WhatsApp mengumumkan perubahan baharu pada terma perkhidmatan mereka yang akan mengharamkan penggunaan chatbot AI bukan milik Meta dalam aplikasi tersebut. Ini bermakna semua chatbot pihak ketiga termasuk ChatGPT dan Microsoft Copilot tidak lagi dibenarkan digunakan dalam WhatsApp selepas perubahan ini berkuat kuasa.
Tarikh kuat kuasa ditetapkan pada 15 Januari 2026 yang juga menjadi hari terakhir pengguna WhatsApp Business boleh menggunakan ChatGPT, Copilot atau mana-mana chatbot AI lain yang bukan dibangunkan oleh Meta. Sebelum ini, OpenAI telah mengumumkan penarikan rasmi ChatGPT daripada WhatsApp manakala Microsoft turut mengesahkan Copilot tidak lagi tersedia dalam aplikasi itu.
Walau bagaimanapun, terdapat pengecualian kecil untuk perniagaan yang menggunakan chatbot AI bagi tujuan khidmat pelanggan. Mereka masih dibenarkan beroperasi jika mematuhi garis panduan tertentu. Meta turut menjelaskan bahawa pengguna ChatGPT di WhatsApp boleh memindahkan sejarah perbualan mereka, namun pengguna Copilot tidak akan mempunyai pilihan tersebut.
Langkah ini menandakan perubahan besar dalam strategi Meta yang kini mahu mengawal sepenuhnya penggunaan model bahasa besar (LLM) dalam ekosistem WhatsApp dan memfokuskan kepada chatbot AI yang dibangunkan sendiri. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: WhatsApp

