unifi kini mengumumkan penamatan rangkaian 3G menjelang hujung tahun 2021. Usaha ini adalah selari dengan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang bertujuan untuk membekalkan akses sambungan berkualiti untuk rakyat Malaysia.
Menurut laman bantuan FAQ, servis untuk menamatkan rangkaian 3G ini dirujuk sebagai “3G Network Sunset”. Walaupun masih tiada tarikh spesifik untuk penamatan perkhidmatan ini, namun unifi memaklumkan bahawa penamatan perkhidmatan 3G akan dilakukan secara berkala di seluruh negara menjelang hujung tahun 2021, sama seperti garis masa penamatan rangkaian 3G oleh Celcom.
Sebagai tambahan, syarikat telekomunikasi kini berada dalam Fasa Kedua untuk menaik taraf liputan dan kelajuan muat turun rangkaian 4G. Fasa terakhir pula akan bermula pada suku pertama dan kedua tahun 2022 untuk mengawasi pengoptimuman rangkaian, prestasi dan kepuasan pelanggan.
Kesemua pelanggan unifi Mobile akan menerima makluman mengenai penamatan rangkaian 3G ini. Jika anda masih menggunakan 3G, unifi menyarankan anda untuk menaik taraf kepada peranti yang menyokong 4G. Anda boleh membaca soalan dan jawapan berkaitan menerusi laman FAQ. Kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

