fbpx
More

    Ulasan Infinix GT 10 Pro – Siapa kata telefon “mid-range” tak boleh ada gaya?

    Infinix merupakan sebuah jenama telefon pintar yang semakin menempa nama dalam pasaran Malaysia dan kini telefon terbarunya, Infinix GT 10 Pro, mengukuhkan lagi reputasi jenama tersebut sebagai jenama yang menawarkan peranti bermutu tinggi. Ini adalah telefon Infinix pertama dalam Malaysia yang membawa penjenamaan GT, iaitu kategori khas untuk telefon gaming mampu milik.

    Infinix GT 10 Pro dijual pada harga RM999 dalam pasaran Malaysia, jadi adakah ini peranti yang sempurna untuk mereka yang menginginkan sebuah telefon gaming tanpa perlu berbelanja besar? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya:

    Rekaan – Sangat “wow”

    Sepanjang saya mengulas beberapa telefon pintar kelas pertengahan sepanjang tahun ini, Infinix GT 10 Pro adalah telefon pertama yang agak mengejutkan saya. Rekaan belakangnya mempunyai corak garisan dan bulatan yang sinonim dengan corak yang terdapat pada perkakasan gaming, jadi memang daripada jauh, orang boleh tahu bahawa ini adalah sebuah telefon yang dikhaskan untuk gamer.

    Rekaan belakang Infinix GT 10 Pro
    Rekaan hadapan Infinix GT 10 Pro

    Infinix menggelar rekaan canggih ini sebagai “Cyber Mecha”, nama yang sangat padan dengan rekaannya. Warna yang dipinjamkan kepada kami ialah gabungan hitam-oren Cyber Black, membuatkannya nampak sangat eksklusif dan seperti telefon yang datang daripada dunia Cyberpunk 2077. Jika anda berminat dengan warna yang lebih terang, ia juga ditawarkan dalam warna perak-putih Mirage Silver.

    Bahagian sisinya rata seperti siri iPhone, kemudian bonggol kameranya pula sangat nipis, membuatkannya mudah diletakkan secara rata di atas meja. Butang kuasa dan kawalan audio (volume) berada di bahagian sisi kanan, manakala di bawah pula terdapat bicu audio 3.5mm, port USB-C dan satu pembesar suara. Menarik untuk telefon ini ialah walaupun telefon kelas pertengahan, ia masih mempunyai pembesar suara stereo, di mana pembesar suara kedua berada di bahagian atas.

    Satu ciri unik pada belakang telefon ini adalah lampu Mini-LED Indicator di sebelah lensa. Lampu ini berwarna putih sahaja dan boleh menyala untuk fungsi-fungsi tertentu seperti pengecasan, makluman notifikasi dan panggilan telefon. Ia juga akan menyala mengikut rentak muzik yang dimainkan. Pada pendapat saya, ini bukanlah ciri yang bermanfaat, malah lebih kepada gimik seperti Nothing Phone (2), namun saya pasti ada di luar sana yang menggemari lampu tambahan seperti ini.

    Lampu Mini-LED berwarna putih di sebelah kameranya yang boleh menyala menurut pelbagai fungsi

    Biasanya, saya tidak akan mengulas tentang kotak yang didatangkan bersama sebuah telefon. Tetapi khas untuk Infinix GT 10 Pro, kotaknya mempunyai ciri unik di mana ia boleh digunakan sebagai pendiri (dock) untuk telefon ini berserta ‘gril pembesar suara’ palsu padanya.

    Jika ini merupakan usaha Infinix untuk mengurangkan bahan kotak yang dibuang dan menggalakkan para pelanggan untuk mengguna atau mengitar semula kotaknya, ini adalah inisiatif yang harus dipuji. Sungguh pun begitu, slot untuk meletakkan Infinix GT 10 Pro ini agak cetek jadi ia susah untuk diletakkan dengan kukuh.

    Spesifikasi – “Power” seperti rekaannya

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk Infinix GT 10 Pro:

    • Skrin AMOLED FullHD+ (1080×2400) 6.67 inci, kadar segar semula 120Hz, kadar bacaan sentuh 360Hz, kecerahan 900 nits
    • Cipset MediaTek Dimensity 8050 5G, dibina dengan nod proses 6nm
    • RAM 8GB, boleh dibesarkan secara maya sehingga 16GB
    • Storan dalaman UFS3.1 256GB, boleh dibesarkan dengan kad memori
    • Kamera utama 108MP + kamera makro 2MP + sensor kedalaman 2MP
    • Kamera swafoto 32MP
    • Bateri 5,000mAh
    • Pengecasan pantas 45W
    • Sistem operasi Android 13 dengan antara muka XOS 13 for GT
    • Port USB-C, bicu audio 3.5mm, pembesar suara stereo
    • Pengimbas cap jari dalam skrin

    Infinix GT 10 Pro mempunyai spesifikasi yang menarik untuk telefon kelas pertengahan. Walaupun dijual pada harga bawah seribu Ringgit, ia sudah menampilkan skrin AMOLED FullHD+ dengan kadar segar semula (refresh rate) setinggi 120Hz untuk menghasilkan paparan yang setaraf dengan telefon yang lebih mahal. Sempadan bezel juga sangat nipis di keempat-empat sisi untuk tontonan yang lebih seronok.

