Dengan lembaran dekad baru pada tahun ini, Samsung juga ingin menzahirkan semangat yang baru dalam siri Galaxy S pada tahun 2020 ini dengan menamakan siri telefon pintar flagship-nya kepada format nama baru, Galaxy S20. Malah, dengan nama baru ini Samsung juga mendatangkan beberapa ciri yang revolusioner dalam siri telefon pintar yang disifatkan sebagai penentang utama kepada keunggulan iPhone 11.
Jadi adakah ini model Android flagship yang terbaik pada tahun ini? Saya sudah pun menggunakan varian pertengahan dalam siri S20 iaitu Galaxy S20+ selama lebih dua minggu dan saya boleh katakan ia sudah pun menjadi antara telefon terbaik pada 2020 – walaupun dengan reka bentuk yang mungkin boleh buat peminat Samsung berbelah bahagi. Berikut adalah ulasan penuh saya untuk S20+.
Reka bentuk – Bonggol kamera yang mengganggu?
Sekali pandang, ciri yang paling menonjol pada rekaan luaran S20+ tentunya adalah bonggol kamera di bahagian belakangnya di mana beberapa netizen membandingkannya dengan bonggol kamera pada iPhone 11. Jika itu sesuatu yang merisaukan anda, usah bimbang kerana anda akan lupa kewujudan bonggol itu selepas anda menggunakannya untuk seketika.
Malah, jika anda menggunakan casing lutsinar yang turut diberikan bersama S20+ anda, bonggol kamera itu akan menjadi rata dengan casing tersebut.
Cakap tentang bahagian belakang, ia juga menunjukkan mutu luaran S20+ yang menawan dengan kaca Gorilla Glass 6 menyelubungi hampir keseluruhan badan peranti tersebut. Memandangkan ia adalah gelas lutsinar, kesan cap jari akan pantas kelihatan sebaik sahaja anda menyentuh telefon itu jadi casing adalah sesuatu yang saya galakkan untuk dipasang sejak awal.
Warna S20+ yang saya dapat untuk ulasan ini adalah biru Cloud Blue dan ia tidak menampilkan tekstur atau corak aneh pada badan telefon tersebut. Gelas pada badan telefon itu memberikan efek pelangi apabila ia memantulkan cahaya pada sudut tertentu.
Pada bahagian hadapan pula, S20+ mempunyai skrin Quad HD+ Dynamic AMOLED 2X berukuran 6.7 inci. Dibandingkan dengan saudaranya yang lain, ia adalah 0.5 inci lebih besar daripada S20 tetapi 0.2 inci lebih kecil daripada S20 Ultra.
Di bahagian atas pula, terdapat sebuah kamera dalam lubang (punch hole) kecil di tengah-tengah skrin. Memandangkan ia bukanlah takuk (notch), jadi terdapat lebih banyak ruang untuk skrinnya menunjukkan warna.
Jika dilihat pada bahagian sisi kanan pula terdapat butang kuasa dan kawalan bunyi, manakala di bahagian kiri pula tiada butang langsung. Ini adalah menarik kerana Samsung memutuskan untuk membuang butang Bixby yang telah diperkenalkan sejak Galaxy S8.
Tentunya ini adalah langkah yang dihargai oleh peminat Samsung kerana tidak ramai pun yang menggunakan atau menggemari sistem pembantu suara (voice assistant) itu.
Di bahagian atas pula terdapat ruang untuk kad SIM dan kad memori microSD, manakala di bawah pula terdapat penghubung USB Type-C, mikrofon dan pembesar suara.
Nampaknya bermula dekad 2020 ini, kita perlu berpisah daripada bicu audio 3.5mm dalam siri Galaxy S kerana ia tidak ada dalam S20+ ini, jadi anda perlukan earphone wayarles atau earphone dengan penghubung USB Type-C untuk menggantikan earphone lama anda.
Spesifikasi – Skrin dan kamera yang lebih canggih untuk dekad yang baru
Untuk mulakan tentang spesifikasi S20+ ini, mari cakap tentang skrinnya. Dalam siri S20 ini, ia adalah pertama kali siri Galaxy S dilengkapi skrin dengan kadar segar semula (refresh rate) sepantas 120Hz. Saya sudah mencubanya dan seperti yang anda jangkakan, semua animasi sistem sewaktu saya meleret jari saya nampak lancar sekali dan sukar untuk saya pulang semula ke telefon asal saya dengan kadar segar semula yang lebih rendah.
