Xiaomi secara rasmi melancarkan telefon pintar edisi khas Xiaomi 15S Pro dalam satu acara khas di China sempena sambutan ulang tahun ke-15 syarikat itu. Turut diumumkan ialah model Xiaomi Civi 5 Pro, namun Xiaomi 15S Pro menjadi tumpuan utama dengan kehadiran cip pemproses pertama yang dibangunkan sendiri, iaitu Xring O1.
Xiaomi 15S Pro hadir dengan paparan OLED melengkung bersaiz 6.73 inci, beresolusi 3200×1440 piksel. Skrin ini menyokong kadar segar semula dinamik 1 hingga 120Hz, kecerahan maksimum 3200 nits dan teknologi HDR10+ serta Dolby Vision. Ia turut dilindungi oleh kaca Dragon Crystal Glass 2.0 dan dilengkapi pengimbas cap jari ultrasonik bawah skrin.
Telefon ini dikuasakan oleh cip Xring O1 yang dibina menggunakan teknologi 3nm dengan 19 bilion transistor. Ia mempunyai CPU 10-teras dengan dua teras berprestasi tinggi X925 pada kelajuan 3.9GHz dan GPU Immortalis-G925 16-teras. Bagi kawalan haba, Xiaomi menggunakan sistem penyejukan Wing-shaped Ring Cold Pump Pro dengan keluasan pelesapan haba 4053mm².
Xiaomi 15S Pro menampilkan tiga kamera belakang 50MP yang terdiri daripada kamera utama bersaiz 1/1.31 inci dengan apertur f/1.44, kamera ultra-lebar 115° dan lensa telefoto periskop 5x dengan zum tanpa kehilangan kualiti sehingga 10x. Ketiga-tiga kamera menggunakan lensa Leica Summilux dan menyokong rakaman video 8K serta video malam 4K dengan bantuan AI.
Kamera hadapan pula menggunakan sensor 32MP dan menyokong rakaman video 4K pada 60fps. Bateri berkapasiti 6100mAh yang digunakan menyokong pengecasan pantas 90W berwayar, 50W wayarles dan pengecasan magnetik. Ciri lain yang disertakan termasuk sistem operasi HyperOS 2.0, Wi-Fi 7, Bluetooth 5.4, NFC, USB 3.2 Gen 1, pembesar suara stereo dengan Dolby Atmos, empat mikrofon,dan perlindungan kalis air serta debu IP68.
Xiaomi 15S Pro juga menyokong teknologi ultra-wideband (UWB) untuk interaksi pintar dengan kereta dan peranti rumah pintar. Xiaomi 15S Pro ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Dragon Scale Fiber dan Far Sky Blue. Varian 16/512GB dijual pada harga 5499 yuan (~RM3,245) manakala model 16/1TB dijual pada harga 5999 yuan (~RM3,539).
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