    Segala warna yang dihasilkan nampak cantik, kemudian pengalaman menatal pada skrin pula rasa sangat lancar dengan kadar 120Hz. Ini bukannya panel LTPO, bermaksud ia tidak boleh menurunkan kadar segar semula serendah 1Hz untuk menjimatkan bateri, namun anda boleh menurunkannya secara manual sehingga 60Hz untuk penggunaan tenaga yang lebih rendah. 

    Warna yang dihasilkan pada skrin ini nampak sangat terang

    Untuk memori, memang standard bahawa telefon seperti ini boleh membesarkan storannya sehingga 1TB dengan kad memori microSD. Satu perkara yang menarik adalah RAM 8GB boleh dibesarkan secara maya (virtual) sebanyak 8GB lagi, membuatkan RAM keseluruhan kepada 16GB, selagi anda masih mempunyai ruang dalam storan. Saya merasakan RAM 16GB ini agak keterlaluan untuk telefon seperti ini, jadi saya mencadangkan anda untuk gunakan RAM asal sahaja.

    Telefon ini menggunakan antara muka (UI) XOS 13 For GT yang nampak sangat gamer, terutamanya dengan ikon berbentuk kotak-kotak dan latar belakang (wallpaper) bergaris-garis yang sepadan dengan rekaan belakang telefon. Saya sendiri agak menggemari penampilan UI seperti ini supaya nampak lebih sepadan dengan rekaan Cyber Mecha pada luaran telefon, namun jika anda berpendapat ia keterlaluan, anda boleh ubahnya menjadi seperti XOS 13 biasa supaya nampak lebih normal. 

    UI untuk XOS 13 For GT yang nampak sangat “gamer”
    Jika anda tidak suka UI di atas, anda boleh tukar kepada penampilan yang nampak lebih normal

    Mujur sekali, telefon ini tidak didatangkan dengan jumlah aplikasi remeh (bloatware) yang tinggi, membuatkan UI nampak lebih kemas dan bersih. Sewaktu pelancaran, Infinix mengatakan telefon ini akan menerima kemas kini Android selama dua tahun sahaja, iaitu agak pendek jika dibandingkan dengan jenama lain seperti Samsung.

    UI ini juga menyediakan Game Mode sewaktu anda bermain game. Anda boleh meleretkan jari daripada bahagian kiri skrin untuk mengaksesnya, dan ia bukan sahaja menawarkan fungsi asas seperti melaraskan prestasi, merakam skrin (screen record) atau mematikan panggilan, malah ciri yang biasanya ada dalam telefon gaming atasan turut ada dalam GT 10 Pro, seperti Bypass Charging (apabila anda mengecas telefon sewaktu bermain game, bateri tidak akan dicas bagi menjaga kesihatan bateri), Gaming Temperature Control (kawalan suhu sewaktu bermain game) dan Increase Footstep Sound (menguatkan bunyi langkah kaki dalam game untuk memudahkan anda mengenal pasti kedudukan musuh).

    Beberapa ciri seperti Graphic Enhancement dan Magic Button mungkin lebih sekadar gimik yang tidak membawa apa-apa penambahbaikan, namun sesetengah ciri lain ini pasti akan dihargai oleh gamers tegar.

    Prestasi – Berbaloi untuk harganya

    Sebelum saya mengulas lebih lanjut mengenai pengalaman saya menggunakan Infinix GT 10 Pro, berikut adalah keputusan beberapa penanda aras yang telah saya lakukan:

    Saya berpuas hati dengan prestasi telefon ini. Walaupun dengan harganya yang sangat berpatutan, saya boleh memainkan game seperti COD Mobile, PUBG Mobile dan Asphalt 9 dengan prestasi yang agak baik dalam tetapan grafik tertinggi. Dalam PUBG Mobile, anda boleh dapatkan kadar bingkai 90Hz jika anda rendahkan tetapan grafik, dan saya merasakan ini adalah fungsi yang menarik jika anda utamakan setiap kelebihan yang boleh dalam setiap pusingan.

    Suhu pada belakang telefon juga rasa terkawal dan tidak pernah jadi terlalu panas. Sungguh pun begitu, saya merasakan kadar bingkai (frame rate) turun sedikit selepas saya bermain selama lebih setengah jam. Selain itu, getaran yang dihasilkan oleh 4D Vibration Linear Motor rasa agak lemah.