Walau bagaimanapun, anda perlu tahu yang kebolehan 120Hz ini bukanlah seting asal dalam S20+ kerana seting asal adalah 60Hz. Selain itu, resolusinya pada 120Hz adalah lebih rendah iaitu 1080 x 2400, berbanding resolusi asalnya (native resolution) 1440 x 3200 sewaktu anda menggunakan 60Hz. Namun, dengan ketumpatan piksel (pixels per inch, ppi) yang padat sebanyak 525 ppi, anda tidak akan lihat perbezaan yang ketara di antara kedua-dua resolusi tersebut.
Manakala daripada segi mutu imej yang dijana di skrin pula, skrin Dynamic AMOLED 2x ini memberi warna yang sangat cantik. Saya boleh katakan yang ia juga mempunyai nisbah kontra (contrast ratio) yang tinggi di mana warna hitamnya adalah sangat gelap dan putihnya pula amat terang. Selain itu, tahap keterangannya pula (brightness) boleh dilaraskan sehingga ia boleh dilihat bawah matahari terik.
Antara perkara utama yang membuatkan S20+ ini lebih istimewa daripada S20 adalah daripada segi kamera. Ia mempunyai kamera yang sama dengan S20 — kamera ultra-lebar 12MP, kamera utama 12MP, kamera telefoto 64MP — dan satu lagi tambahan iaitu kamera DepthVision. Ini adalah sensor kedalaman time-of-flight (ToF) yang boleh menilai jarak di antara kamera dan subjek dengan membaca kelajuan cahaya, di mana ia mengambil masa cahaya untuk dipantulkan daripada subjek ke sensor kamera.
Bateri dalam S20+ ini pula agak besar, iaitu 4,500mAh. Ia adalah 500mAh lebih besar daripada S20 tetapi 500mAh lebih kecil daripada abangnya, S20 Ultra. Ia boleh dicas menggunakan pengecas Super Fast Charging 25W dan apabila saya mengecasnya daripada 5% ke 100%, ia hanya mengambil masa lebih kurang sejam sahaja.
Berikut adalah spesifikasi penuh S20+ untuk pasaran Malaysia:
- Cipset Exynos 990
- RAM 8GB dan storan 128GB
- Skrin Dynamic AMOLED 2x Quad HD+ berukuran 6.7 inci dengan kadar refresh 120Hz
- Kamera ultra-lebar 12MP, kamera utama 12MP, kamera telefoto 64MP dan DepthVision Camera
- Space Zoom: Hybrid Optic Zoom sehingga 3x dan Super Resolution Zoom sehingga 30x
- Kamera selfie 10MP
- Bateri 4,500mAh dengan pengecasan pantas 25W
- One UI 2 berdasarkan Android 10
- Pengimbas cap jari ultrasonik bawah skrin (under display)
- Kalis air IP68
Prestasi – Tiada masalah untuk mengendali aplikasi berat, tetapi Space Zoom agak mengecewakan
Dengan cipset Exynos 990, anda sudah tentunya menjangkakan telefon flagship ini mampu mengoperasi pelbagai aplikasi yang berat dengan mudah. Ia mencatatkan markah yang amat tinggi dalam ujian penanda aras (benchmark) AnTuTu iaitu sebanyak 508724, manakala untuk ujian 3D Mark Sling Shot Extreme pula, ia mencatatkan markah yang tinggi juga iaitu 6609 untuk OpenGL dan 5164 untuk Vulkan.
Saya telah mencubanya untuk memainkan game yang mempunyai grafik tinggi seperti Asphalt 9 dan Call of Duty Mobile, dan saya boleh simpulkan di sini bahawa S20+ tidak mempunyai masalah untuk mengoperasi game-game ini. Ia memberikan frame rate yang konsisten walaupun dengan seting grafik tertinggi. Walaupun S20+ tidak mempunyai banyak ciri-ciri yang dikhususkan untuk gamers, ia tentunya mampu menyaingi pelbagai telefon di luar sana daripada segi prestasi gaming.
Hayat baterinya yang berkapasiti 4,500mAh ini juga bertahan dengan agak lama, walaupun dengan skrin yang saya tetapkan pada 120Hz. Malah, sewaktu saya menulis ulasan S20+ ini saya mempunyai banyak masa di rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi saya meluangkan masa dengan menonton video YouTube atau melayari Instagram dalam S20+ ini. Sukacita untuk saya laporkan bahawa pada hujung hari, bateri S20+ ini berada dalam lingkungan 30-40% dan ini semua dilakukan tanpa mengaktifkan sebarang mod penjimatan kuasa.
