Site icon TechNave BM

Xiaomi keluarkan pemukul nyamuk boleh dicas, bateri 1200mAh berharga ~RM48

Bagaimanakah dengan prestasi pemukul nyamuk di rumah anda? Biasanya, pemukul nyamuk turut digunakan untuk memukul lalat. Xiaomi kini menghadirkan alat pemukul lalat elektrik yang boleh dicas dengan rekaan minimalis yang lawa!

Terdapat tiga lapisan grid perlindungan yang mampu memerangkap serangga sekecil nyamuk. Lapisan grid aluminium 3000V dilengkapi cahaya LED untuk menarik perhatian nyamuk atau lalat. Bukan itu sahaja, cahaya LED ini mampu membantu anda memukul lalat walaupun dalam bilik berkeadaan gelap.

Anda tidak perlu risau dengan kejutan elektrik seperti pemukul nyamuk yang biasa. Pemukul nyamuk Xiaomi memiliki dua suis keselamatan yang memastikan pengguna dapat menggunakannya secara efektif.

Alat teknologi ini hadir dengan bateri litium 1200mAh dengan penggunaan USB untuk pengecasan. Menurut Xiaomi, ia boleh dicas selama 2 jam dan mampu bertahan sehingga 7-10 hari dalam 10 minit penggunaan sehari.

Reka bentuk minimalis dan menariknya juga boleh bertindak sebagai dekorasi. Ia dijual dengan harga 79 Yuan (~RM48) di pasaran China. Namun, kami masih ketiadaan maklumat berkenaan keberadaannya di Malaysia. Anda boleh melihatnya dengan lebih lanjut di laman web rasmi Xiaomi Youpin.

Adakah anda sukakan alat ini? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version