More

    Ulasan HONOR X7b – Cukup bagus untuk telefon bajet?

    Jika anda sedang mencari telefon pintar mampu milik untuk kegunaan harian, HONOR X7b mungkin adalah telefon yang akan dipertimbangkan kerana harganya yang sangat murah iaitu RM799. Ia dilancar untuk pasaran Malaysia bersama HONOR X8b pada 22 Disember 2023 lalu dan ditawarkan dalam dua warna iaitu hijau Emerald Green dan perak Flowing Silver.

    TechNave telah pun diberi telefon ini lebih awal untuk ulasan ini, jadi kami mempunyai masa yang banyak untuk mengujinya. Jadi adakah telefon ini layak untuk wang tunai anda? Ayuh baca ulasan yang ditulis oleh TechNave Bahasa Inggeris ini untuk mengetahui lebih lanjut.

    Rekaan belakang nampak kemas

    Rekaan – Ringkas dan kemas

    Apabila kami mula-mula memegang telefon ini, perkara pertama yang menarik perhatian kami adalah rekaan belakangnya, lebih-lebih lagi dengan kilauan terang jika diletakkan bawah cahaya matahari. Bahagian sisinya juga mempunyai bingkai dengan sudahan besi metalik untuk melengkapkan penampilan yang kemas.

    Selain itu, dua bonggol kamera berbentuk bulat adalah ciri yang menarik untuk telefon ini. Ia menempatkan tiga kamera termasuklah kamera utama 108MP. Butang kuasa dan volume berada di bahagian kanan, manakala ruang kad microSD berada di bahagian kiri.

    Bahagian bawah menempatkan pembesar suara, port USB-C dan bicu audio 3.5mm, manakala di atas pula terdapat beberapa lubang untuk pembesar suara stereo.

    Kami tidak menggemari rekaan belakang telefon ini, namun kami menghargai sudahan metalik pada bahagian sisi yang membuatkannya nampak kemas. Kami juga menggalakkan anda untuk membeli sarung yang tebal bagi melindunginya, kerana saiznya yang agak nipis dan bonggol kamera yang tebal mungkin boleh mengundang kesan-kesan calar atau bengkok.

    Spesifikasi teknologi – Biasa sahaja

    • Skrin LCD 6.8 inci, resolusi 1080×2412, nisbah aspek 20:9, kadar segar semula 90Hz, kecerahan puncak 850 nits
    • Pemproses lapan teras (4×2.4 GHz Kryo 265 Gold & 4×1.9 GHz Kryo 265 Silver)
    • Cipset Qualcomm Snapdragon 680 4G (6nm)
    • GPU Adreno 610
    • RAM 16GB
    • Storan dalaman 256GB
    • Slot kad microSDXC
    • Sistem operasi Android 13 dengan MagicOS 7.2
    • Bateri 6,000mAh
    • Pengecasan pantas 35W
    • Kamera utama 108MP + kamera ultra-lebar 5MP + sensor kedalaman 2MP
    • Kamera swafoto 8MP
    Bateri yang tahan lama

    Ciri utama pada telefon ini pastinya adalah kapasiti bateri yang sangat besar iaitu 6,000mAh. HONOR menjanjikan hayat bateri yang sangat lama dan sepanjang ujian kami, kenyataan tersebut adalah benar. Kami mengambil masa 48 jam untuk menghabiskan bateri dengan menggunakannya untuk bermain game dan menonton video. Jika dibiarkan sahaja (idle), ia boleh bertahan sehingga empat hari dengan pengecasan penuh.

    HONOR X7b juga menyokong pengecasan pantas 35W dan menurut penggunaan kami, ia mengambil masa 90 minit untuk cas daripada 45% kepada 100%. Jadi, anda boleh jangkakan telefon ini untuk mengambil masa sekitar dua jam untuk mengecas penuh daripada 0%.

