat telefon dengan rekaan yang cantik, malah prestasinya agak bagus untuk harga seperti ini. Anda boleh main pelbagai game yang popular serta menikmati hayat bateri yang lama dan kadar pengecasan yang agak pantas.

Sungguh pun begitu, jika anda inginkan telefon bawah seribu Ringgit yang menawarkan banyak fungsi fotografi, HOT 40 Pro bukanlah telefon yang sesuai untuk anda. Jika anda inginkan kamera ultra-lebar, Redmi Note 13 (RM749) atau HONOR X7b (RM799) adalah lebih sesuai.

Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version