Beralih kepada prestasi kamera pula, seperti yang anda jangkakan daripada siri Galaxy S, kamera S20+ ini mampu mengambil gambar yang cantik dengan sangat mudah. Berikut adalah contoh foto yang telah saya ambil sepanjang saya menggunakannya:
Kamera utama:
Gambar dalam situasi malap (low-light)
Kamera S20+ tiada masalah untuk mengambil gambar dalam situasi malap. Ia berjaya mengambil gambar yang tidak terlalu noisy tanpa menghasilkan overexposure daripada sumber cahaya.
Berikut adalah beberapa gambar yang saya ambil dari sebuah restoran dan pasar malam.
Gambar ultra-lebar
Saya sebenarnya paling menggemari kebolehan fotografi ultra-lebar dalam S20+ ini. Gambar yang dihasilkan sangat cantik dan tentunya ia amat berguna jika anda berada dalam kawasan yang sempit atau ingin mengambil gambar pemandangan sebanyak mungkin.
Berikut adalah contoh gambar ultra-lebar yang telah diambil:
Antara ciri fotografi S20+ yang diiklankan oleh Samsung adalah fungsi Single Take. Secara asasnya, fungsi ini akan mengambil beberapa gambar dan video secara automatik sebaik sahaja anda menekan butang shutter. Hasilnya, anda akan mempunyai beberapa pilihan gambar dan video yang telah disunting secara automatik, lengkap dengan penapis (filter) atau efek menarik yang boleh terus dimuat naik ke media sosial seperti Instagram atau TikTok.
Pada pendapat saya, Single Take ini adalah ciri yang menarik tetapi tidak akan selalu digunakan. Dalam semua gambar Single Take yang saya ambil, jarang sekali suntingan automatik ini memberikan hasil yang memuaskan saya. Saya lebih rela mengambil gambar dan menyuntingnya sendiri.
Mungkin Single Take ini boleh dimanfaatkan untuk influencer internet atau mereka yang kerap memuat naik kandungan dalam media sosial tetapi untuk orang kebanyakan, saya rasa Single Take ini sesuatu yang akan dicuba beberapa kali sahaja dan tidak lagi digunakan.
Bagaimana pula dengan teknologi Space Zoom? Walaupun ia tidak diiklankan seperti S20 Ultra yang boleh zum sehingga 100x, S20+ masih mempunyai Space Zoom sehingga 30x. Dan hasilnya? Tidak terlalu bagus. Gambarnya menjadi kabur sebaik sahaja anda melepasi zum 10x. Anda boleh lihat contoh gambar di bawah:
Anda juga boleh mengambil gambar menggunakan kamera telefoto 64MP tanpa sebarang zum untuk mendapatkan lebih banyak butiran dalam gambar yang diambil. Akan tetapi, gambar yang diambil dengan kamera 64MP hanya boleh ditangkap dalam nisbah aspek 4:3.
Ciri ini amat sesuai jika anda merancang untuk zum dan memotong (crop) gambar anda dalam perisian penyuntingan seperti Photoshop atau Lightroom. Berikut adalah perbandingan antara gambar yang diambil dengan kamera utama 12MP dan kamera telefoto 64MP:
Walau bagaimanapun, saya amat gemar pada fungsi Live Focus di mana latar belakang dalam gambar atau video akan dikaburkan dengan efek bokeh secara real-time.
Pemprosesan gambar yang diambil dengan mod Live Focus berjaya menghasilkan efek bokeh mirip kamera sebenar, jadi pengasingan antara subjek dengan latar belakang berfungsi dengan amat baik.
Daripada segi video pula, S20+ mampu merekod pada resolusi 8K dengan 24fps. Saya telah mencubanya dan kualiti videonya adalah sangat bagus pada resolusi 8K dan juga resolusi-resolusi yang lebih rendah seperti 4K dan 1080p.
Namun, saya tidak menasihatkan anda untuk merakam dalam 8K setiap masa kerana ia memakan memori yang banyak. Malah, jika anda merancang untuk menyunting video 8K atau memainkannya semula dalam komputer atau televisyen, ia agak sukar kerana tidak banyak perisian atau skrin yang boleh menayangkan video 8K sepenuhnya.
Saya syorkan kebolehan 8K ini hanyalah digunakan untuk rakaman pendek atau anda ingin mengambil gambar (screen grab) sewaktu merakam dalam 8K kerana gambar tersebut mempunyai kualiti yang baik.
Namun untuk Live Focus Video, kadangkala ia nampak pelik kerana efek bokeh real-time itu nampak seperti dibuat-buat (artificial) dan membuatkan subjek saya seolah-olah berjalan dalam kabus tebal.