    "
    "

    Daripada segi antara muka (UI), kami menyukai susunan ikon aplikasi pada skrin utama. Ia sangat mesra pengguna dan jika anda datang daripada telefon jenama lain, anda tidak akan meluangkan banyak masa untuk membiasakan diri dengan MagicOS. Anda juga boleh membuat sedikit pengubahsuaian untuk menepati citarasa UI anda sendiri. Daripada segi perisian remeh (bloatware), telefon ini mempunyai bilangan yang lebih rendah daripada telefon mampu milik jenama lain.

    Daripada segi skrin dan kualiti audio, kami amat berpuas hati dengan HONOR X7b. Walaupun di bawah cahaya matahari terik dan dikelilingi bunyi bising daripada persekitaran, kualiti tontonan video masih memuaskan.

    Boleh menonton video walaupun bawah cahaya matahari terik

    Prestasi – Boleh melakukan kebanyakan tugas

    Untuk makluman, HONOR X7b kami meraih markah 437 mata dalam ujian Wildlife 3D Mark, membuatkannya lebih bagus daripada 3% sahaja telefon lain yang direkod dalam aplikasi penanda aras itu. Dengan markah sedemikian, anda boleh bayangkan prestasi telefon ini yang tidak setinggi mana.

    Telefon ini menggunakan cipset Qualcomm Snapdragon 680 dan GPU Adreno 610 yang pada waktu ini, sudah pun agak ketinggalan namun masih boleh menjana prestasi yang memuaskan. Kelajuan muat turun juga agak pantas, di mana kami hanya perlu menunggu beberapa minit untuk memuat turun Asphalt 9: Legends.

    Sepanjang penggunaan kami, kadang-kala telefon ini rasa agak janggal. Sebagai contoh, telefon ini akan tersangkut atau lag sedikit walaupun jumlah aplikasi yang berjalan dalam latar belakangnya adalah sedikit. Pada mulanya, kami rasa pelik kerana dengan RAM sehingga 16GB, ia tidak sepatutnya rasa sedemikian.

    Kami melihat pada ruang Tetapan dan mendapati RAM telefon ini sebenarnya terdiri daripada RAM asal 8GB dan RAM virtual 8GB (dikenali sebagai HONOR RAM Turbo). Ini adalah tetapan lalai (default) dan tidak boleh diubah, jadi anda akan dibiarkan dengan kelajuan RAM setakat ini sahaja.

    Terdapat juga satu kejadian di mana telefon ini tiba-tiba melakukan set semula (factory reset) secara sendiri. Sehingga kini, kami masih tidak pasti mengapa ia melakukan sedemikian.

    Grafik yang berpiksel, namun masih seronok untuk dimainkan
    Anda boleh rasa lag sewaktu melayari menu, namun tidaklah ketara

    Sewaktu bermain game, telefon ini mengalami kesusahan dalam bermain game grafik tinggi seperti Asphalt 9 Legends. Grafiknya perlu direndahkan sehingga nampak piksel yang agak jelas dan kadar bingkainya boleh jatuh dengan ketara. Walaupun sewaktu membuka menu, telefon ini boleh mengalami lag yang jelas.

    Jika lag dalam Asphalt 9 hanya berlaku kadang-kala, ia berlaku dengan lebih kerap sewaktu kami memainkan Genshin Impact. Untuk melepasi skrin loading sahaja, sudah memerlukan lebih 10 minit, dan kami mengalami lebih banyak kadar bingkai yang rendah sewaktu memainkannya.

    Elok jika anda rendahkan tetapan grafik sebelum bermain
    Lebih fokus pada sesi gaming santai sahaja

    Seperti yang boleh dijangka, grafiknya nampak berpiksel dan kabur. Jadi jika anda tidak utamakan grafik yang cantik atau prestasi kompetitif, telefon ini mungkin sudah baik untuk anda.