    Dengan bateri 5,000mAh, telefon ini boleh bertahan selama sehari dengan mudah. Apabila digunakan secara biasa dengan pengecasan penuh pada waktu pagi, ia masih mempunyai baki sekitar 30 peratus pada waktu malam, walaupun dengan mod skrin 120Hz. Jika anda memainkan game secara berterusan dengan Performance Mode diaktifkan dalam Game Mode UI, sesi gaming selama satu jam akan menggunakan kira-kira 20 peratus daripada bateri.

    Untuk pengecasan pula, GT 10 Pro menyokong kadar pengecasan pantas sehingga 45W yang boleh mengecas penuh bateri ini sekitar sejam. Malangnya ia tidak mempunyai sebarang pengecasan wayarles, namun itu boleh dijangka untuk telefon pada kategori ini. Sekurang-kurangnya, pengecas 45W itu turut disertakan dalam kotak telefon.

    Kini saya ingin ulas mengenai kamera GT 10 Pro, di mana saya berpendapat adalah kelemahan utama pada telefon ini. Kualiti gambar yang dihasilkan nampak cantik jika diambil pada waktu siang atau dalam situasi yang sangat terang, namun jika diambil pada waktu malam, kualitinya turun dengan agak mendadak, walaupun selepas Night Mode diaktifkan.

    Saya faham bahawa mungkin mereka yang membeli telefon ini mungkin lebih mengutamakan prestasi gaming dan rekaan telefon yang menarik berbanding kualiti gambar, jadi isu ini mungkin tidak menghiraukan mereka. Sungguh pun begitu, sebagai seorang yang gemar mengambil gambar dan video dengan telefon, saya tidak menggemari kamera dalam telefon ini.

    Kualiti videonya pula nampak memuaskan dan boleh diterima untuk telefon kelas pertengahan, selagi anda berada dalam situasi yang banyak cahaya. Anda boleh rekod dalam resolusi sehingga 4K30fps. Terdapat juga penstabilan yang berfungsi dengan agak baik jika anda merakam video tanpa sebarang tripod, namun jika anda merakam sambil berjalan, video masih nampak bergegar.

    Kesimpulan – Gaya dahulu, yang lain belakang cerita

    Jika saya boleh simpulkan Infinix GT 10 Pro dengan satu perkataan, ia adalah “bergaya”. Ini adalah kerana rekaan Cyber Mecha merupakan satu-satunya daya penarik buat telefon gaming bajet ini, selain harganya yang sangat mampu milik. Jika anda inginkan sebuah telefon yang pasti menarik perhatian orang di sekeliling anda dan pada masa yang sama tidak membelanjakan wang yang besar, inilah telefon untuk anda.

    Daripada segi gaming, GT 10 Pro mempunyai prestasi yang memuaskan manakala Game Mode UI menawarkan beberapa fungsi yang tidak ditawarkan dalam telefon kelas pertengahan lain, cuma anda perlu sedar bahawa fotografi dan videografi bukanlah kekuatan utama telefon ini.

    Pada harga RM999, tidak banyak telefon lain yang boleh menyaingi GT 10 Pro sebagai alternatif. OPPO A78 5G (RM999) turut dijual pada harga serupa, namun skrin AMOLED-nya sekadar mempunyai kadar 90Hz manakala kadar pengecasannya sekadar 33W. realme 10 (RM999) juga mempunyai spesifikasi yang sama seperti OPPO A78. Jika anda inginkan telefon gaming yang serupa dan mempunyai kamera ultra-lebar, boleh lihat pada POCO X5 5G (RM1,099).

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Pesaing Tesla, Polestar hasilkan telefon pintar pertama dengan ciri AI khas

    Salah satu pesaing Tesla dalam pasaran kenderaan elektrik, Polestar, baru sahaja melancarkan telefon pertama mereka. Untuk pengetahuan, Polestar Phone dan Meizu 21...

    Elon Musk: Tesla adalah kenderaan EV dengan kos penyelenggaraan paling murah

    Sebuah analisis data yang diterbitkan oleh Consumer Reports pada Jumaat lalu menyatakan Tesla adalah jenama kenderaan elektrik (EV) yang mempunyai kos penyelenggaraan...

    GXBank: Faedah deposit 5% Savings Pockets setahun akan berakhir lebih awal

    Kepada pengguna GXBank yang ingin menikmati diskaun faedah deposit 5% Savings Pockets setahun, ketahuilah bahawa ia akan berakhir walaupun belum sampai 9...

    BYD Hiace 07 EV diperkenal, dilengkapi “God’s Eye” dan jarak pemanduan sehingga 610 km

    Semasa Pameran Auto Beijing, BYD telah memperkenalkan kereta terbaharunya iaitu BYD Hiace 07 EV. Salah satu ciri menonjol Hiace 07 EV ialah...

    CelcomDigi tawarkan internet 1TB pada harga RM15 dan banyak lagi promosi sempena Hari Gaji...

    Seperti biasa, syarikat telekomunikasi CelcomDigi menawarkan promosi Hari Gaji Specials pada hujung bulan dan untuk kali ini ia akan berlangsung daripada hari...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X