WhatsApp memperkenalkan ciri terjemahan mesej untuk pengguna Android melalui kemas kini beta terbaharu bermula dengan versi 2.25.12.25. Ciri ini yang sebelumnya masih dalam pembangunan, membolehkan pengguna menterjemah mesej secara terus dalam peranti mereka menggunakan teknologi terjemahan dalaman. Dengan pemprosesan terjemahan yang dilakukan sepenuhnya dalam peranti, privasi pengguna kekal terjamin kerana tiada mesej dihantar ke pelayan luar.
Beberapa pengguna beta telah melaporkan kemunculan pilihan “Terjemah” dalam skrin info sembang. Melalui ciri ini, pengguna boleh memuat turun bahasa tertentu untuk membolehkan terjemahan termasuk Sepanyol, Arab, Portugis (Brazil), Hindi dan Rusia. Pengguna boleh memilih untuk menterjemah mesej secara automatik dalam setiap sembang atau memilih untuk menterjemah secara manual satu per satu.
Terdapat juga bahasa khas yang boleh mengenal pasti bahasa mesej secara automatik yang sangat berguna dalam sembang kumpulan yang menggunakan pelbagai bahasa. Semua proses terjemahan dilakukan dalam peranti menggunakan teknologi yang sama seperti alat transkripsi mesej suara WhatsApp.
Walaupun sistem terjemahan ini mengutamakan privasi, ketepatannya mungkin tidak setanding dengan perkhidmatan berasaskan awan. Namun, pengguna boleh memberikan maklum balas mengenai terjemahan melalui skrin maklumat terjemahan tanpa perlu berkongsi kandungan mesej sebenar dengan Meta. Ciri ini boleh dikawal sepenuhnya oleh pengguna untuk mengaktifkan, mengemaskini atau mematikan pada bila-bila masa serta mengurus ruang storan pek bahasa melalui tetapan.
Ciri terjemahan ini turut boleh digunakan dalam sembang peribadi, kumpulan dan saluran dengan lebih banyak bahasa dijangka akan ditambah pada masa akan datang. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