    Daripada segi fotografi, telefon ini mempunyai kamera utama 108MP yang boleh menghasilkan gambar sangat cantik jika diletakkan bawah cahaya yang terang. Kamera hadapan 8MP pula boleh menghasilkan gambar yang memuaskan, namun kadang-kala ia boleh nampak pelik dengan pemprosesan yang melampau.

    Mod potret pula boleh menyediakan butiran yang jelas untuk subjek dalam gambar. Kami juga berpuas hati dengan prestasi gambar mod malam. Di bawah cahaya yang cukup, kameranya boleh menghasilkan tona warna yang elok untuk objek pegun. Perlu diketahui bahawa ia menghasilkan jumlah noise yang agak jelas jika ia cuba mengambil gambar objek yang bergerak seperti kereta.

    Mod auto
    Zum 8x
    Mod auto
    Mod ultra-lebar
    Mod potret
    Gambar swafoto nampak memuaskan
    Mod auto
    Tona warna nampak kemas walaupun dalam waktu malam
    Mod malam, penghasilan warnanya baik
    Objek yang bergerak akan nampak kabur jika gambar diambil pada waktu malam

    Kesimpulan – Memuaskan, tapi ada banyak lagi telefon yang lebih bagus

    Secara keseluruhannya, ini adalah peranti yang sesuai untuk kegunaan harian anda. Sungguh pun demikian, untuk telefon yang dijual pada harga ini, kami merasakan terdapat telefon di luar sana yang boleh memberikan lebih banyak nilai dan berfungsi dengan lebih bagus.

    Sebagai contoh, Infinix GT 10 Pro (RM1,049) mungkin lebih mahal sedikit berbanding HONOR X7b, namun ia menyediakan prestasi yang lebih pantas dan pengalaman penggunaan menyeluruh yang lebih baik. Satu lagi alternatif ialah iQOO Z7x 5G (RM929) yang boleh menyokong rangkaian 5G. Namun jika anda utamakan hayat bateri lama, pengecasan pantas dan prestasi sederhana, HONOR X7b adalah peranti yang sesuai.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Meta Glasses rasmi dengan tiga rekaan bingkai, bateri 8 jam dan AI Muse Spark

    Meta secara rasmi memperkenalkan Meta Glasses iaitu siri cermin mata pintar baharu yang dibangunkan bersama pengeluar kaca mata EssilorLuxottica. Pelancaran ini dilihat...

    Samsung umum UFS 5.0 dengan kelajuan sehingga 10.8GB/s — Fokus AI pada peranti

    Samsung mengumumkan pembangunan storan UFS 5.0 generasi baharu yang menawarkan prestasi sehingga dua kali lebih pantas berbanding UFS 4.1 selain direka untuk...

    vivo lancar Concept Store baharu di Sunway Velocity Mall dengan pameran “imaging” tersendiri

    vivo Malaysia bakal membuka Concept Store baharu di Sunway Velocity Mall pada 27 Jun 2026 dengan membawa konsep lebih interaktif menerusi Immersive...

    Samsung kini pilih ChatGPT untuk bantu pembangunan produk dan operasi syarikat

    Samsung dan OpenAI kini mengembangkan kerjasama mereka ke peringkat baharu apabila Samsung dilaporkan akan menyediakan ChatGPT Enterprise dan Codex kepada semua pekerja...

    Tecno Camon 50 Slim tiba dengan 354 mini-LED belakang, skrin 144Hz dan ketebalan hanya...

    Tecno secara senyap-senyap telah menyenaraikan Camon 50 Slim pada laman global mereka yang mendedahkan hampir keseluruhan spesifikasi dan ciri telefon tersebut. Buat...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    Ulasan vivo X300 Pro – Kamera ZEISS generasi baru untuk vivo!

    Dengan 2025 yang semakin hampir kepada penamatnya, vivo Malaysia tidak ketinggalan untuk melancarkan telefon pintar flagship generasi seterusnya dengan melancarkan vivo X300...