Walaupun Live Focus berfungsi dengan baik untuk gambar, malangnya untuk video ia nampak agak aneh. Berikut adalah contoh rakaman yang dihasilkan menggunakan Live Focus Video:
S20+ juga menyediakan penstabilan imej sewaktu rakaman video dan ia berfungsi dengan agak baik! Walaupun ia cumalah penstabilan digital, rakaman yang dihasilkan nampak seperti S20+ ini sedang dipegang oleh sebuah gimbal waktu saya berjalan. Waktu saya berlari pun, rakaman yang dihasilkan nampak stabil tanpa sebarang efek pelik di dalam video.
Untuk makluman, penstabilan video hanya boleh diaktifkan sewaktu merakam dengan nisbah aspek 16:9. Berikut adalah demonstrasi penstabilan imej sewaktu merakam menggunakan S20+:
Ia juga boleh merekod dalam slow motion dalam kadar 240fps (frames per second) pada 1080p dan 960fps pada 720p. Saya cuba memperlahankan pergerakan skateboard saya sewaktu ia di udara dan saya amat berpuas hati dengan kualiti video slow motion S20+ ini dalam 240fps.
Untuk 960fps pula ia adalah agak sukar kerana anda hanya boleh merakam selama beberapa saat. Selepas merakam, S20+ akan memperlahankannya untuk anda secara automatik atau anda boleh pilih bahagian yang ingin diperlahankan.
Jadi apa fungsi istimewa DepthVision Camera dalam S20+ ini? Selain mencantikkan gambar anda, ia juga boleh digunakan dalam efek augmented reality (AR) serta pengimbas objek 3D.
Fungsi AR yang terdapat dalam kamera S20+ seperti AR Doodle adalah sangat seronok untuk dimainkan, di mana anda boleh ‘menconteng’ sebuah corak 3D dalam video anda.
Efek AR seperti Quick Measurement pula membolehkan anda mengukur jarak atau saiz sesuatu objek dengan mudah manakala 3D Scanner pula boleh mencipta imbasan 3D sesuatu objek.
3D Scanner hanya boleh berfungsi dalam S20+ dan S20 Ultra kerana hanya dua varian ini yang dilengkapi DepthVision Camera. Manakala untuk Quick Measurement pula, S20 hanya boleh mengukur jarak, panjang dan ketinggian manakala S20+ dan S20 Ultra pula boleh mengukur keluasan (area) dan pengukuran 3D (3D measurement).
Saya mendapati Quick Measurement adalah agak bagus tetapi perkara yang sama tidak boleh dikatakan untuk 3D Scanner. Berikut adalah contoh objek yang telah diimbas dengan aplikasi 3D Scanner:
Kesimpulan – Secara asasnya, ini adalah S20 dengan skrin & bateri yang lebih besar
Selepas lebih dua minggu saya menggunakan S20+ ini saya amat kagum dengan teknologi yang dilengkapi dalam telefon flagship Samsung ini dan tentunya sudah pun menjadi antara telefon pintar terbaik pada tahun ini. Dengan harga semahal RM3,999, anda boleh yakin pada S20+ ini untuk mengendali pelbagai tugas dengan mudah dan cepat.
Walaupun ia adalah RM400 lebih mahal daripada S20 yang biasa, skrin dan bateri yang lebih besar dalam S20+ adalah berbaloi dengan peningkatan harga tersebut. Malah dengan DepthVision Camera, anda boleh mengambil gambar dengan kesan bokeh yang lebih cantik dan juga bermain dengan fungsi AR!
Untuk perbandingan, iPhone 11 boleh mendatangkan kualiti sama pada harga yang lebih murah (RM3,399). Akan tetapi jika anda lebih gemar pada Android, Huawei P30 Pro (RM2,999) juga datang dengan tiga kamera dan satu sensor kedalaman seperti S20+, atau anda boleh tunggu sehingga Huawei P40 dilancarkan tidak lama lagi. Walau bagaimanapun, ketiga-tiga telefon ini tidak mempunyai skrin 120Hz.
Untuk siri S20 ini pula, saya nasihatkan agar S20+ atau S20 berada dalam radar anda dan bukannya S20 Ultra kerana telefon itu tidak begitu praktikal. Walaupun S20 Ultra adalah satu-satunya varian S20 yang menyokong 5G di Malaysia, itu bukanlah sebab anda perlu mendapatkan S20 Ultra sekarang.
Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dalam mendapatkan mana-mana siri Galaxy S20 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.