Site icon TechNave BM

Xiaomi 14 bakal jadi telefon pertama dengan cipset Snapdragon 8 Gen 3

Dalam acara Snapdragon Summit yang sedang berlangsung di Amerika Syarikat (AS) sekarang, Qualcomm telah melancarkan cipset terbaru untuk telefon pintar andalan (flagship) Android generasi seterusnya iaitu Snapdragon 8 Gen 3. Dalam acara yang sama, Xiaomi mengumumkan bahawa siri Xiaomi 14 bakal menjadi telefon pertama yang dilengkapi cipset tersebut.

Siri Xiaomi 14 akan dilancar di China pada hari Khamis, 26 Oktober 2023 jam 7:00 malam (sama waktu dengan Malaysia). Wakil Xiaomi, William Lu, turut menunjukkan rekaan telefon itu secara ringkas di atas pentas.

Rekaan Xiaomi 14 ditunjukkan secara ringkas
Tarikh pelancaran Xiaomi 14 di China

Beliau turut berkongsi beberapa ujian yang telah dijalankan untuk Xiaomi 14, di mana telefon itu boleh membuka 30 aplikasi serentak, boleh dimulakan semula (restart) sebanyak dua kali dalam tempoh 140 saat serta penurunan kadar bingkai animasi serendah 0.04 peratus sahaja. Beliau membandingkan prestasi Xiaomi 14 dengan tiga telefon jenama lain, namun nama telefon itu tidak didedahkan.

Untuk prestasi gaming pula, Xiaomi 14 boleh mengekalkan suhu terkawal sekitar 43.2°C sahaja, sambil menjana kadar bingkai (frame rate) setinggi 59.39fps dalam Genshin Impact. Setiap bingkai menggunakan tenaga yang lebih rendah sebanyak 10.6% berbanding generasi sebelumnya.

Prestasi Xiaomi 14 untuk kegunaan harian
Prestasi gaming Xiaomi 14

Sebelum ini, Xiaomi sudah pun berkongsi spesifikasi kamera untuk Xiaomi 14 yang akan menggunakan lensa Leica VARIO-SUMMILUX bagi menghasilkan kualiti gambar yang lebih cantik.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, Xiaomi melancarkan telefon pertama yang dilengkapi cipset tercanggih oleh Qualcomm, termasuklah untuk Xiaomi 11 dan Xiaomi 12. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan Xiaomi 14 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version